BRATISLAVA: Manchester City melakar kemenangan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini, dengan salah satu gol dijaringkan oleh Erling Haaland, ketika menewaskan Slovan Bratislava 4-0 di padang lawan.
Walaupun menang dengan jumlah jaringan yang besar, ia tidak menunjukkan kebolehan sebenar pasukan pelawat, yang mendahului perlawanan dengan dua gol dalam masa 15 minit pertama menerusi Ilkay Gundogan dan Phil Foden.
Selepas disekat 0-0 di laman sendiri oleh Inter Milan ketika memulakan kempen Eropah mereka, juara England itu bangkit dalam format baru pertandingan.
Slovan pula, yang sebelum ini mengalami kekalahan teruk apabila dibelasah Celtic 5-1 dalam perlawanan pembukaan mereka, bersiap dilanyak City, pemenang Liga Juara-juara 2023.
Bos Bratislava, Vladimir Weiss, menyifatkan pengurus “genius” City, Pep Guardiola, dengan arkitek dan pereka Catalan, Antoni Gaudi, pada malam perlawanan itu.
Namun, Guardiola tidak memerlukan kreativiti yang tinggi untuk merangka pelan permainan kerana jurang persembahan antara kedua-dua pasukan sudah jelas sejak perlawanan dimulakan.
Gundogan membuka jaringan dengan gol pertamanya sejak kembali ke pangkuan City dari Barcelona.
Rembatan kencang kapten City bagi perlawanan itu dari tepi kawasan penalti melantun ke sudut atas gawang.
Guardiola memberi Foden peluang kembali beraksi, selepas kecemerlangan dan usahanya membawa England ke final Euro 2024, sekali gus membolehkannya muncul sebagai pemain terbaik Liga Perdana England.
Dengan Kevin De Bruyne dan Rodri mengalami kecederaan, penampilan Foden serta gol pertamanya musim ini menyuntik semangat yang tepat pada masanya bagi City.
Bintang England itu melepaskan tendangan yang menyerong tepat ke sudut bawah bagi gol kedua City pada minit ke-15.
City sepatutnya melebarkan jurang gol tetapi percubaan Jeremy Doku, Foden dan Gundogan terkena palang dan tiang.
Ia seolah-olah membayangkan ada sesuatu yang kurang dalam permainan hebat City pada separuh masa pertama, iaitu sentuhan berbisa Haaland.
Namun, gol yang dinantikan itu tiba pada minit ke-58, apabila penyerang Norway tersebut dengan pantas meluru ke hadapan untuk menyambut hantaran Rico Lewis sebelum menggelecek bola melepasi penjaga gol untuk menjaringkan golnya yang ke-11 dalam lapan perlawanan musim ini.
City menambah satu lagi gol menerusi James McAtee, hasil umpanan cantik Foden. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg