Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain tempatan kekal menyerlah dalam kalangan pemain import SPL

Dua pertarungan musim baru berakhir dengan seri
Aug 25, 2025 | 6:15 PM
SPL, Geylang International, BG Tampines Rovers
Bek kanan Geylang International, Nazrul Nazari (kanan), mempamerkan prestasi yang baik dalam menyekat ancaman pemain sayap BG Tampines Rovers, Trent Anthony Buhagiar, semasa perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) mereka di Our Tampines Hub pada 24 Ogos. Prestasi beliau membantu Geylang berkongsi mata dengan Tampines. - Foto INSTAGRAM GIFCSG

Saingan Liga Perdana Singapura (SPL) bermula tanpa kejutan besar apabila kededua perlawanan pembuka tirai berakhir dengan keputusan seri.

Albirex Niigata terikat 2-2 dengan Balestier Khalsa di Stadium Jurong East, manakala ‘Derbi Timur’ pertama musim ini antara BG Tampines Rovers dengan Geylang International di padang Our Tampines Hub juga tamat tanpa jaringan.

Namun, walaupun kekurangan gol dan kemenangan, permainan tetap menghiburkan.

Dengan suntikan bakat asing tertinggi musim ini, prestasi pemain tempatan tetap mencuri tumpuan dan meyakinkan.

Semasa perlawanan antara Geylang dengan Tampines pada 24 Ogos, bek kanan Geylang, Nazrul Nazari, menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengekang ancaman pemain sayap berbisa Tampines, Trent Anthony Buhagiar.

Dalam dua perlawanan sebelum itu, Trent telah menjaringkan tiga gol.

Walaupun Trent hampir meneruskan rentetan jaringannya, Nazrul berjaya menyekat beliau kepada dua percubaannya yang sekadar menggegar tiang.

Prestasi bek kanan veteran itu mendapat pujian jurulatihnya, Noor Ali, yang berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

“Bukan selalu pasukan saya mendapatkan clean sheet (gawang tidak dibolosi), jadi saya gembira dengan keputusan ini,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu, yang pasukannya dikenali dengan gaya bola sepak menyerang dan menarik.

Namun, menentang pasukan bimbingan Akbar Nawas, yang telah menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan, Geylang mempamerkan gaya permainan yang lebih berdisiplin.

Perkara tersebut sejajar dengan matlamat Geylang untuk menjadikan pertahanan mereka lebih teguh buat musim ini.

Akbar mengakui bahawa bersaing dalam beberapa pertandingan merupakan cabaran bagi pasukan beliau musim ini.

Dalam tempoh hanya 10 hari, pasukan beliau berjaya memenangi Perisai Masyarakat dengan menewaskan juara bertahan SPL, Lion City Sailors, 4-1 pada 16 Ogos, dan juga berjaya mengatasi pasukan Filipina, Cebu FC, 3-1 di medan Kejuaraan Kelab Asean pada 20 Ogos.

“Untuk bermain tiga perlawanan dalam masa yang singkat menjejas persiapan kami,” kata jurulatih berusia 49 tahun itu.

“Tetapi seperti yang saya katakan, Geylang memang pasukan yang kuat.”

Namun akhirnya, kededua jurulatih terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

Pemain tengah Balestier Khalsa, Ignatius Ang (dua dari kanan), meraikan jaringan penyamaan beliau pada minit ke-83 perlawanan menentang Albirex Niigata.
Pemain tengah Balestier Khalsa, Ignatius Ang (dua dari kanan), meraikan jaringan penyamaan beliau pada minit ke-83 perlawanan menentang Albirex Niigata. - Foto LIGA PERDANA SINGAPURA

Dalam pertembungan di Stadium Jurong East pada 23 Ogos, Balestier Khalsa bangkit selepas ketinggalan dua kali untuk mencuri satu mata berharga menentang Albirex Niigata.

Antara yang menonjol ialah pemain sayap Balestier, Daniel Goh, yang berjaya memenangi sepakan percuma untuk pasukannya yang menghasilkan gol.

Sepakan percuma itu diambil oleh Masahiro Sugita dan dimanfaatkan oleh kapten pasukan, Madhu Mohana, yang mencetuskan kekeliruan dalam kotak penalti Albirex sebelum pemain bertahan Balestier, Mario Subaric, meledak gol SPL pertama pasukannya musim ini.

Namun, Albirex tidak panik dan terus bermain dengan pendekatan sabar dan terancang.

Dua pemain tempatan mereka, Sim Jun Yen ,17 tahun, di sebelah kiri dan Haziq Kamarudin, 24 tahun, di kanan, menjadi kunci utama dalam serangan mereka.

Gol penyamaan tiba pada minit ke-31 menerusi gerakan cantik antara Haziq dan Takumi Yokohata, sebelum Haziq menghantar bola kepada Katsuyuki Ishibashi untuk gol penyamaan.

Hanya tiga minit kemudian, Yokohata meletakkan pasukannya di hadapan setelah beliau mengelecek Subaric dan menjaringkan gol dengan tenang.

Namun, Balestier berjaya menyekat kemenangan Albirex apabila pemain gantian Balestier, Ignatius Ang, menjadi wira dengan jaringan penyamaan pada minit ke-83.

Perlawanan tersebut berakhir seri 2-2.

Namun perlawanan minggu pertama belum berakhir.

Juara bertahan, Lion City Sailors, dijadualkan menentang Hougang United di Our Tampines Hub pada 25 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg