Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua jaringan tendangan percuma Rice bantu Arsenal tundukkan Real Madrid

Kemenangan 3-0 bawa Gunners setapak lebih dekat ke separuh akhir
Apr 9, 2025 | 2:16 PM
Pemain tengah Declan Rice (kiri) menjaringkan gol pertama Arsenal daripada tendangan percuma hebat yang melepasi benteng pertahanan dan penjaga gawang Real Madrid, dalam perlawanan pertama suku akhir  Liga Juara-Juara mereka.
Pemain tengah Declan Rice (kiri) menjaringkan gol pertama Arsenal daripada tendangan percuma hebat yang melepasi benteng pertahanan dan penjaga gawang Real Madrid, dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara mereka. - Foto AFP

LONDON: Arsenal mencatat kemenangan menakjubkan 3-0 ke atas juara bertahan Real Madrid untuk meletakkan mereka setapak lebih dekat ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Declan Rice menjaringkan gol daripada dua tendangan percuma memukau pada separuh masa kedua perlawanan suku akhir pertama di Stadium Emirates pada 9 April itu.

Mikel Merino menyempurnakan kemenangan Arsenal dengan menambah gol ketiga, sekali gus memberi Gunners kelebihan pada perlawanan kedua mereka kelak.

Memburukkan keadaan Real, pemain tengah mereka, Eduardo Camavinga, dilayangkan kad merah kerana menendang bola dek tidak puas hati dengan keputusan pengadil.

Kehebatan dua gol Rice tidak boleh dipandang rendah hingga penjaga gol Real Thibaut Courtois – yang biasanya sangat cemerlang dalam perlawanan Liga Juara-Juara – langsung tidak dapat mendekati bola rembatan kencang pemain tengah England itu.

Sebelum itu Rice tidak pernah menjaringkan tendangan percuma dalam kerjayanya.

Arsenal benar-benar wajar menang bagi satu persembahan matang yang mendedahkan kelemahan Real yang dilanda kecederaan.

Pasukan Mikel Arteta akan ke Bernabeu untuk perlawanan kedua pada 16 April.

Jika berjaya mara ke separuh akhir, mereka akan menentang Paris Saint-Germain atau Aston Villa, yang akan bertemu pada 10 April dalam perlawanan suku akhir pertama mereka.

Arsenal tidak pernah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sejak 2009, tetapi sasaran itu kini dalam jangkauan mereka.

Arteta menggelar pertemuan menentang dengan Real itu sebagai “malam terbesar” dalam kerjayanya dan beliau mendesak pemainnya supaya mencipta sejarah mereka sendiri dengan memenangi mahkota Liga Juara-Juara pertama Arsenal.

Gunners ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Englanad (EPL), Liverpool, dan nampaknya akan menamatkan musim ini sebagai naib juara untuk musim ketiga berturut-turut.

Namun, Liga Juara-Juara kini memberikan Arteta harapan mendapatkan sebuah trofi utama pertama sejak Piala FA 2020, jika mereka boleh ‘menghabiskan’ Real pada 17 April.

Musim lalu, Arsenal disingkir daripada Liga Juara-Juara oleh Bayern Munich di suku akhir.

Kali pertama Arsenal memasuki final Liga Juara-Juara berakhir dengan kekalahan kepada Barcelona pada 2006. Dalam kempen itu mereka juga mengalahkan Real untuk akhirnya sampai ke peringkat akhir.

Bagi Real, ia satu kekalahan memalukan kerana juara Eropah 15 itu dihukum bagi kelemahan yang telah menyaksikan mereka kalah 10 kali dalam semua pertandingan musim ini dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.

Courtois mengakui bahawa pada separuh masa kedua, pasukannya gagal menguasai permainan dan mendapati sukar untuk mengawal semula bola.

“Kami terlupa cara bermain bola sepak yang bagus. Kami tidak dapat mencari pemain yang tidak dikawal dan tidak tenang mengawal bola,” kata Courtois.

Real tidak berupaya menandingi tenaga Arsenal pada separuh masa kedua dan Gunners wajar mendahului perlawanan dengan menjaringkan gol pada minit ke-58.

Rice tampil menyempurnakan sepakan percuma luar biasa, dengan tendangannya berjaya melepasi barisan pertahanan Real dan Courtois.

Real mengalami tekanan untuk cuba mengejar Arsenal tetapi semangat mereka seolah-olah terpadam apabila Rice menyempurnakan satu lagi tendangan percuma menakjubkan pada minit ke-70.

Arsenal mengekalkan tekanan mereka untuk menjaringkan lebih banyak gol dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Merino menjaringkan gol ketiga mereka. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg