Pertembungan yang sudah tidak asing lagi berlaku di Kejohanan Terbuka Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) BowlTV di Amerika Syarikat pada 31 Mei, apabila dua pemain boling Singapura, New Hui Fen dan Cherie Tan, sekali lagi bertembung dalam perlawanan akhir.
Ia bagaikan ulangan final BowlTV Classic 2024, apabila Tan muncul juara.
Namun, kekalahan itu tidak melemahkan semangat New kali ini.
Dengan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan di Yorktown Lanes di Parma Heights, Ohio, New berjaya menundukkan pilihan utama, Tan, dengan menewaskannya 233-206 untuk merangkul gelaran ketiganya dalam siri PWBA.
New, 33 tahun, berkata: “Saya sangat gembira, dan belum sempat benar-benar menghayati kemenangan ini sepenuhnya.
“Buat masa ini, ia bermakna usaha keras saya telah membuahkan hasil.
“Tumpuan saya semasa perlawanan ialah pada pergerakan bola di lorong – ia seperti saya menentang lorong dan markah saya menentang lawan.
“Saya akan berikan yang terbaik tidak kira siapa lawan saya.”
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan bahawa selepas menamatkan pusingan kelayakan di tempat kelima dengan menjatuhkan 2,811 pin, New menamatkan dua pusingan ‘matchplay’ (satu lawan satu) dengan rekod 9-3.
Beliau sekali gus menduduki tempat kedua untuk ke peringkat akhir ‘stepladder’ – format kalah mati berperingkat mengikut kedudukan pemain.
Ketika di separuh akhir, New menentang pemain Amerika, Shannon Pluhowsky, pilihan keempat yang sebelum itu menewaskan Jordan Snodgrass (225-213) dan Kelly Kulick (211-171).
Dengan kemenangan tipis 224-217 ke atas Pluhowsky, New mara ke perlawanan akhir menentang rakan sepasukannya sendiri, menjadikan ia perlawanan antara pemain Singapura untuk merebut gelaran itu.
Perlawanan bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pemain mencatat tiga ‘strike’ pada empat pusingan pertama.
Namun, New berjaya mengatasi Tan untuk memenangi piala serta membawa pulang hadiah wang tunai US$10,000 ($12,900). Tan menerima US$5,000 sebagai naib juara.
Mengulas mengenai kejohanan itu, New berkata:
“Saya bermain dengan konsisten sepanjang pusingan kelayakan dan ‘matchplay’. Saya perlu membuat keputusan pantas dan tepat ketika ‘matchplay’ kerana setiap pemain mempunyai markah keseluruhan agak tinggi.”
Kemenangan New di Ohio tiba kurang setahun selepas kejayaannya dalam Terbuka PWBA Greater Detroit pada Ogos 2024.
Beliau turut menamatkan Kejohanan Penutup Musim PWBA 2024 di tempat kelima.
New turut menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Boling Singapura (SBF) dan Biasiswa Sport Excellence atas sokongan yang membantunya mencapai prestasi terkini.
Menurutnya, aspek kekuatan fizikal dan pemulihan turut diberi perhatian dalam persiapannya.
New menambah bahawa beraksi di Siri PWBA dan bekerjasama dengan perunding teknikal, Shawn Ryan, telah mempertingkatkan pemahaman taktikalnya.
Bermain bersama rakan sepasukan juga telah banyak membantunya.
“Kami akan berkongsi maklumat tentang keadaan lorong dan cara terbaik untuk bermain di setiap jenis permukaan – kami belajar dan berkembang bersama.”
Kejayaan New itu merupakan gelaran kedua yang dimenangi pemain Singapura dalam Siri PWBA 2025.
Pada Mei 2025, Shayna Ng, memenangi Terbuka Go Bowling Topeka – kejuaraan ketiganya dalam kerjaya PWBA.
Presiden SBF, Valerie Teo, memuji pencapaian New dan mengiktiraf ketenangan, disiplin dan kemahiran yang dipamerkannya sepanjang final ‘stepladder’ itu.
Kejayaan berturut-turut New dan Ng, serta kejayaan Darren Ong dalam siri PBA pada Mac, tambahnya ialah “bukti kukuh bahawa atlet kita mampu bersaing dan menang di peringkat tertinggi sukan ini”.
“Ia mengukuhkan reputasi Singapura sebagai kuasa yang semakin meningkat dalam arena boling antarabangsa,” katanya.
Dengan tiga lagi kejohanan bakal disertai atlet Singapura – Terbuka PWBA Rock ’n’ Roll, Terbuka Bowlers Journal Waterloo dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) Wanita – Teo teruja melihat sejauh mana mereka boleh melangkah.
Lebih daripada sekadar piala, beliau berharap pengalaman itu dapat memberi manfaat kepada bakat muda seperti, Arianne Tay, yang menamatkan BowlTV Open di tempat kesembilan.
“Kami ingin melihat bagaimana siri jelajah ini terus menyemai peningkatan – bukan sahaja dari segi keputusan, bahkan juga dalam bimbingan dan pembangunan, ketika pemain muda mendapat pengalaman dan tunjuk ajar daripada pemain senior,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg