Setiap hujung minggu, si kakak akan menyaksikan adik dan ayahnya bermain bola sepak bersama di Taman West Coast.
Rasa bagai ‘diketepikan’ apabila melihat adik-adiknya seronok bermain bola sepak, Nur Irsalina Irwan kemudian mengambil keputusan menyertai mereka di padang bola sepak.
Melihat anak-anaknya meminati bola sepak, bapa mereka, Irwan Isnin, kemudian mendaftarkan Irsalina dan adiknya, Harith Danish Irwan, ke Akademi Bola Sepak Ace di mana beliau merupakan jurulatih pasukan bawah 12 tahun di situ.
Daripada hanya berlatih bersama keluarga, kini kedua-duanya bakal menyarung jersi negara acara bola sepak di Sukan SEA 2025.
Irsalina, 18 tahun, dan adiknya, Harith, 16 tahun, akan terbang bersama ke Thailand bagi Sukan SEA sulung mereka.
Malah, Harith merupakan pemain termuda yang disertakan ketua jurulatih pasukan lelaki bawah 22 tahun Singapura, Firdaus Kassim, untuk temasya itu.
Memikul harapan keluarga dan negara, pasangan adik beradik itu tekad memberikan yang terbaik dan mengambil satu perlawanan demi satu dalam mengharungi cabaran yang menanti.
Mengimbau kenangan mula berjinak-jinak dalam bola sepak, Irsalina berkata beliau beralih daripada tarian Melayu kepada sukan itu pada usia sembilan tahun kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Pada awalnya kegiatan kokurikulum (CCA) saya di sekolah rendah ialah tarian Melayu.
“Jadi, setiap hujung minggu, ayah akan bawa kami ke Taman West Coast – untuk melatih adik-adik saya, dan saya hanya ikut untuk santai. Tetapi melihat adik-adik saya seronok berlatih, saya rasa sedikit left out.
“Pada masa sama, saya juga mahu cuba bola sepak kerana sudah mula bosan menari sahaja sepanjang masa,” kata anak sulung lima beradik itu kepada Berita Harian (BH).
Irsalina merupakan antara lapan bakat muda bola sepak Singapura yang menerima Biasiswa Luar Negara Unleash The Roar! yang pertama pada Ogos 2023.
Irsalina menghabiskan dua tahun di Amerika Syarikat, menjalani latihan di IMG Academy di Florida, dan menamatkannya pada Mei lalu dengan diploma sekolah menengah.
Baru sahaja pulih daripada kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL), yang mengetepikannya selama hampir setahun, Irsalina bakal ke Sukan SEA dengan semangat baru.
“Ia satu penghormatan, terutamanya selepas kembali daripada tempoh rehat yang panjang akibat kecederaan ini.
“Matlamat saya ialah untuk memberikan yang terbaik serta menyumbang dalam apa jua cara yang saya mampu untuk pasukan,” katanya.
Pasukan bola sepak wanita ditempatkan di Kumpulan A menentang Indonesia pada 7 Disember dan Thailand pada 10 Disember di Chonburi.
Sudah menyarung jersi negara sebanyak tujuh kali, pemain pertahanan itu tidak dapat menyembunyikan kebanggaannya terhadap adiknya – beraksi di bahagian tengah – yang menjadi pemain termuda dalam skuad bawah 22 tahun di Sukan SEA 2025.
Beliau berkata mereka berdua gemar bertukar pendapat mengenai prestasi masing-masing selepas perlawanan kerana walaupun bermain di posisi yang hampir sama, cara permainan mereka berbeza.
“Saya sebenarnya sangat bangga dengannya, sebagai pemain termuda, pastinya terdapat banyak harapan.
“Tetapi saya rasa beliau menghadapinya dengan baik, dan saya kagum dengannya kerana beraksi dengan cemerlang pada usia yang sangat muda.”
Harith tidak segan untuk memulangkan pujian itu dan berkata:
“Saya paling rapat dengan kakak saya dan saya tahu beliau akan berikan yang terbaik, namun beliau sering overthink kerana terlalu banyak berfikir.
“Beliau perlu fokus pada perkara yang boleh dikawal dan jangan lupa senyum sebab saya dan beliau memang terlalu serius, walaupun semasa latihan.”
Akur dengan tekanan yang dihadapi sebagai pemain muda, Harith tenang menerimanya dan bertekad untuk memberikan yang terbaik.
“Untuk mengatasinya, saya sentiasa cuba berada dalam keadaan seperti atlet profesional – kekal yakin, fokus dan pada masa yang sama cuba senyum dan menikmati setiap detik permainan,” kongsinya.
Harith serta rakan-rakannya dalam skuad bawah 22 tahun Singapura ditempatkan di Kumpulan A. Mereka akan menghadapi Timor Leste dan Thailand di Bangkok pada 6 dan 11 Disember nanti.
Skuad kali ini memiliki purata umur termuda – 20 tahun – dalam kejohanan itu dengan lima pemainnya berusia 17 tahun dan ke bawah, untuk menggilap mereka bagi Sukan SEA 2029 di Singapura.
Ini termasuk Harith, Andy Reefqy, Luth Harith, Nathan Mao dan Rae Peh.
Harith tidak terlalu memikirkan pada temasya 2029 kerana perjalanannya masih jauh tetapi mahu mengambil peluang ini untuk mendedahkan dirinya kepada intensiti dan mutu permainan yang diperlukan.
“Penerapan saya dalam skuad kali ini membantu saya faham apa yang perlu saya perbaiki dan apa yang menanti saya di peringkat bola sepak antarabangsa.
“Jadi, apabila tiba 2029 nanti, saya harap saya akan benar-benar bersedia dan lebih matang kerana sudah tahu apa yang diperlukan di peringkat itu,” ujarnya.
Walaupun baru berusia 16 tahun, pemain yang menamatkan pengajian peringkat GCE ‘N’ di Sekolah Sukan Singapura pada 2024 itu menunjukkan kematangan luar biasa.
Boleh beraksi di bahagian tengah dan pertahanan, Harith sudah menjadi antara pemain penting untuk Firdaus.
Dengan raut wajah serius di padang, beliau bukanlah pemain yang boleh diremehkan pasukan lawan dengan kekuatan dan kerajinannya.
Anak kedua itu sering disertakan dalam kesebelasan utama skuad Young Lions dalam Liga Perdana Singapura (SPL) serta kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun pada September lalu.
Firdaus tidak menyangkal mutu pemain muda itu sambil berkata kualiti mengawal bola dan keupayaan fizikal Harith mampu memberikan dimensi berbeza kepada pasukan.
Namun, penting untuk mereka berhati-hati dan memberi ruang untuk Harith berkembang, katanya.
“Jika kita benar-benar lihat potensi bahawa beliau bakal menjadi pemain yang sangat penting pada masa hadapan, kita perlu menjaganya dengan baik.
“Pemain senior turut memberi dorongan kepadanya dan beliau sendiri sangat bermotivasi untuk memainkan peranan utama pada Sukan SEA nanti,” ujar Firdaus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg