Pasangan adik-beradik, Ilhan dan Ikhsan Fandi, kini kembali ke pentas antarabangsa dengan semangat yang membara, berazam untuk memberikan impak kepada pasukan Singa – bermula dengan perlawanan persahabatan menentang Maldives pada 5 Jun di Stadium Bishan.
Pernah dianggap sebagai pasangan bintang penyerang baru Singapura, kededua adik-beradik itu menyaksikan prestasi antarabangsa mereka terjejas akibat kecederaan beberapa tahun kebelakangan ini.
Kini mereka berdua tidak sabar untuk bergabung tenaga, mendapatkan gol dan membantu perjuangan pasukan.
Sasaran segera mereka: membantu skuad Singa dalam kempen kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dalam perlawanan penting menentang Bangladesh di Dhaka pada 10 Jun.
Ikhsan tidak dapat beraksi bersama pasukan Singa dalam tempoh antarabangsa yang lalu akibat kecederaan.
Kini beliau kembali bersemangat dan berhasrat memberikan impak kepada pasukan Singa.
“Saya gembira dapat kembali beraksi mewakili negara terutama sekali selepas mengalami musim yang mencabar,” kata penyerang berusia 26 tahun itu di Hari Media yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di Hotel Parkroyal Beach Road pada 3 Jun.
“Kejayaan seorang penyerang diukur dengan jaringan, jadi saya harap saya dapat jaringkan gol untuk pasukan.”
Sejak menyertai kelab Thailand, BG Pathum United, pada 2022, Ikhsan telah terlepas 457 hari beraksi – lebih setahun akibat kecederaan.
Namun, Ikhsan mengakui bahawa semasa beliau di sana, beliau belajar menjadi lebih tenang, tidak kira di dalam atau luar padang.
Perjalanan Ilhan juga dipenuhi dengan cabaran.
Beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior atau ACL ketika menentang Vietnam dalam perlawanan kumpulan Kejuaraan Asean yang diadakan di padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar pada 30 Disember 2022.
Ilhan mengambil masa sembilan bulan untuk kembali bermain bola sepak secara kompetitif pada 2023, dan menjaringkan lapan gol dalam 15 perlawanan untuk pasukan Bawah 21 Tahun Deinze, kelab divisyen B Belgium.
Namun, beliau hanya diberi peluang bermain selama lima minit dengan pasukan utama Deinze.
Beliau kemudian memutuskan untuk sertai abangnya di BG Pathum pada 2024.
Bagi Ilhan, kehadiran abangnya dalam skuad Singa bukan sahaja membawa kekuatan fizikal di barisan serangan, malah keyakinan dan keserasian untuk menghasilkan beberapa gerakan hebat.
“Kami memang rapat, bukan saja di padang, malah luar padang pun selalu bersama... pergi bercuti, makan bersama. Jadi, apabila bermain bersama, kami memang faham antara satu sama lain,” kata penyerang berusia 22 tahun itu.
“Saya tahu kekuatan beliau, beliau juga tahu gaya permainan saya. Jadi, kami hanya perlu nikmati permainan dan lakukan tugas kami.”
Walaupun perlawanan pembukaan menentang Maldives dianggap sebagai peluang untuk menguji keserasian serta menemui rentak permainan mereka, Ilhan menegaskan bahawa sasaran utama tetap mengutip tiga mata apabila menentang Bangladesh nanti.
Singapura telah berdepan dengan Hong Kong pada 25 Mac, di mana mereka seri 0-0.
Perlawanan antara Bangladesh dengan India juga berakhir 0-0.
Ini bermakna kesemua pasukan dalam Kumpulan C sama rata dengan satu mata, dan kemenangan akan memberikan kelebihan untuk menjuarai kumpulan tersebut.
Perkara itu penting kerana hanya juara kumpulan berpeluang mara ke peringkat seterusnya.
Ikhsan, penyerang yang mempunyai jaringan antarabangsa terbanyak dalam skuad dengan 18 gol, dijangka mengetuai barisan serangan.
Ilhan pula dijangkakan akan memainkan peranan sokongan di sisinya, dengan matlamat mencipta peluang dan menyumbang jaringan jika disaji peluang.
“Saya tak kisah siapa yang menjaringkan gol... saya, Ikhsan atau sesiapa saja. Yang penting, pasukan kami menang,” kata Ilhan yang menjaringkan gol pertamanya untuk negara apabila menentang Maldives pada 2022.
Singapura menang Maldives 3-1 dalam perlawanan tersebut.
Dengan pemain seperti Shawal Anuar diketepikan akibat kecederaan, tanggungjawab menjaringkan gol diletakkan di bahu penyerang-penyerang seperti Ilhan, Ikhsan, Taufik Suparno dan pemain Young Lions yang dipanggil buat kali pertama untuk pasukan Singa, Amir Syafiz.
Ketiadaan Shawal disifatkan sebagai ‘kehilangan yang besar’ bagi kededua adik beradik itu.
“Bagi saya, beliau merupakan penyerang yang berada pada prestasi terbaiknya di Singapura sekarang,” kata Ikhsan.
“Malang, tetapi apabila kecederaan berlaku di sinilah pemain lain perlu bangkit dan menunjukkan mereka berada pada tahap ini,” kata Ilhan pula.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg