Albirex Niigata meraih kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini selepas menundukkan Geylang International 2-0, hasil dua jaringan penyerang mereka, Shingo Nakano.
Albirex pada awalnya menyangka mereka sudah membuka tirai jaringan apabila rembatan Nakano menewaskan penjaga gawang Geylang, Rudy Khairullah, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Tersentak dengan ancaman itu, Geylang memperkemas semula rentak permainan dan mengatur beberapa peluang untuk mendahului perlawanan.
Rembatan pemain tengah berpengalaman Geylang, Shahdan Sulaiman, pada minit ke-12 dihalang pertahanan lawan, sebelum percubaan susulan Ryoya Taniguchi pula ditepis penjaga gawang veteran Albirex, Hassan Sunny.
Albirex cuba membalas apabila penyerang mereka, Nakano bijak menggelecek beberapa pemain pertahanan Geylang di kotak penalti, tetapi kapten Geylang, Joshua Periera pantas menutup ruang dan menggagalkan percubaannya.
Namun, bola sekali lagi jatuh kepada Haziq Kamarudin yang melepaskan rembatan kencang, tetapi percubaannya tersasar.
Peluang terbaik Geylang hadir pada minit ke-38 apabila tandukan pertahanan Nikola Ignjatovic hasil sepakan sudut hampir membolosi gawang, namun barisan Albirex kekal utuh bertahan.
Asakan Albirex akhirnya membuahkan hasil pada masa tambahan separuh masa pertama.
Sim Jun Yen melorongkan bola kemas kepada Takumi Yokohata, yang kemudian melepaskan hantaran silang tepat ke Nakano bagi membuka tirai jaringan. Gol itu memberi Albirex kelebihan sebelum tamatnya separuh pertama.
Albirex tidak berlengah untuk menambah kepada kelebihan mereka apabila separuh masa kedua bermula.
Nakano sekali lagi menyempurnakan hantaran silang rakan sepasukan untuk meletakkan pasukannya di kedudukan selesa.
Geylang cuba membalas, namun gerakan mereka sering tumpul dengan hantaran terakhir gagal menemui sasaran.
Noor Ali cuba menyuntik kreativiti dengan memasukkan Vincent Bezecourt menggantikan Shahdan Sulaiman pada minit ke-60, tetapi perubahan itu tidak membuahkan hasil.
Rasa marah Geylang jelas dilihat apabila Ignjatovic kasari Nakano dan dilayangkan kad kuning.
Keadaan bertambah buruk buat Geylang yang terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain setelah bek kiri Geylang, Shakir Hamzah dilayang kad merah.
Semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) dapati bahawa bek kiri berpengalaman itu telah melompat ke atas pemain Albirex, Takumi Yokohata secara sengaja semasa pemain tersebut sedang menjadi benteng semasa sepakan percuma Albirex Niigata.
Kemenangan ini menyaksikan Albirex menduduki tangga teratas SPL dengan empat mata selepas dua perlawanan.
Sementara itu, BG Tampines Rovers dengan jurulatih baru mereka akan menentang Tanjong Pagar United pada 13 September di Stadium Jurong East, manakala juara bertahan Lion City Sailors bakal berdepan Balestier Khalsa sehari kemudian di tempat sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg