Setelah membina kerjaya di Hougang United, daripada peranan pentadbiran kepada kejurulatihan belia dan kini ketua jurulatih, Robert Eziakor berazam untuk mengecap kejayaan buat kelab itu dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Menyasarkan untuk mengakhiri saingan SPL daripada kedudukan bawah liga, bagi mencapai tiga tempat teratas, beliau melihat musim akan datang sebagai batu loncatan penting dalam rancangan jangka panjang beliau itu.
Visinya adalah untuk Hougang menjadi pesaing utama SPL dalam tiga tempat teratas itu secara konsisten.
“Keutamaan saya adalah untuk meletakkan Hougang dalam kelompok tiga pasukan teratas,” kata jurulatih berusia 38 tahun itu.
“Itu bukan sesuatu yang akan terjadi dengan sekelip mata, ia satu proses yang berterusan dan memerlukan keputusan serta usaha yang tetap,” katanya.
Bagi Eziakor, impian menjulang trofi hanya akan dapat dikecapi apabila pasukannya berjaya menunjukkan prestasi stabil dari musim ke musim.
Musim lalu, Hougang menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada sembilan pasukan – hanya mengatasi Young Lions dan Tanjong Pagar United.
Gawang mereka juga dibolos sebanyak 76 kali dalam hanya 32 perlawanan.
Eziakor mendedahkan bahawa musim lalu agak pahit bagi beliau kerana mereka tidak berjaya perbaiki kedudukan dalam SPL sejak beliau mengambil alih Marko Kraljevic sebagai ketua jurulatih pada Disember.
Beliau juga menekankan bahawa terdapat banyak perkara yang dilakukan sejak beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih.
“Memang tugas sebagai ketua antara yang paling sukar bagi saya,” kata Eziakor.
“Terasa tekanannya. Apabila anda menang, rasa bahagianya tidak terkata. Namun, apabila mengalami kekalahan rasa pahitnya cukup dahsyat.”
Untuk memperbaiki keadaan kelab, Eziakor menegaskan pemainnya perlu bermain secara berpasukan, yang menurutnya kurang ketara musim lalu.
“Kami mahu bekerja keras sebagai satu unit untuk mendapatkan keputusan positif, tanpa mengira siapa lawan kami,” kata beliau.
“Apabila bertahan kami perlu bersatu, apabila menyerang serang juga perlu bersatu”
Selain itu, Hougang juga turut perkukuhkan skuadnya, dengan membawa masuk empat pemain import – pemain pertahanan dari Amerika Syarikat, Sam Strong; pemain tengah Jepun, Yuta Kikuchi; pemain sayap Sepanyol, Victor Blasco serta penyerang muda Thailand, Yotsakon Burapha dari Chonburi FC secara pinjaman.
Eziakor berharap kemasukan pemain-pemain import ini dapat meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan.
“Apabila pemain import hadir, cara mereka berlatih dan bermain akan tentukan tahap yang diinginkan,” kata beliau.
“Peraturan membenarkan tujuh pemain import, tetapi itu tidak bermaksud pemain tempatan tidak ada peluang. Jika pemain tempatan bermain dengan lebih baik, mereka tetap akan dipilih untuk bermain.”
Jurulatih itu menyifatkan falsafah dan pendekatan bola sepaknya bak “air”, yang mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.
Dari segi gaya permainan, Eziakor menggemari bola sepak yang agresif, tetapi tetap menekankan nilai komunikasi serta pemahaman individu dalam pasukan.
“Dalam menghadapi cabaran, kadang-kadang kita perlu dekati pemain secara individu – bercakap dengan mereka, beri ruang untuk mereka luahkan perasaan sebenar mereka,” ujar jurulatih dari Nigeria itu.
Dengan pendekatan ini, beliau berharap pemain akan memahami satu sama lain dengan lebih mendalam kerana perkara tersebut akan perkukuhkan gaya permainan berpasukan mereka.
Walaupun beliau sedar bahawa untuk mencapai tahap yang diinginkan akan mengambil masa, Eziakor juga sedar tentang perlunya memenangi perlawanan dan mendapatkan keputusan yang memuaskan.
“Menjadi seorang jurulatih di tahap ini bermakna semuanya berdasarkan keputusan. Jikalau keputusan tidak memuaskan, kamu akan dikeluarkan dari jawatan tersebut,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg