Dua beradik kejar impian di gelanggang badminton
Sasar menang pingat di kejohanan Siri Kumpulan Umur WYSE ACTIVE–VICTOR 2026
Adik-beradik, Sharifah Nur Aisha Shaik Mohd Danial, 12 tahun, dan Sharifah Nur Iman Shaik Mohd Danial, 10 tahun, melihat gelanggang badminton bukan sekadar tempat bermain, namun sebagai ruang untuk mereka mengejar impian dan mengasah bakat sejak usia muda.
Kehebatan mereka dalam sukan itu melayakkan kededuanya tersenarai dalam kalangan 23 atlet muda elit yang terpilih menerima tajaan di bawah Program Pembangunan Bakat (TDP) WYSE ACTIVE pada 2026.
Ini bermakna Aisha dan Iman akan menerima sokongan pembangunan melalui latihan berstruktur, pendedahan kepada pertandingan tempatan dan antarabangsa, peluang pertukaran, serta penyediaan peralatan latihan.
Mereka berdua mempunyai minat yang sama terhadap badminton, dan kecintaan itu telah dipupuk sejak kecil.
Menurut mereka, minat tersebut turut mendapat dorongan kuat daripada keluarga.
“Seluruh keluarga saya suka bersukan. Ayah saya banyak memberi galakan untuk bermain badminton kerana ia sukan dalam dewan dan boleh dimain walaupun cuaca tidak baik,” kata Aisha.
Bagi Iman pula, yang mula bermain pada usia enam tahun, badminton menjadi kegemaran kerana keseronokan mempelajari pelbagai teknik dan pukulan dalam permainan itu.
“Saya suka badminton kerana ia menyeronokkan dan kami boleh belajar banyak jenis pukulan,” katanya.
Minat dan usaha mereka kini membawa kededua beradik itu ke pentas pertandingan Siri Kumpulan Umur WYSE ACTIVE–VICTOR 2026 yang berlangsung di Wyse Active Hub yang terletak di Jurong East.
Pertandingan tersebut berlangsung dari 15 hingga 22 Mac.
Kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh WYSE ACTIVE dan disokong oleh Persatuan Badminton Singapura (SBA) mencatat rekod penyertaan terbesar pada 2026, dengan 1,325 pemain, termasuk 197 peserta antarabangsa.
Para pemain berasal dari beberapa negara termasuk China, India, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan.
Bagi Aisha, yang bertanding dalam kategori bawah 13 tahun (U13), peluang bersaing dalam kejohanan seperti itu membawa cabaran tersendiri.
“Apabila ranking meningkat, lebih ramai pemain mahu menewaskan kami kerana mereka juga mahu meningkatkan kedudukan.
“Jadi kami perlu berlatih lebih keras daripada orang lain,” kata Aisha, yang menduduki ranking ketiga SBA bagi kategori U13 perseorangan wanita.
Beliau menyasar untuk dapat sekurang-kurangnya kedudukan empat teratas dalam pertandingan tersebut.
“Dengan ramai pemain antarabangsa yang menyertai, ia agak kompetitif,” katanya.
Beliau juga menambah, pemain perlu bijak mengawal emosi ketika beraksi di gelanggang.
“Kalau terlalu gementar, kami sukar berfikir dengan jelas dan mudah melakukan kesilapan,” katanya.
Iman pula menduduki ranking pertama bagi kategori U11 perseorangan wanita.
Namun beliau tekad untuk meningkatkan prestasinya dan bersemangat untuk terus berlatih dengan lebih gigih.
“Apabila prestasi saya meningkat, saya rasa lebih bersemangat untuk berlatih dengan lebih tekun lagi,” katanya.
Selain latihan tempatan, kededua pemain muda itu juga pernah mengikuti lawatan latihan ke luar negara, termasuk ke Jepun dan Indonesia.
Menurut Aisha, pengalaman tersebut memberi pendedahan kepada budaya latihan yang berbeza.
“Di Jepun, pemain sangat menghormati jurulatih dan sentiasa memberi perhatian apabila jurulatih bercakap,” katanya.
Beliau turut kagum dengan etika kerja pemain antarabangsa.
“Mereka bekerja sangat keras semasa latihan dan sentiasa memberi perhatian penuh apabila jurulatih memberi arahan,” katanya.
Selain pertandingan, kejohanan pada 2026 turut menampilkan kehadiran legenda badminton Korea Selatan dan bekas pemain nombor satu dunia beregu lelaki, Yoo Yeon-seong.
Beliau berada di Singapura untuk mengendalikan sesi klinik latihan, bengkel kejurulatihan serta sesi pertemuan bersama pemain muda sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut Yoo, kejohanan seperti itu memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain muda.
“Sangat menggembirakan melihat begitu ramai pemain muda berbakat dari pelbagai negara diberi peluang bersaing,” katanya.
“Pemain hanya boleh menjadi lebih baik melalui pertandingan yang bermutu tinggi seperti ini.”
“
“Apabila ranking meningkat, lebih ramai pemain mahu menewaskan kami kerana mereka juga mahu meningkatkan kedudukan. Jadi kami perlu berlatih lebih keras daripada orang lain. Dengan ramai pemain antarabangsa yang menyertai, ia agak kompetitif.”
