Musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/25 agak mengecewakan bagi pasukan bimbingan Robert Eziakor, di mana mereka mengakhiri saingan SPL di tangga ketujuh antara sembilan pasukan.
Dalam usaha mempertingkatkan prestasi pasukannya musim ini, jurulatih pasukan itu telah menekankan perlunya untuk bermain dan bertahan secara berpasukan.
Namun, mereka tetap perlu bergantung kepada kebolehan individu beberapa pemain utama yang mampu mendorong mereka meraih keputusan yang diinginkan.
Berikut adalah dua pemain tumpuan Hougang United.
Pemain sayap asal Sepanyol ini mempunyai pengalaman luas setelah beraksi di beberapa negara termasuk Canada, Honduras, Kemboja, dan Malta.
Antara kelab yang pernah disertainya termasuk Whitecaps FC 2, Pacific FC (di mana beliau menjulang kejuaraan Liga Perdana Canada pada 2021), serta beberapa kelab di Kemboja seperti Visakha FC dan Angkor Tiger.
Blasco dikatakan mampu mengawal bola dengan baik, mempunyai visi kreatif.
Justeru Hougang United pastinya mengharapkan Blasco untuk menjadi pemain utama yang dapat membolosi benteng pertahanan lawan, mencipta peluang serta menjaringkan gol-gol penting sepanjang musim.
Pemain tengah dari Jepun itu dikenali dengan gaya permainan yang tenang tetapi berani.
Kikuchi sebelum ini beraksi bersama beberapa kelab dalam dan luar Jepun, termasuk SC Sagamihara dan Azul Claro Numazu dalam liga profesional Jepun, serta Angkor Tiger di Kemboja.
Beliau hadir untuk memperkukuh barisan pertahanan pasukan, bertindak sebagai ‘pelindung’ barisan pertahanan Hougang dan beliau bakal menjadi sandaran dalam mengekang serangan lawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg