Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pemain tenis wanita terbaik dunia bakal berentap

Jan 16, 2025 | 5:53 PM
Atlet tenis wanita nombor dua dunia, Iga Swiatek (kiri), akan menentang Emma Raducanu, juara Terbuka Amerika 2021, dalam pertemuan berprofil tinggi Terbuka Australia.
Atlet tenis wanita nombor dua dunia, Iga Swiatek (kiri), akan menentang Emma Raducanu, juara Terbuka Amerika 2021, dalam pertemuan berprofil tinggi Terbuka Australia. - Foto EPA-EFE AFP

MELBOURNE: Pemain nombor dua dunia, Iga Swiatek, mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia pada 16 Januari untuk pertemuan yang dijangka menarik dan penuh debaran dengan juara Terbuka Amerika 2021, Emma Raducanu.

Ketika Swiatek dari Poland mengatasi pemain nombor 49 dunia, Rebecca Sramkova, 6-0, 6-2 di Rod Laver Arena, Raducanu dari Britain memasuki gelanggang berdekatan, Kia Arena.

Raducanu, yang sebelumnya hanya pernah mara ke pusingan kedua di Melbourne tiga kali, akhirnya dapat memecahkan rekod peribadi setelah berhempas pulas menentang rakan baiknya, Amanda Anisimova, dan menang 6-3, 7-5.

Di gelanggang tengah Melbourne Park, Swiatek dengan mudah mematahkan permainan servis pembukaan pemain Slovakia, Sramkova, dan tidak pernah menoleh ke belakang.

Sramkova, yang beraksi dalam pusingan kedua Grand Slam buat kali pertama, tidak mempunyai jawapan dengan pukulan tepat pemain tenis Poland itu.

Swiatek menang 64 peratus mata daripada servis pertama pemain Slovakia itu dalam set pembukaan yang berlangsung selama 27 minit. Swiatek hanya kehilangan 10 mata.

Selepas rehat, Sramkova kembali ke gelanggang dengan sorakan penyokongnya.

Namun Swiatek terus mempamerkan permainan hebat dan menang selepas tepat satu jam.

“Saya berasa sangat mantap hari ini. Ia adalah permainan yang sangat cekap.

“Saya gembira kerana saya kekal fokus,” kata Swiatek.

Raducanu berkata beliau menantikan cabaran menentang Swiatek.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat baik untuk saya,” katanya tentang perlawanan menentang juara Grand Slam lima kali itu.

Raducanu, kini menduduki tempat ke-61, terlepas sebahagian besar musim 2023 berikutan pembedahan pergelangan tangan dan buku lali, dan kemudian diketepikan selama dua bulan akibat kecederaan kaki.

Swiatek mengambil pendekatan baru dalam memburu gelaran pertama Terbuka Australia.

Beliau menarik diri daripada acara pemanas badan Terbuka Australia di Auckland setelah mengalami kecederaan punggung dan memerlukan masa rehat akibat otot kaki yang tegang semasa ketinggalan 0-3 pada set kedua menentang Anisimova.

“Saya menyukai setiap perlawanan bermain menentang lawan terbaik. Ia adalah peluang untuk menguji permainan saya, menilai kedudukan saya.

“Saya tidak akan rugi, saya hanya akan berikan yang terbaik,” kata Swiatek.

Beliau, yang hilang ranking teratasnya kepada juara bertahan Aryna Sabalenka musim lalu kerana digantung sebulan, tidak mempunyai rekod baik di Melbourne.

Swiatek mengumumkan pada Oktober lalu beliau telah mendapatkan jurulatih baru, Wim Fissette, yang juga bekas jurulatih pemain tenis wanita ranking tinggi seperti Naomi Osaka, Kim Clijsters, dan Victoria Azarenka.

Fissette telah mendapatkan rakan sparing hebat untuk Swiatek yang berazam meningkatkan rekodnya di Australia. Ia telah menunjukkan hasil.

“Jelajah kejohanan wanita bukan mudah dengan kebanyakan jurulatih adalah lelaki. Ada kala mereka perlu juga memahami apa yang kita lalui.

“Saya rasa Wim melakukannya dengan baik,” kata Swiatek. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg