ROME: Perenang Italy, Benedetta Pilato dan Chiara Tarantino, digantung selama 90 hari selepas insiden kecurian di sebuah kedai di Lapangan Terbang Changi pada 14 Ogos, kata persekutuan renang negara itu pada 9 Oktober.
Persekutuan Renang Italy (FIN) berkata hukuman itu dijatuhkan setelah mengambil kira pengakuan dan kerjasama kedua-dua atlet itu.
Mereka juga dilarang memasuki Singapura semula, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 4 September.
Pilato, 20 tahun, adalah bekas pemegang rekod dunia bagi acara 50 meter kuak dada wanita, dan memenangi pingat gangsa pada kejohanan dunia di Singapura pada 3 Ogos.
Dengan hukuman itu, kedua-dua perenang itu dilarang mengambil bahagian dalam Kejohanan Jarak Dekat Eropah yang dijadualkan pada 2 hingga 7 Disember di Lublin, Poland.
Media Italy melaporkan pada 29 Ogos mengenai kesalahan yang melibatkan kedua-dua atlet itu.
Mereka merupakan sebahagian daripada kontinjen Italy yang bertanding dalam Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) dari 11 Julai hingga 3 Ogos di Singapura.
Tarantino, 22 tahun, dilaporkan mencuri beberapa botol minyak wangi dari sebuah kedai bebas cukai dan menyembunyikan barangan itu di dalam beg Pilato, dalam kejadian yang dirakam oleh kamera keselamatan.
Kedua-dua atlet itu ditahan seketika oleh polis sebelum dibebaskan dengan bantuan pegawai diplomatik Italy.
Ketua jurulatih pasukan renang kebangsaan Italy, Cesare Butini, mengkritik dua atlet tersebut berikutan insiden itu.
“Sangat kecewa dengan tingkah laku yang sudah pasti merosakkan sukan secara keseluruhan,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar harian Italy, La Repubblica, dalam laporan pada 31 Ogos.
“Saya akan beritahu mereka bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang sangat bodoh. Mereka adalah duta, walaupun mereka tidak memakai (uniform negara). Apa yang mereka lakukan sangat serius.”
Selepas kejadian itu menjadi tular, Pilato menulis di Instagram bahawa beliau secara tidak sengaja dan tidak langsung “terlibat dalam insiden yang tidak menyenangkan yang ditangani oleh pihak berkuasa lapangan terbang Singapura”.
Menurut Pilato, tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk bertindak secara tidak wajar, dan beliau juga sangat berpegang pada “nilai sukan, keadilan, dan kejujuran peribadi”.
“Namun, daripada pengalaman ini, saya telah meraih pengajaran besar tentang kewaspadaan, tanggungjawab individu dan nilai orang-orang di sekeliling saya,” tambahnya.
Tarantino pula tidak membuat sebarang komen awam. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg