Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Dortmund gugat langkah Newcastle ke pusingan kalah mati

Kekalahan 2-0 letak Newcastle di tangga terakhir Kumpulan F walau mulakan musim dengan baik
Nov 08, 2023 | 01:32 PM



DORTMUND: Harapan Newcastle untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara terjejas apabila mereka tewas kepada Borussia Dortmund 2-0 di Stadium Signal Iduna Park pada Rabu.


Penyerang Niclas Fullkrug membuka tirai jaringan untuk tuan rumah pada pertengahan separuh masa pertama, manakala pemain tengah Julian Brandt menambah derita Newcastle menerusi gol kedua hasil serangan balas lewat pada separuh masa kedua, membantu pasukan Jerman itu mengatasi kelab Inggeris itu buat kali kedua dalam Kumpulan F.

Peluang terbaik Newcastle jatuh kepada Joelinton sejurus selepas separuh masa, tetapi tandukan pemain tengah itu gagal menemui sasaran selepas pemain sayap Tino Livramento membuat hantaran lintang.

Usaha pemain antarabangsa Brazil itu merupakan salah satu peluang yang jarang diperolehi Newcastle, memandangkan Dortmund menguasai bola sebahagian besar separuh masa pertama.

Pasukan tuan rumah, diurus Edin Terzic, menikmati peluang yang lebih baik walaupun Newcastle bermain dengan lebih mantap dalam separuh masa kedua.

“Kami tidak bermain pada tahap terbaik hari ini. Intensiti dan mutu permainan biasa kami tidak wujud.

“Kami masih mempunyai detik-detik baik dan tandukan Joelinton mungkin merupakan detik penting dalam permainan dari perspektif kami,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe.

Permainan itu juga diberhentikan sementara selepas separuh masa kerana palang emas palsu dan objek lain dilempar ke dalam padang oleh penyokong Dortmund, sebagai sebahagian protes terhadap cadangan reformasi Liga Juara-Juara.

Penyokong Dortmund juga mempamerkan sepanduk bertulis ‘Anda tidak mengambil berat tentang sukan, apa anda pentingkan ialah wang”.

Pasukan Howe tiba di Signal Iduna Park setelah mengalami hanya satu kekalahan dalam dua bulan.

Tetapi mereka jarang menunjukkan ‘taring’, dengan pemain permulaan tetap seperti Miguel Almiron dan Anthony Gordon pada mulanya hanya di bangku simpanan.

Dengan tujuh pemain senior cedera, dan pemain tengah Sandro Tonali tidak dibenarkan bermain selama 10 bulan kerana melanggar peraturan pertaruhan, Newcastle menjadi pasukan pertama sejak Manchester United pada 1997 yang menamakan lapan pemain Inggeris dalam kesebelasan utama untuk perlawanan Liga Juara-Juara.

Tetapi ia merupakan pengalaman berbeza untuk dua daripada lapan pemain tersebut.

Bek kiri Lewis Hall, yang mempamerkan aksi cemerlang di Old Trafford dalam Piala EFL pada 2 November, dilayang kad kuning pada minit kesembilan dan kemudian diganti pada separuh masa.

Beliau antara tiga pemain Newcastle yang berpeluang menghalang gol pembukaan Dortmund tetapi gagal membuat demikian.

Livramento, yang juga cemerlang ketika menentang Manchester United dalam perlawanan sama, kelihatan lebih selesa apabila kembali ke bek kanan setelah memulakan perlawanan sebagai pemain tengah.

Kedua-dua tandukan daripada Joelinton dan Fabian Schar pada separuh masa pertama tidak menguji penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel, manakala percubaan Joe Willock dari jarak 20 meter pada separuh masa kedua diselamatkan penjaga gol warga Switzerland itu.

Walaupun Almiron dan Gordon, yang dimasukkan dalam separuh masa kedua, berjaya memberikan lebih banyak ‘taring’, ia masih tidak mencukupi bagi Newcastle.

Kepulangan Newcastle ke pertandingan elit Eropah ini bermula dengan baik, dengan keputusan seri 1-1 semasa menentang AC Milan pada 20 September sebelum mereka membelasah Paris St-Germain (PSG) 4-1 pada 5 Oktober.

Bagaimanapun, mereka kini berdepan cabaran sukar untuk layak ke pusingan kalah mati, selepas tewas kepada Dortmund, sekali gus meletak mereka di tangga terakhir di Kumpulan F dengan empat mata.

Newcastle memerlukan kemenangan ke atas PSG pada perlawanan kedua terakhir peringkat kumpulan pada 29 November jika mereka mahu mara dalam kejohanan Eropah itu.

Dalam pada itu, AC Milan mengalahkan PSG 2-1 di Stadium San Siro pada Rabu, dengan gol oleh pemain sayap Rafael Leao dan penyerang Oliver Giroud, selepas AC Milan mendahului pada minit kesembilan dengan gol oleh pemain pertahanan Skriniar. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >