Team boling muda Singapura membalas kekecewaan mereka dengan kejayaan dalam Kejohanan Boling Terbuka Jepun.
Pada mulanya skuad muda ini telah bersiap menyertai Kejohanan Sukan Tertutup dan Seni Bela Diri Asia di Thailand 21-30 November, sebelum Majlis Olimpik Asia mengumumkan pada Ogos bahawa acara empat tahunan itu telah dibatalkan.
Peluang tidak dijangka dengan pasukan bertanding di Jepun yang membawa kepada satu gelaran juara, tiga tempat kedua, dan satu tempat ketiga.
Pasukan wanita, – Lim Shi En, Arianne Tay, Ning Tay, dan Charmaine Chang – muncul juara bagi divisyen wanita.
Pengarah teknikal Persekutuan Boling Singapura (SBF), Jason Yeong-Nathan, berkata keputusan acara pasukan adalah prestasi yang paling menonjol.
“Ini adalah pasukan muda yang akan kami hantar untuk Sukan Tertutup Asia – pasukan yang belum pernah bermain acara pasukan bersama sebelum ini. Mereka hanya punyai sebulan sebelum pertandingan untuk bekerjasama, memahami rakan sepasukan dan jurulatih mereka. Dalam keadaan sebegitu, pemain boling dan jurulatih melakukan kerja yang luar biasa,” kata beliau.
Pasukan lelaki pula, yang terdiri daripada Cheah Ray Han, Xavier Teo, Aiman Lim, dan Peter Khor, meraih tempat kedua.
Arianne Tay juga meraih tempat kedua atau naib juara dalam acara semua wanita dan tempat ketiga dalam beregu wanita bersama Chang.
Cheah Ray Han meraih tempat kedua dalam perseorangan lelaki, dan Lim Shi En menduduki tempat keempat dalam perseorangan wanita.
Yeong-Nathan memuji prestasi pasukan, lebih-lebih lagi melihat pada usia muda mereka dan format pertandingan yang tidak biasa.
“Formatnya berbeza daripada pertandingan lain yang biasa kita lalui. Tiada penggantian lorong antara skuad. Apabila tiada penggantian, lorong berubah dengan sangat berbeza dari satu skuad ke satu skuad. Pemain boling dan jurulatih perlu sangat tajam dalam membuat keputusan,” jelas beliau.
Arianne Tay, yang sebelum ini memenangi emas dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Terbuka Thailand Masters, puas hati dengan prestasi terkini dan kejayaan pasukannya.
“Ia adalah perasaan yang memuaskan untuk mempunyai prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024.
“Ia rasa seperti masa yang saya luangkan di dalam dan di luar lorong telah terbayar. Saya senang dapat membuat keluarga dan rakan-rakan saya di rumah berbangga juga,” kata beliau.
Mengenai prestasinya, Tay, 20 tahun, pelajar tahun kedua perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata:
“Saya fikir jurulatih saya mencari cara mengubah sukan fizikal saya semasa latihan telah membantu dalam meningkatkan aspek tertentu permainan saya. Dapat mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini juga membantu saya meraih pengalaman dan belajar lebih banyak tentang boling dan diri saya sendiri.”
Ning Tay, 19 tahun, yang menduduki tempat ketujuh dalam perseorangan wanita, berkata pasukan itu gembira dapat menang dalam kali pertama mereka bekerjasama sebagai kuartet.
“Sebilangan daripada kami pernah bermain bersama sebelum ini, tetapi ini adalah kali pertama kami berempat bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Menarik bertanding dalam pasukan baru dan meneroka dinamik dalam pasukan. Kami berpegang pada proses, sabar walaupun keadaan sukar dan berusaha sebaik mungkin untuk berseronok dan menikmati permainan.
“Saya sangat bangga dapat memenangi ini bersama pasukan, dan kami berbesar hati untuk menang ini di antara 108 pasukan yang kuat,” kata beliau.
Pasukan Singapura kini akan memberi tumpuan kepada Kejohanan Kebangsaan Singapura ke-54 dan Kejohanan Remaja Kebangsaan kesembilan yang akan berlangsung dari 23 November hingga 7 Disember, dengan matlamat menerapkan pelajaran yang dipelajari daripada kempen mereka di Jepun.
Yeong-Nathan bangga dengan prestasi pasukan yang sangat muda dan pengalaman berharga yang mereka perolehi daripada bertanding dalam acara dewasa yang mencabar.
“Bagus melihat bagaimana pasukan itu bersatu dalam masa yang singkat dan bermain dengan baik dalam format pertandingan yang belum pernah mereka mainkan sebelum ini.
“Mereka menyesuaikan diri dengan cepat, dan ia adalah pendedahan pembelajaran yang hebat untuk kedua-dua jurulatih dan pemain boling,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg