Selepas pulih daripada kecederaan dan melalui musim penuh cabaran, perenang negara, Teong Tzen Wei, melihat Sukan SEA di Bangkok pada Disember 2025 sebagai batu loncatan ke arah pencapaian lebih besar pada masa akan datang.
Atlet berusia 27 tahun itu menganggap temasya kali ini bukan sekadar satu lagi kejohanan dalam jadualnya, tetapi satu langkah penting dalam perjalanan menuju pentas lebih gah dan besar.
“Tahun ini (2025) agak baik,” katanya semasa Hari Media Pasukan Akuatik Sukan SEA Singapura yang diadakan di Pusat Akuatik OCBC pada 10 November.
“Kami juga baru sahaja adakan Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura, dan saya catat antara masa terpantas sejak sekian lama, jadi itu sangat menggembirakan selepas bangkit daripada kecederaan,” jelasnya.
Dalam prestasi terbaiknya, Tzen Wei baru-baru ini beraksi dalam siri Piala Dunia di Amerika Syarikat, menamatkan musim dengan catatan peribadi terbaik serta rekod baru Asia, sekali gus merampas semula rekod 50m kuak kupu-kupu yang sebelum ini dipegang oleh perenang China.
Beliau mencapai rekod tersebut dengan masa 21.93 saat, lebih pantas dari masa yang dicatat perenang China, Sun Jiajun, iaitu 21.96 saat.
“Rasa seronok bila dapat rampas balik rekod itu bagi Singapura,” katanya sambil tersenyum.
Pasukan Akuatik Singapura akan menghantar seramai 71 atlet untuk temasya Sukan SEA kali ini, dengan 40 atlet akan membuat penampilan Sukan SEA pertama mereka.
“Kami mempunyai sasaran mendapatkan sekurang-kurangnya 20 pingat emas untuk Sukan SEA ini,” kata Presiden Singapore Aquatics, Kenneth Goh.
Beliau menekankan usia purata atlet-atlet yang dihantar agak muda, sekitar 21 tahun sahaja.
“Namun, ia bukan sekadar pasukan yang muda, malah pasukan muda yang dipimpin oleh atlet-atlet lebih berpengalaman,” katanya.
Antara atlet yang akan memainkan peranan pening dalam membimbing atlet-atlet muda ini ialah Tzen Wei.
Beliau bersedia menyertai Sukan SEA buat kali kelima, satu pencapaian yang cukup bermakna baginya.
“Mungkin ini antara Sukan SEA terakhir saya. Saya hendak nikmati setiap peluang,” kata perenang berpengalaman itu.
“Saya juga sedar ada beberapa atlet muda yang menjadikan saya sebagai teladan.Saya rasa seronok dapat bantu mereka. Kadangkala atlet muda terlalu ghairah untuk kejohanan pertama mereka,” tambahnya.
Bagi dirinya sendiri pula, sasaran kali ini jelas, untuk mencatat masa peribadi terbaik dalam acara 50 meter gaya bebas dan 50 meter kupu-kupu.
“Itu yang akan bantu saya bersedia untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,” katanya.
“Itu matlamat besar saya. Sukan SEA ini beri rangsangan yang cukup untuk saya teruskan persiapan,” jelasnya.
Namun tidak seperti tahun-tahun awal kerjayanya, tekanan bukan lagi sesuatu yang membebankan.
“Sejujurnya, saya dah tak rasa tertekan sangat tentang Sukan SEA,” ujar Tzen Wei.
“Saya sebenarnya lebih menantikan kejohanan ini. Saya rasa itu datang dengan umur dan pengalaman,” ujarnya.
Menurutnya, perasaan itu membantunya tampil lebih tenang dan mantap di kolam renang.
“Kadang-kadang bila kita terlalu inginkan sesuatu, kita jadi risau dan hasrat tersebut tidak kesampaian.
“Jadi untuk Sukan SEA kali ini, saya cuma ikut aliran, berenang dengan cara saya, dan gembira sepanjang kejohanan,” ujarnya.
Dalam acara pecut yang bakal disertai, 50 meter gaya bebas dan 50 meter kupu-kupu, Tzen Wei, jangkakan saingan paling sengit datang daripada rakan sepasukan sendiri.
“Di rantau ini, Singapura agak kuat dalam acara pecut,” katanya.
“Jadi saya rasa lawan utama saya adalah Mikkel (Lee Jun Jie) dan (Quah) Zheng Wen. Harap-harap kita boleh bolot tempat teratas untuk kededua acara,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg