Walaupun tiada kelab Singapura yang berjaya mara ke final Piala Shopee Kejohanan Kelab Asean (ACC), penyokong tempatan masih berpeluang menyaksikan pertembungan dua pemain negara dalam aksi final timbal balik itu.

Penyerang Singa, Ilhan Fandi, yang kini menyarung jersi kelab gergasi Thailand Buriram United, bakal berdepan rakan sepasukan kebangsaan, Safuwan Baharudin, yang mewakili kelab Malaysia Selangor FC.

Namun, juara bertahan Buriram akan turun bagi aksi pertama final pada 20 Mei di MBPJ Stadium tanpa beberapa tonggak utama.

Penyerang Guilherme Bissoli, yang kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol, dan pemain tengah, Goran Causic, tidak dapat diturunkan selepas kedua-duanya dilayangkan kad merah ketika masa tambahan dalam aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim FC pada 13 Mei.

Namun, ketua jurulatih Buriram, Mark Jackson, yakin pasukannya mampu mengatasi ketiadaan pemain utama mereka.

“Kehilangan pemain seperti mereka sememangnya satu tamparan besar, tetapi kami akan mencari jalan untuk mengatasinya sebagai satu pasukan,” kata Jackson.

“Itulah sebabnya kami mempunyai skuad yang besar, dan situasi ini juga membuka peluang kepada pemain lain untuk menyerlah.”

Pasukan Selangor kendalian Kim Pan-gon pula hadir dengan ancaman mereka tersendiri.

Penyerang mereka, Chrigor Moraes, terbukti tajam di depan gol dengan lima jaringan sepanjang kempen Piala Shopee mereka dan bergabung cemerlang dengan pemain sayap kebangsaan Malaysia Faisal Halim, menjadi antara faktor utama kejayaan Selangor mara ke final.

“Beliau (Chrigor) muda, pantas dan mempunyai sentuhan jaringan yang sangat tajam. Beliau boleh menjaringkan gol dari hampir mana-mana sudut. Setiap kali saya menghantar bola kepadanya, saya sudah merasakan peluang itu akan menghasilkan gol,” kata Faisal Halim.

Pemain sayap 28 tahun itu juga tekad untuk mengakhiri kemarau trofi mereka di mana kali terakhir Selangor menjulang trofi adalah bagi Piala Malaysia pada 2015.

“Kami perlu memberikan segala-galanya demi kelab dan juga diri sendiri. Saya percaya bukan mustahil untuk Selangor mencipta kejayaan. Kami hanya perlu menikmati suasana perlawanan, berikan yang terbaik dan berharap dapat membawa pulang trofi ini.”

Kali terakhir dua pasukan itu bertembung berakhir dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan di Buriram pada Ogos, justeru penyokong boleh jangkakan persaingan yang sengit dalam kededua perlawanan final nanti.

Perlawanan final pertama akan berlangsung pada 20 Mei di Stadium MBPJ, Malaysia, dengan perlawanan timbal balik akan berlangsung pada 27 Mei di Stadium Buriram, Thailand.