Dulu mop lantai gim, kini diiktiraf bimbing atlet para ke pentas dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu mop lantai gim, kini diiktiraf bimbing atlet para ke pentas dunia

Lebih 200 jurulatih diiktiraf dalam usaha bangun sukan tempatan
Feb 13, 2026 | 10:19 PM

Dulu mop lantai gim, kini diiktiraf bimbing atlet para ke pentas dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ketua jurulatih pasukan sukan angkat berat atau ‘powerlifting’ para nasional, Muhammad Abdul Razak Mansor (kanan), antara 214 jurulatih daripada 79 sukan yang diiktiraf di Majlis Penghargaan Jurulatih pada 13 Februari. Razak merupakan antara lebih 80 jurulatih yang hadir semasa majlis tersebut untuk menerima pingat penghargaan. Beliau menerima pingatnya daripada pengerusi Majlis Sukan Singapura (SportSG), Kon Yin Tong (kiri).
Ketua jurulatih pasukan sukan angkat berat atau ‘powerlifting’ para nasional, Muhammad Abdul Razak Mansor (kanan), antara 214 jurulatih daripada 79 sukan yang diiktiraf di Majlis Penghargaan Jurulatih pada 13 Februari. Razak merupakan antara lebih 80 jurulatih yang hadir semasa majlis tersebut untuk menerima pingat penghargaan. Beliau menerima pingatnya daripada pengerusi Majlis Sukan Singapura (SportSG), Kon Yin Tong (kiri). - Foto ZB

Siapa sangka tugas mengemop lantai di sebuah gim swasta pada 2013 menjadi titik mula bagi beliau menceburi bidang kejurulatihan sukan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Muhammad Abdul Razak Mansor, 35 tahun, kini sosok penting di sebalik kejayaan pasukan angkat berat atau ‘powerlifting’ para Singapura setelah membuat keputusan berani menyertai badan sukan itu sebagai ketua jurulatih pada 2018.

Sejak itu, beliau telah membimbing atlet di temasya sukan seperti Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Sukan Para Asean 2025 di Korat, Thailand.

Berkat jasa dan pengorbanannya, beliau dipilih sebagai antara 214 jurulatih yang menerima penghargaan dalam Majlis Penghargaan Jurulatih pada 13 Februari.

Majlis yang diadakan di Changi Experience Studio itu menghargai sumbangan jurulatih daripada 79 jenis sukan yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai temasya sukan utama sepanjang 2025.

Selain itu, ia juga bertujuan menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan sukan tempatan secara keseluruhan.

Lebih 80 jurulatih hadir pada majlis tersebut untuk menerima pingat penghargaan.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, yang hadir selaku tetamu terhormat, menyifatkan golongan jurulatih sebagai “nadi penggerak” di sebalik setiap kemenangan atlet.

“Saya berpeluang melihat sendiri impak jurulatih terhadap atlet kita di Sukan SEA 2025 dan Sukan Para Asean 2025 di Thailand.

“Aksi semasa pertandingan memang menghairahkan dan menyuntik inspirasi. Namun, yang benar-benar mengagumkan saya adalah kerja keras yang dilakukan secara diam-diam di sebalik tabir.

“Kehadiran anda memberikan keyakinan yang diperlukan oleh atlet untuk beraksi dan memberikan yang terbaik,” kata Goh.

Bagi Razak, hubungan dengan anak didiknya melampaui aspek teknikal sukan.

Beliau dan atlet bimbingannya, Mohamed Syukur, sering menyanyi ‘lagu jiwang’ bersama bagi mengurangkan debaran sebelum bertanding.

Hubungan erat itu menyerlah antara Razak dan Syukur.

“Semasa beraksi, kami sering bersorak untuk satu sama lain untuk menyuntik semangat, kerana beban yang kami angkat sangat berat dan mendebarkan,” kongsi Razak yang juga bertugas sebagai pakar sains sukan di Institut Sukan Berprestasi Tinggi (HPSI).

Menurut Razak, beraksi di Sukan Para Asean merupakan sesuatu yang cukup bermakna.

“Ramai jaguh ‘powerlifting’ para bertanding di temasya itu. Ia menghimpun para atlet yang pernah beraksi di Sukan Paralimpik dan Sukan Para Asia,” jelasnya.

Razak meluahkan rasa bangganya apabila Syukur berjaya melayakkan diri untuk beraksi di Sukan Para Asean 2025 buat julung-julung kalinya.

“Syukur bersua dengan ‘gergasi’ ‘powerlifting’ para, namun beliau tidak gentar,” kata Razak.

Ketua jurulatih pasukan angkat berat para nasional, Muhammad Abdul Razak Mansor (kiri) dan atlet para, Mohamed Syukur (kanan), saling memberi sokongan antara satu sama lain. Mereka juga gemar menyanyikan lagu-lagu jiwang untuk meredakan tekanan.
Ketua jurulatih pasukan angkat berat para nasional, Muhammad Abdul Razak Mansor (kiri) dan atlet para, Mohamed Syukur (kanan), saling memberi sokongan antara satu sama lain. Mereka juga gemar menyanyikan lagu-lagu jiwang untuk meredakan tekanan. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Di sebalik kemanisan yang dikecapi apabila melihat anak didiknya berjaya, Razak akur tanggungjawabnya sebagai jurulatih datang dengan cabaran tersendiri.

“Memang kadang-kadang saya rasa tekanan untuk berjaya. Selepas beberapa tahun, saya belajar untuk asingkan diri dari perasaan itu.

“Ia membantu saya menyemak semula persembahan anak didik saya secara objektif untuk menghasilkan prestasi yang lebih baik pada acara seterusnya,” kongsinya.

Walaupun akur adakalanya tertekan untuk memastikan kemenangan, Razak kini lebih tertumpu kepada usaha mencari bakat baru bagi memperkasa masyarakat ‘powerlifting’ para di Singapura menjelang temasya 2029.

“Walaupun pasukan kami kecil, saya bertekad untuk memastikan kami sentiasa memberikan saingan sengit di pentas antarabangsa dan membuktikan bahawa kami kuasa yang digeruni,” tegasnya.

Selain Razak, usaha beberapa jurulatih yang lain turut diraikan.

Antaranya ialah jurulatih atletik, Hamkah Afik.

Beliau berjaya membimbing kedua-dua pasukan lelaki dan wanita untuk mencatat rekod nasional, hasil kerjasama dengan jurulatih peribadi atlet.

Luis Cunha turut diiktiraf atas sumbangannya membimbing ratu pecut, Shanti Pereira, untuk terus menjadi kuasa dominan dengan mempertahankan gelaran bagi acara perlumbaan 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA 2025.

Malah, Cunha turut membimbing atlet 400 meter lompat pagar, Calvin Quek, yang memenangi pingat emas buat kali pertama dalam 60 tahun bagi acaranya.

Ketua jurulatih Wushu Sanda, Ng Boon Hock, turut diiktiraf atas usaha beliau menerajui program peralihan Silat ke Sanda, yang merupakan sebahagian daripada projek rintis strategi sukan tempur silang atau cross-combat.

Beliau berjaya membimbing Siti Khadijah Mohamad Shahrem, yang beralih daripada silat ke Wushu Sanda, untuk meraih pingat gangsa dalam penampilan sulungnya bagi acara (tanding) wushu 60 kilogram di Sukan SEA pada Disember 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg