Pada setiap Sabtu sekitar 2007, Kompleks Renang Bedok sering kedengaran suara tangisan seorang anak kecil berusia empat tahun.
Kerana ketakutannya dengan air, perenang negara, Ardi Zulhilmi Mohamed Azman, ketika itu akan menangis dan tidak mahu berlatih.
Setiap kali Ardi berkelakuan demikian, ibunya, Zarina Mohd Razali, 53 tahun, akan bersedia di tepi kolam renang untuk memberi dorongan agar beliau meneruskan dengan sesi latihan.
“Bila kami berlatih di kolam yang lebih dalam, saya mula rasa takut sebab tak dapat jejak dasar kolam renang. Saya pun masih kecil dan ketika itu agak pendek, jadi tidak tahu macam mana nak kekal terapung.
“Kadang-kadang saya menangis semasa latihan renang, dan ada masa langsung tak turun berenang sepanjang sesi itu!
“Kalau ibu saya ada, memang beliau akan marah kalau saya buat begitu,” katanya sambil berseloroh.
Beliau dimasukkan ke kelas renang hanya kerana ibu dan ayahnya – Mohamed Azman Atan, 52 tahun – ingin beliau dan dua beradik lelakinya peka mengenai keselamatan air.
Berbanding adik beradiknya, Azri Zuhairi Mohamed Azman, 26 tahun, dan Ari Zulhakim Mohamed Azman, 20 tahun, yang tidak meneruskan renang kompetitif, Ardi melangkah lebih jauh dan mewakili Singapura buat kali ketiga di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Berbekalkan kepercayaan dan sokongan keluarga, atlet berusia 22 tahun itu menyasarkan untuk mencapai kedudukan podium di temasya tersebut.
Sayangnya, ketika berjaya mewakili negara di sukan berprestij itu, dua individu penting dalam perkembangan renangnya iaitu datuk dan neneknya tidak dapat berada bersama menyaksikan kejayaannya.
Datuknya, Allahyarham Haji Mohd Razali Haji Anuar menghembuskan nafas terakhirnya pada 2015, sementara neneknya, Allahyarhamha Hajah Maimoon Maun pula meninggal dunia setahun kemudian (2016).
Kompleks Renang Bedok menjadi tempat latihan ketika kecil kerana ia berdekatan dengan rumah datuk dan neneknya.
Ardi, yang gemar dengan sajian roti kirai pasangan suami isteri itu berkata, mereka berdua antara individu yang mempercayai dengan kebolehannya walau beliau masih kecil.
Menurutnya, mereka sering menghantar beliau ke latihan renang ketika ibu dan ayahnya sibuk bekerja.
“Sebelum datuk saya meninggal, beliau berpesan agar saya terus berusaha dalam renang,” ujar beliau yang menjadikan kata-kata itu sebagai pemangkin semangat.
Sokongan keluarga, terutama ibu bapanya, sudah menjadi tunjang utama sepanjang perjalanan Ardi.
Ibunya masih menghantar Ardi ke sesi latihan setiap pagi, dari usianya empat tahun hingga sekarang.
Sejak berlatih secara kompetitif, ibu bapanya juga mempelajari tentang pemakanan, pemulihan dan prinsip latihan untuk menyokong Ardi dengan lebih baik.
“Ibu bapa saya memang tak tahu apa-apa mengenai renang pada mulanya, jadi bila masuk bab pemakanan, pemulihan, dan jenis latihan pun, mereka memang tiada pengalaman langsung.
“Tapi mereka belajar semua itu sikit demi sikit, ambil tahu tentang perkara ini dan juga berbincang dengan jurulatih saya,” katanya.
Ardi mula memasuki renang kompetitif seawal usia tujuh tahun dan memenangi pingat emas pertama ketika berada di Darjah 3 pada usia sembilan tahun.
Beliau memenangi acara 50 meter gaya bebas di Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2012, dan sambil bersahaja berkata ketika itu fikiran pertamanya bukan tentang kemenangan pingat emas sulungnya.
Sebaliknya, beliau sedang memikirkan tentang bungkusan serbuk Milo yang diterima oleh para pemenang pingat.
Ardi yang meminati minuman tersebut berkata:
“Milo memang motivasi saya, saya tak terfikir nak kalahkan pesaing lain pun. Bila saya berenang, saya berenang sungguh-sungguh hanya untuk itu.
“Kemenangan itu ialah salah satu detik paling saya banggakan semasa di sekolah rendah.”
Pertandingan luar negara pertamanya hadir ketika beliau Menengah 1 di Kejuaraan Kumpulan Umur Asia Tenggara di Thailand.
Beliau kemudian menyertai Kejohanan Sekolah Asia 2019 di Semarang, Indonesia di mana beliau memenangi dua pingat gangsa untuk acara 200 meter dan 4x100 meter gaya bebas.
Ardi menyertai pasukan negara pada akhir 2020, selepas menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) ‘O’ nya.
Sejak itu, beliau sudah beraksi di Sukan SEA 2022 di Hanoi, dan 2023 di Kemboja, serta Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Beliau menjadi perenang Melayu Singapura pertama yang layak ke Sukan SEA dan Asia.
Selepas memenangi pingat perak dalam 4x200 meter gaya bebas di Sukan SEA 2023 dan menjadi finalis di Sukan Asia, Ardi kini lebih yakin untuk merangkul kejayaan lebih besar.
Perenang yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), bakal bertanding dalam empat kategori di Sukan SEA 2025.
Ini termasuk – 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak kupu-kupu, serta perlumbaan berganti-ganti 4x100 meter dan 4x200 meter, kededuanya gaya bebas.
Beliau, yang mempunyai diploma dalam pemasaran dari Politeknik Temasek dan telah diterima masuk ke Sekolah Perakaunan, di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata:
“Harapan saya ialah untuk mencapai kedudukan podium di keempat-empat acara ini.
“Selepas menyertai dua Sukan SEA sebelum ini, saya dah ada pengalaman, dan berdasarkan rekod peribadi terbaik saya, saya rasa terdapat peluang untuk memenangi pingat.”
Terutamanya bagi acara 4x200 meter gaya bebas, di mana beliau meraih pingat perak di Kemboja, Ardi bertekad untuk membawa pulang pingat emas selepas Singapura gagal mempertahankan gelaran itu dalam dua edisi sebelum ini.
Kali terakhir Singapura memenangi acara itu ialah pada Sukan SEA 2019, menerusi Quah Zheng Wen, Joseph Schooling, Jonathan Tan, dan Darren Chua.
“Saya harap kita dapat kembali capai matlamat kita selepas dua kekalahan sebelum ini.
“Dengan pasukan yang kita ada sekarang ini, kita sudah berlatih dengan keras untuk merebut semula gelaran,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg