Yang satu suka duduk rumah, yang satu lagi pula gemar keluar santai di pantai.
Bagi pasangan adik beradik, Aqil Yazid dan Aizil Yazid, walaupun memiliki hobi berbeza, mereka tetap kongsi cinta yang sama pada bola sepak.
Malah, bagi kedua-duanya, luka daripada kempen Sukan SEA 2023 masih lagi terngiang-ngiang dalam ingatan.
Mereka membentuk skuad bawah 22 tahun yang lalu dengan pasukan mereka menduduki tangga tercorot dalam kumpulan lima pasukan serta dibelasah 0-7 oleh Malaysia.
Pasangan itu kini ingin melupakan kekecewaan itu dan membimbing pemain muda yang lain untuk mencatat sejarah baru di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Aqil, seorang pemain pertahanan, berkongsi bahawa tiada perasaan yang lebih bermakna daripada menyarung jersi Singapura bersama adiknya – yang merupakan penjaga gawang – di peringkat belia dan ingin meneruskannya hingga ke skuad negara.
“Kenangan paling bermakna yang kami kongsi bersama ialah setiap kali mewakili negara pada zaman remaja. Perasaannya berbeza dan sangat istimewa apabila saya dapat mewakili negara.
“Terutamanya apabila saya menoleh ke belakang, saya dapat lihat adik saya sendiri berada di belakang saya dan beri arahan... saya rasa lebih terjamin,” kata bek tengah berusia 21 tahun itu kepada Berita Harian (BH).
Beraksi sebanyak dua kali sebagai pemain gantian di Sukan SEA 2023, Aqil – yang digelar Qilo oleh adiknya – mahu menggunakan pengalaman itu untuk membantu pasukannya tahu apa yang perlu dijangka.
“Tahap di Sukan SEA sangat tinggi, maka dengan pengalaman yang saya ada, ia adalah sesuatu yang saya boleh kongsikan dengan rakan sepasukan mengenai apa yang kami boleh jangkakan,” katanya.
Walau berhadapan pasukan mencabar seperti Thailand dan Timor Leste di Kumpulan A, dua beradik itu menyasarkan dua clean sheet (tanpa dibolosi gol) di Sukan SEA nanti.
Bagi Aizil, parut daripada Sukan SEA 2023 masih terasa kerana beliau beraksi di kesemua perlawanan Young Lions di temasya tersebut.
Beliau dibolosi sebanyak 13 kali dengan Singapura tewas tiga dan seri satu perlawanan.
Bercakap kepada BH, penjaga gawang berusia 20 tahun itu berkata hasil daripada kempen mengecewakan, ia membakar semangat pemain ketika itu untuk beraksi dengan lebih baik di Thailand.
“Bagi saya, ada dua cara untuk melihatnya. Pertama, ya kami kalah jadi kami patut putus asa.
“Tetapi bagi saya, dan saya rasa bagi kebanyakan daripada kami yang menjadi sebahagian daripada pasukan, melihatnya sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik di masa hadapan.
“Apabila kami lalui pengalaman seperti itu, ia mengajar kami untuk tidak rasa tergugat apabila berada di bawah tekanan kerana kami tahu tidak akan rugi apa-apa,” ujarnya.
Kedua-dua pemain itu merupakan anak kepada bekas penjaga gawang negara, Yazid Yasin. Walaupun Yazid sudah bersara, anak-anaknya memastikan namanya terus menjadi mimpi ngeri bagi penyerang.
Aqil dan Aizil – yang jarak usia hanya 11 bulan – menjadikan ayah mereka sebagai inspirasi.
Semasa kecil, Yazid akan membawa mereka ke latihan pasukannya dan ketika itu, mereka dapat melihat disiplin ayahnya yang disifatkan Aizil sebagai ‘orang pertama datang dan terakhir pulang’ ke latihan.
“Kami hanya duduk di tepi, dan bila ayah saya selesai latihan, beliau bawa kami ke bilik persalinan.
“Kami dapat lihat pelbagai disiplin dan fizikal pemain asing, terutamanya ketika itu bola sepak Singapura berada pada tahap kemuncak,” kata Aizil.
Aizil dan Aqil mula bermain bola sepak sejak di sekolah rendah dan tidak lama kemudian menyertai Akademi Bola Sepak Cosmo United (CUFA), sebelum dipilih menyertai Sekolah Sukan Singapura.
Lebih menarik lagi, Aizil memulakan perjalanan bola sepaknya sebagai penyerang, dan Aqil sebagai penjaga gawang.
Hidup kemudian mengambil haluan yang tidak dijangka apabila kedua-dua pemain itu bertukar peranan di bahagian penjaga gawang kerana masing-masing tidak gemar dengan posisi asal mereka.
Mengikut jejak langkah Yazid yang pada usia 16 tahun sudah tandatangan kontrak profesional bersama Sembawang Rangers di Liga-S (sebelum ditukar menjadi Liga Perdana Singapura), Aizil turut menandatangani kontrak profesionalnya bersama Albirex Niigata pada usia 15 tahun.
Aqil pula menandatangani kontrak bermain bersama Balestier Khalsa bawah 21 tahun pada 2020 ketika usianya 16 tahun.
Aizil, yang sentiasa tersenyum, berkongsi bahawa di luar bola sepak, beliau lebih gemar meluangkan masa di tepi pantai dan memancing.
Ini berbeza dengan Aqil yang lebih gemar duduk di rumah dan bermain game serta kelihatan lebih serius.
Mengimbas kembali zaman kecil mereka, Aqil berkata bahawa dahulu, apabila berlaku kesilapan di padang, mereka berdua lebih sukar menerima kritikan antara satu sama lain.
Namun kini, mereka lebih terbuka untuk berkomunikasi dan saling mengingatkan jika ada kesilapan yang dilakukan.
“Semakin kami membesar, kami menjadi lebih terbuka antara satu sama lain… lebih bersedia untuk beri dan terima maklum balas.
“Saya seorang bek tengah dan beliau ialah penjaga gawang, banyak yang saya perlu berkomunikasi dengannya.
“Jika saya lakukan kesilapan, beliau akan menegur saya, dan begitu juga sebaliknya,” kata Aqil.
Aqil menambah mereka turut meluangkan masa di waktu makan malam untuk berkongsi pandangan mengenai perlawanan yang mereka beraksi bersama terutamanya dengan mereka beraksi di posisi berbeza.
Beliau menambah:
“Penting untuk saya mengetahui pandangannya, dan sebagai penjaga gawang, bagus juga baginya untuk mengetahui pandangan saya kerana kami mempunyai perspektif berbeza.”
Membawa nama Yazid, dua beradik itu memerlukan persefahaman tersebut untuk membawa Singapura keluar daripada ‘badi’ Sukan SEA, yang mana skuad bawah 22 tahun tidak pernah menang pingat emas dan melepasi peringkat kumpulan sejak 2013.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg