Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Noh Rahman mahu kekal rekod tanpa kalah Tampines

Beliau dilantik Ketua Jurulatih selepas Akbar Nawas, kelab setuju ‘berpisah’
Sep 12, 2025 | 4:10 PM
BG Tampines Rovers membuka tirai kempen Piala Shopee dengan mengatasi DH Cebu FC 3-1 di Stadium Rizal Memorial di Manila, Filipina, pada 20 Ogos. Setelah perpisahan mereka dengan Akbar Nawas, ketua jurulatih baru mereka, Noh Rahman, berharap pasukan itu dapat meneruskan permulaan hebat musim mereka.
BG Tampines Rovers membuka tirai kempen Piala Shopee dengan mengatasi DH Cebu FC 3-1 di Stadium Rizal Memorial di Manila, Filipina, pada 20 Ogos. Setelah perpisahan mereka dengan Akbar Nawas, ketua jurulatih baru mereka, Noh Rahman, berharap pasukan itu dapat meneruskan permulaan hebat musim mereka. - Foto SPORTFIVE

Tampines Rovers akan menentang Tanjong Pagar United pada 13 September, dan tumpuan tertuju kepada perlawanan tersebut berikutan perpisahan di antara ketua jurulatih Akbar Nawas dengan kelab tersebut, selepas permulaan musim yang menggalakkan.

Keengganan Akbar dan kelab Tampines Rovers untuk mengulas lebih lanjut tentang perpisahan itu telah mencetuskan spekulasi bahawa terdapat lebih banyak isu di sebalik perpisahan tersebut, berbanding dengan apa yang dinyatakan dalam kenyataan kelab itu yang diterbitkan di media sosial mereka pada 11 September.

Penolong jurulatih Tampines dan ketua pembangunan belia, Noh Rahman, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.

Di bawah bimbingan Akbar, Tampines Rovers mempunyai permulaan musim yang hebat – kemenangan 4-1 ke atas juara bertahan Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, dalam Perisai Masyarakat; kemenangan 3-1 ke atas wakil Filipina, Cebu FC, di peringkat Kumpulan Kejohanan Kelab Asean (ACC); dan seri 0-0 dengan Geylang International pada pembukaan musim SPL.

Kini, Noh Rahman dan pasukannya berharap mereka dapat mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menentang pasukan bimbingan Noh Alam Shah di Stadium Jurong East.

Penolong jurulatih Tampines dan ketua pembangunan belia, Noh Rahman, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih. Beliau memikul tanggungjawab tersebut selepas perpisahan mengejutkan antara Akbar Nawas dengan kelab itu.
Penolong jurulatih Tampines dan ketua pembangunan belia, Noh Rahman, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih. Beliau memikul tanggungjawab tersebut selepas perpisahan mengejutkan antara Akbar Nawas dengan kelab itu. - Foto INSTAGRAM TAMPINESROVERS

Walaupun pemain sayap Tampines, Trent Buhagiar, mencuri tumpuan sejauh ini dengan menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan, penyerang pasukan itu, Hide Higashikawa, masih layak diberi perhatian.

Higashikawa sendiri telah menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan, dan semasa perlawanan menentang Geylang, pemain itu membuktikan beliau bukan sekadar mampu mengancam gol dengan percubaannya, malah melalui hantarannya juga.

Bagi Tanjong Pagar pula, perlawanan ini merupakan perlawanan pertama SPL mereka musim ini.

Setelah dibolosi sebanyak 103 kali musim lepas, Noh Alam Shah, dikenali sebagai ‘Along’, menekankan disiplin dalam pertahanan mereka untuk mengurangkan jumlah jaringan tersebut.

Dan untuk membantu mencapai matlamat tersebut, Tanjong Pagar telah mendapatkan beberapa bakat asing.

Mereka termasuk pemain pertahanan dari Australia, Aaron Evans; penyerang dari Sepanyol, Youssef Ezzejjari; pemain tengah dan sayap dari Brazil, Bruno Dybal dan Guilherme Rodrigues; serta pemain tengah dari Taiwan, Estevez Tsai.

Pemain pertahanan baru Tanjong Pagar, Aaron Evans, telah dinamakan sebagai kapten pasukan. Beliau memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran ketua jurulatihnya, Noh Alam Shah, iaitu untuk mengurangkan jumlah gol yang dibolosi pasukannya.
Pemain pertahanan baru Tanjong Pagar, Aaron Evans, telah dinamakan sebagai kapten pasukan. Beliau memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran ketua jurulatihnya, Noh Alam Shah, iaitu untuk mengurangkan jumlah gol yang dibolosi pasukannya. - Foto LEO SHENGWEI

Dengan kemasukan pemain-pemain baru ini, Tanjong Pagar kini bukan sahaja mampu memperkukuh benteng pertahanan mereka, malah memiliki keupayaan menjaringkan gol apabila diperlukan.

Pada 14 September pula, Balestier Khalsa akan menentang Lion City Sailors, jelas sekali sebagai pasukan bawahan berbanding juara bertahan SPL itu, tetapi mereka kekal berazam untuk mendapatkan keputusan yang positif.

Balestier, selaku pasukan bukan pilihan, telah mempamerkan ancaman mereka daripada sepakan percuma dengan kededua jaringan mereka menentang Albirex Niigata datang daripada tendangan percuma dan tendangan sudut.

Ini membuktikan Sailors perlu berwaspada apabila berdepan dengan tendangan percuma Balestier.

Bagi Sailors pula, walaupun mereka merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya memperolehi kesemua tiga mata dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Hougang United, keputusan di pertandingan lain tidak memihak kepada mereka.

Mereka memulakan kempen dengan kekalahan 4-1 kepada Tampines, dan di pertandingan ACC pula, mereka dikalahkan oleh juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), 3-1.

Pasukan Sailors bimbingan Alexander Rankovic berharap sekurang-kurangnya dapat memulakan rentak kemenangan mereka di SPL dengan menewaskan Balestier.

Penyokong Sailors juga akan berharap pemain baru harapan mereka, penjaring terbanyak Liga Jepun dua musim berturut-turut, Anderson Lopes, akan menemui rentak jaringan beliau.

Walaupun beliau telah mempamerkan beberapa detik meyakinkan terutamanya apabila menentang JDT, beliau masih belum lagi dapat menjaringkan gol.

Namun, jika tidak mengambil kira kehadiran Lopes, Balestier tetap akan mendapati sukar untuk menangani ancaman skuad Sailors yang penuh dengan bintang-bintang bola sepak.

Ramalan wartawan

Tanjong Pagar United 0-2 BG Tampines Rovers

Balestier Khalsa 1-3 Lion City Sailors

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg