Sebastian Tan raih emas bagi S’pura meski disengat lebah, basikal rosak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebastian Tan raih emas bagi S’pura meski disengat lebah, basikal rosak

Tan catat masa 31 minit 40.485 saat untuk raih emas
Jan 22, 2026 | 1:36 PM

Sebastian Tan raih emas bagi S’pura meski disengat lebah, basikal rosak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sukan, para, Asean
Pelumba paralimpik basikal, Sebastian Tan, meraih pingat emas pertama Singapura di Sukan Para Asean (APG) 2025 di Korat, Thailand, pada 21 Januari, bagi acara perlumbaan masa perseorangan campuran T1-T2. - Foto SPORTSG

Insiden malang yang berturut-turut tidak menghalang pelumba basikal paralimpik negara, Sebastian Tan, daripada meraih pingat emas pertama bagi Singapura di Sukan Para Asean (APG) 2025 di Korat, Thailand, pada 21 Januari.

Dalam sesi latihan sebelum pertandingan, atlet berusia 25 tahun yang baru kali pertama menyertai temasya itu, telah disengat lebah menyebabkan beliau bertembung dengan atlet lain dan basikalnya rosak.

Tan, yang menjuarai acara perlumbaan masa perseorangan campuran T1-T2, berkata:

“Situasi itu mencemaskan, tetapi pasukan kami kekal tenang, membaiki basikal tepat pada masanya dan membantu kami mengharungi cabaran besar bersama-sama.

“Saya rasa sangat gembira, bersyukur dan bangga. Ia amat bermakna untuk menyumbang emas pertama bagi Singapura dan saya berterima kasih kepada semua yang menyokong kami.”

Di Universiti Teknologi Suranaree, Tan mencatat masa 31 minit 40.485 saat untuk meraih emas, menewaskan atlet Thailand Kittiyaporn Namakhan (32:59.954) dan Noppakorn Leso (33:31.516).

Jurulatih Eugene Quan berkata mereka menghadapi pelbagai cabaran menjelang temasya tersebut, serta perlu melawat kedai untuk membaiki basikal Tan.

“Kami perlu mengurus peningkatan peralatan, akses ke tempat latihan dan kekangan logistik. Pada masa sama, kami menumpukan pada usaha meningkatkan ketekalan dan kekerapan latihan. 

“Untuk mengharungi cabaran ini, kami memerlukan kesabaran, perancangan dan semangat berpasukan tinggi daripada semua yang terlibat,” kata Quan.

Menjelang temasya, Tan, yang menghidap distonia – satu gangguan pergerakan yang menyebabkan kekejangan otot dan postur badan luar biasa – sudah mencatat beberapa keputusan baik di acara lain.

Di Sukan Dunia Abilitysport 2023 di Korat, beliau meraih gangsa dalam acara perlumbaan masa perseorangan lelaki T1-T2 dan perak dalam perlumbaan jalan raya individu T1-T2.

Quan menambah: “Sebastian (Tan) telah menunjukkan peningkatan ketara dalam pelbagai aspek.

“Dari segi fizikal, pengurusan kelajuan, teknik dan kecergasannya lebih konsisten. Dari segi mental, beliau lebih tenang di bawah tekanan dan lebih yakin. Dari segi profesional, disiplin, persiapan dan rutin hariannya bertambah baik, yang banyak membantu prestasinya.

“Pingat emas ini mencerminkan komitmen Sebastian terhadap proses latihan dan usaha berterusan… Paling penting, ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila seorang atlet mendapat sokongan yang tepat dan percaya pada pembangunan jangka panjang.”

Team Singapore meraikan pingat emas kedua pada 21 Januari, apabila pemain boling paralimpik, Kelvin Goh, 65 tahun, atlet tertua yang mewakili negara di temasya ini, menjuarai acara final perseorangan lelaki TPB1.

Goh mencatat 804 jatuhan pin di Blu-O Rhythm & Bowl, Bangkok.

Pemain boling paralimpik, Kelvin Goh, 65 tahun (tengah), menjuarai acara final perseorangan lelaki TPB1, dengan 804 jatuhan pin.
Pemain boling paralimpik, Kelvin Goh, 65 tahun (tengah), menjuarai acara final perseorangan lelaki TPB1, dengan 804 jatuhan pin. - Foto SPORTSG

Atlet Malaysia, Suhairi Kadir menduduki tempat kedua dengan 749 jatuhan pin, manakala Kietkongtawee Krisada dari Thailand mendapat tempat ketiga dengan 746 jatuhan pin.

Goh, yang memenangi perak dalam acara berpasukan TPB2 pada APG 2015, beralih ke kategori TPB1 selepas hilang penglihatan sepenuhnya pada 2019.

“Perasaan dapat menang pingat emas ini memang seronok. Saya telah menang perak dalam acara boling TPB2 pada 2015, dan kini untuk kali pertama memenangi emas di APG amat bermakna bagi saya sebagai seorang pemain boling.

“Setelah meraih pencapaian hari ini, saya dapat lihat kemahiran boling saya semakin meningkat dan dengan bantuan jurulatih serta sokongan keluarga, rakan sepasukan dan semua pertubuhan terlibat, saya akan terus memberikan yang terbaik,” kata Goh.

Sementara itu, dalam acara final renang di Kompleks Sukan Nakhon Ratchasima, Toh Wei Soong, meraih pingat perak pertama Singapura di temasya ini dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki S7.

Perenang paralimpik negara, Toh Wei Soong, meraih pingat perak pertama Singapura di Sukan Para Asean (APG) 2025 dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki S7.
Perenang paralimpik negara, Toh Wei Soong, meraih pingat perak pertama Singapura di Sukan Para Asean (APG) 2025 dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki S7. - Foto SPORTSG

Rakan renang, Danielle Moi, turut memenangi perak dalam acara 100 meter kupu-kupu wanita S14.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg