Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DR Congo singkir Mesir melalui penalti penentuan

PIALA NEGARA-NEGARA AFRIKA 2023
Jan 29, 2024 | 3:47 PM
Pemain DR Congo meraikan kemenangan mereka ke atas Mesir menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terakhir Afcon di San Pedro, Ivory Coast.
Pemain DR Congo meraikan kemenangan mereka ke atas Mesir menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terakhir Afcon di San Pedro, Ivory Coast. - Foto REUTERS

SAN PEDRO (Ivory Coast) Penjaga gol Mesir Mohamed Abou Gabal gagal menjaringkan gol dalam sepakan penalti penentuan, membolehkan DR Congo meraih kemenangan epik 8-7.dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2023.

Ini berikutan perlawanan tegang dengan dua pasukan itu seri 1-1 pada peringkat 16 terbaik di Stadium Laurent Pokou di San Pedro pada 28 Januari.

Sepakan penalti Abou Gabal terkena palang dan kemudian penjaga gol DR Congo Lionel Mpasi menewaskan beliau untuk menjaringkan gol yang membawa pasukannya ke suku akhir, dan menyingkir Mesir, juara Afcon rekod tujuh kali.

Kemenangan itu mencetuskan suasana gembira bagi pemain DR Congo, yang akan menentang Guinea pada suku akhir di Abidjan pada 3 Februari.

Meschack Elia meletak DR Congo di depan dalam perlawanan itu apabila beliau menanduk masuk dekat garisan gol, tetapi kelebihan itu cuma bertahan sembilan minit sebelum Mostafa Mohamed menjaringkan gol keempatnya dalam kejohanan itu buat Mesir, menerusi sepakan penalti sejurus sebelum separuh masa pertama.

Pemain tengah Mesir Mohamed Hamdy menerima kad merah pada masa tambahan, dan selepas itu Mesir, tanpa pemain handalannya yang cedera, Mohamed Salah, berhenti menyerang dan dapat bertahan hingga penalti penentuan.

Pada 22 Januari, pengurus Mesir Rui Vitoria menyatakan kecederaan hamstring yang dialami kapten Salah di kejohanan Afcon itu memerlukan lebih banyak masa untuk pulih daripada yang dijangka.

Kali terakhir DR Congo menewaskan Mesir dalam pertembungan Afcon ialah pada separuh akhir kejohanan itu 50 tahun lalu, apabila mereka menjulang piala tersebut.

Ini adalah seri kali keempat berturut-turut bagi kedua-dua pasukan itu di Ivory Coast tahun ini. Bagi Mesir, ia adalah seri kali keenam berturut-turut sejak kejohanan terakhir di Cameroon.

DR Congo mendahului pada minit ke-37 apabila hantaran silang Yoann Wissa dari kiri ditanduk melepasi garisan gol oleh Elia.

Namun Mesir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila tangan pemain pertahanan DR Congo, Dylan Batubinsika, memukul muka Ahmed Hegazi dalam kotak penalti, dan sepakan penalti diberikan selepas campur tangan pembantu pengadil video (VAR).

Dengan ketiadaan Salah, Mohamed menjaringkan gol keempatnya dalam kejohanan itu melalui tendangan penalti tersebut, walaupun beliau kemudiannya gagal menjaringkan gol semasa penalti penentuan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg