Perlawanan persahabatan menentang Maldives dianggap sebagai ujian penting bagi pasukan Singa untuk menilai tahap kecergasan dan kesediaan pemain menjelang kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh pada 10 Jun.
Demikian ditekankan Ketua Jurulatih Nasional, Tsutomu Ogura, sambil berkata sikap dan mentaliti pemain amat penting dalam menghadapi perlawanan kelayakan di peringkat antarabangsa.
Bercakap kepada media di Stadium Bishan pada 4 Jun, sehari sebelum pertemuan pasukan Singa dengan Maldives pada 5 Jun, jurulatih asal Jepun itu menegaskan bahawa jadual padat yang dilalui para pemain tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberi komitmen sepenuhnya di peringkat antarabangsa.
“Saya faham ada pemain yang baru habis musim dan keletihan. Ada yang baru menyertai pasukan dua, tiga hari lalu.
“Tetapi ini pasukan kebangsaan – kita tiada pilihan, kita mesti terus maju. Kita tak boleh gunakan keletihan sebagai alasan.
“Bagaimana kita mengurus pemikiran sangat penting. Kita boleh kata ‘kita letih sebab terlalu banyak perlawanan’ atau kita boleh kata ‘kita sudah bersedia sebab baru sahaja bermain dan kekal cergas’,” jelas Ogura, 58 tahun.
Dalam masa yang sama, beliau berkata pasukan perlu mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun mengingatkan bahawa setiap pemain memainkan peranan penting, bukan hanya penyerang semata-mata.
“Kita perlu cipta lebih banyak peluang. Tapi menjaringkan gol bukan tugas seorang pemain saja.
“Siapa yang hantar bola ke depan pun penting. Sama juga apabila kami bertahan – jika kami bolos, bukan salah pertahanan saja. Semua orang perlu menyumbang,” terang beliau.
Ketiadaan penyerang utama Singapura, Shawal Anuar, akibat kecederaan menjadikan Ikhsan Fandi pilihan utama untuk menggalas tugas sebagai penjaring gol pasukan.
Dengan 18 gol antarabangsa, beliau merupakan penjaring terbanyak dalam skuad ketika ini.
Ikhsan menyuarakan keyakinannya bahawa pasukan mampu menghasilkan jaringan, dan menyatakan kegembiraannya untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.
“Kami cipta banyak peluang sebelum ini, cuma kurang bernasib baik untuk jaringkan gol. Tapi kami percaya pada satu sama lain.
“Saya gembira dapat kembali bersama pasukan dan harap dapat bantu kami dapat keputusan positif kali ini,” kata penyerang berusia 26 tahun itu.
Dalam kempen kelayakan Piala Asia, Singapura seri 0-0 menentang Hong Kong pada 25 Mac, manakala pertemuan antara Bangladesh dengan India turut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Ini bermakna kesemua pasukan dalam Kumpulan C kini terikat dengan satu mata.
Kemenangan dalam perlawanan seterusnya amat penting kerana hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan kelayakan seterusnya.
Singapura mempunyai rekod sempurna menentang Maldives, dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, termasuk kemenangan 3-1 pada tahun 2022.
Maldives dilihat sebagai lawan yang sesuai untuk menilai tahap persiapan pasukan, memandangkan mereka baru sahaja beraksi menentang Bangladesh pada November 2024 – menang 1-0 pada 13 November, dan tewas 1-2 pada 16 November.
Dari segi ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Singapura kini di kedudukan ke-161, manakala Maldives di tangga ke-164.
Walaupun perlawanan itu tidak memberi kesan langsung kepada ranking, ia tetap penting sebagai peluang untuk membuktikan bahawa Singapura berada pada tahap yang lebih baik daripada kedudukan semasa.
Selain itu, satu sesi latihan terbuka turut diadakan pada 4 Jun sebagai inisiatif untuk mendekatkan pasukan kebangsaan dengan para penyokong.
Ogura menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan bahawa kehadiran penyokong memberi kesan positif kepada semangat pemain.
“Latihan terbuka ini sesuatu yang sangat baik. Ia bukan saja rapatkan hubungan antara penyokong dan pemain, tapi juga beri isyarat kepada pemain bahawa mereka sentiasa diperhatikan.
“Pemain perlu fokus, bukan hanya semasa perlawanan, tapi ketika latihan juga,” ujar beliau.
“
Bagaimana kita mengurus pemikiran sangat penting. Kita boleh kata ‘kita letih sebab terlalu banyak perlawanan’ atau kita boleh kata ‘kita sudah bersedia sebab baru sahaja bermain dan kekal cergas... Kita perlu cipta lebih banyak peluang. Tapi menjaringkan gol bukan tugas seorang pemain saja. Siapa yang hantar bola ke depan pun penting. Sama juga apabila kami bertahan – jika kami bolos, bukan salah pertahanan saja. Semua orang perlu menyumbang.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg