Topik diikuti
Pergi ke BHkuDunia gusti kehilangan Bronson Reed, bintang WWE usia 38 tahun
Dunia gusti kehilangan Bronson Reed, bintang WWE usia 38 tahun
WASHINGTON: Bintang gusti profesional, Jermaine Haley, yang lebih dikenali peminat sebagai Bronson Reed, meninggal dunia pada usia 38 tahun, menurut World Wrestling Entertainment (WWE) pada 27 November.
Pemergiannya berlaku beberapa minggu selepas beliau bertanding menentang Oba Femi dalam acara Crown Jewel yang berlangsung di Riyadh, ibu kota Arab Saudi.
Dalam satu hantaran di platform X, WWE berkata pihaknya “amat berdukacita untuk mengumumkan bahawa Jermaine Haley, atau lebih dikenali sebagai Bronson Reed, telah meninggal dunia awal hari ini pada usia 38 tahun akibat komplikasi kesihatan”.
Namun, syarikat itu tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kematiannya.
WWE turut memberikan penghormatan kepada Reed dengan menyifatkannya sebagai “individu yang memiliki personaliti besar dan sukar dilupakan dalam WWE”.
“Namun, lebih penting daripada itu, beliau merupakan seorang insan yang luar biasa, suami dan bapa yang penyayang serta rakan sekerja yang amat disayangi,” menurut kenyataan itu.
Reed, yang berasal dari Australia, digambarkan sebagai seorang ahli gusti yang memiliki kekuatan luar biasa. Beliau membuat penampilan sulung bersama WWE pada 2019, menurut laman web rasmi syarikat itu.
Beliau dikenali kerana menggabungkan “kekuatan fizikal yang hebat dengan ketangkasan luar biasa untuk menewaskan lawan”.
Reed pernah memenangi gelaran NXT North American Champion dan turut muncul sebagai juara ‘Andre the Giant Memorial Battle Royal’ pada 2024. – AFP