Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua kehidupan, satu impian: Atlet imbangi kerjaya, sukan demi Sukan SEA

Sokongan keluarga tonggak kekuatan untuk tunjuk prestasi yang dapat banggakan S’pura
Dec 8, 2025 | 5:30 AM
 Encik Muhammad Hasbi Zainal, Cik Noor Heeqmah Wahianuar
(Dari kanan) Encik Muhammad Hasbi Zainal dan Cik Noor Heeqmah Wahianuar berkongsi perjalanan mereka membuat persiapan menjelang Sukan SEA 2025 bersama penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa, dan wartawan, Encik Muhd Hazman Abd Aziz. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi kebanyakan orang, pulang daripada kerja bermakna masa untuk berehat.

Namun bagi Cik Noor Heeqmah Wahianuar, peguam sepenuh masa, rutin beliau baru bermula sebaik sahaja matahari terbenam.

Selepas menghabiskan hari di mahkamah dan bertemu klien, beliau akan menukar baju kerja kepada ‘gi’ jujitsu, dan memulakan latihannya di Kelab Masyarakat Tanglin, yang kini menjadi rumah kedua baginya.

Bakal mewakili Singapura di Sukan SEA, Cik Heeqmah, 33 tahun, mengakui hidupnya bergerak antara dua dunia yang sangat berbeza.

“Saya rasa saya menjalani dua kehidupan berbeza. Di tempat kerja saya perlu tenang, profesional dan teratur.

“Namun di tatami atau di gim pula, saya berubah kerana itulah tempat yang saya melepaskan tekanan kerja,” kata beliau yang telah mula menceburi sukan jujitsu pada 2023.

Cik Heeqmah akan membuat penampilan sulungnya dalam sukan itu pada 13 Disember nanti.

Cik Noor Heeqmah Wahianuar beraksi di Kejohanan Jujitsu Asia 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 27 Mei 2025 di Amman, Jordan.
Cik Noor Heeqmah Wahianuar beraksi di Kejohanan Jujitsu Asia 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 27 Mei 2025 di Amman, Jordan. - Foto ihsan NOOR HEEQMAH WAHIANUAR

Namun perjalanan menuju Thailand tidaklah mudah bagi beliau.

Sekitar sebulan lalu, Cik Heeqmah mengalami kecederaan ligamen medial (MCL) pada lutut yang menyebabkan beliau tidak mampu berjalan selama hampir dua minggu.

MCL adalah ligamen yang berfungsi menjaga kestabilan lutut.

Ketika rakan sepasukannya sibuk menjalani latihan intensif, beliau hanya mampu duduk di tepi gelanggang sambil bertongkat.

“Ketika itu saya rasa sangat sedih. Semua orang sedang berlatih, tetapi saya hanya dapat duduk dan lihat dari jauh,” katanya dengan nada kecewa.

Meskipun begitu, jurulatih pasukannya tetap memintanya hadir sesi latihan, bukan untuk bertarung tetapi melakukan visualisasi teknik yang boleh beliau lakukan.

Kehadirannya itu telah memberinya kekuatan untuk terus berusaha dan tidak berputus asa.

Dengan fisioterapi yang konsisten, sokongan jurulatih serta pemulihan yang lebih cepat daripada jangkaan, Cik Heeqmah kembali menjalani latihan penuh hanya dalam beberapa minggu.

Kini, beliau bersedia untuk bertarung dalam kategori pasukan Newaza +66 kilogram di Sukan SEA.

Sementara Cik Heeqmah mengimbangi kehidupan antara menghadiri sesi mahkamah dan latihan, seorang lagi atlet negara turut menjalani rutin sama adalah Encik Muhammad Hasbi Zainal, pemain sepak takraw Singapura.

Pada siang hari, Encik Hasbi bekerja sebagai seorang pegawai Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin komputer membangunkan model bangunan tiga dimensi (3D).

Tetapi apabila hari kerja berakhir, beliau akan menukar mod kepada seorang atlet yang sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan terbesar rantau ini.

“Kadang-kadang dah penat sangat… tapi balik kerja terus pergi latihan,” katanya yang sudah berkecimpung dalam sukan ini sejak usia 10 tahun.

Bagi Encik Hasbi, 29 tahun, gelanggang takraw ialah ruang untuk mengosongkan fikiran, jauh daripada tekanan dunia kerja.

Dalam Sukan SEA 2025, Encik Hasbi akan mengambil bahagian dalam kategori regu dan pasukan.

Encik Muhammad Hasbi Zainal (kanan) beraksi di pertandingan Sri Dewa Cup 2025 yang berlangsung di Wisma Geylang Serai.
Encik Muhammad Hasbi Zainal (kanan) beraksi di pertandingan Sri Dewa Cup 2025 yang berlangsung di Wisma Geylang Serai. - Foto ihsan MOHAMAD FAMI MOHAMED

Walaupun beliau mengakui pasukan takraw Singapura bukan antara yang terkuat, beliau tetap positif dan realistik.

“Kita tahu bahawa terdapat lebih banyak lagi pasukan yang mempunyai prestasi lebih baik berbanding kepada negara kita.

“Tetapi yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kita setaraf dan Singapura juga boleh bertarung bersama mereka,” tegasnya.

Di sebalik latihan intensif serta rutin harian yang padat, kedua-dua atlet ini akur bahawa tiada apa yang dapat menggantikan sokongan keluarga, rakan dan jurulatih yang sentiasa berada di sisi.

Mereka merupakan antara 930 atlet yang akan mewakili Singapura di temasya Sukan SEA 2025.

Bagi Cik Heeqmah, ibu bapanya mungkin tidak selalu menunjukkan sokongan secara terbuka, namun tindakan kecil mereka cukup untuk menyentuh hati.

Ibu bapanya sering bimbang melihat beliau bertanding dan mempersoalkan mengapa beliau perlu melakukan sukan ini.

Namun di sebaliknya, ayahnya selalu menunjukkan rasa bangga secara senyap.

“Apabila saudara mara kami datang untuk Hari Raya, ayah akan menunjukkan pingat saya kepada tetamu.

“Tetapi apabila berhadapan dengan saya, beliau tidak mengatakan yang sama,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Encik Hasbi pula mempunyai keluarga yang selalu menyokong pilihannya.

“Apabila saya ada pertandingan, saya panggil mereka datang, semua akan datang,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

“Sokongan seperti ini saya rasa memberi kekuatan untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Menjelang Sukan SEA, kedua-dua atlet bekerja sepenuh masa ini berharap agar prestasi mereka dapat membanggakan Singapura.

Dengan disiplin, pengorbanan dan semangat juang yang tinggi, kedua-dua atlet ini melambangkan realiti ramai atlet Singapura hari ini mengimbangi kerjaya, kehidupan peribadi dan impian setinggi langit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg