TIJUANA (Mexico): Pasukan bola sepak Iran masih belum memperoleh visa Amerika Syarikat dan tidak akan bersaing secara sama rata dalam Piala Dunia 2026 ekoran kesukaran untuk menjalani latihan menjelang kejohanan itu, kata duta negara itu ke Mexico, pada 28 Mei.

Duta Abolfazl Pasandideh telah melawat bandar sempadan barat laut Mexico, Tijuana, iaitu lokasi baru bagi kem latihan pasukan Iran, yang sebelum ini ditetapkan di Tucson, Arizona, Amerika.

Duta itu memberitahu satu sidang media bahawa “negara di utara”, iaitu Amerika, tidak memenuhi tanggungjawabnya selaku tuan rumah kepada pasukan Iran.

“Kami tidak tahu sama ada mereka akan memberikan visa kepada pemain atau tidak,” katanya.

Iran dijadual bermain dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia di dua bandar pantai barat Amerika iaitu Los Angeles dan Seattle.

Ketua Persekutuan Bola Sepak Iran berkata pihaknya berharap para pemain itu akan diberikan visa kemasukan.

“Kami tidak menyertai Piala Dunia dengan (peluang) sama rata,” kata Encik Pasandideh.

“Kami tidak dapat melatih pasukan kami sebagaimana yang sepatutnya.”

Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh peperangan di Timur Tengah yang bermula pada 28 Februari.

Pada 27 Mei, sekumpulan diplomat Iran melawat stadium tempat pasukan mereka berlatih, menurut sumber daripada Club Tijuana yang berlatih di sana lapor agensi berita, AFP

Para diplomat itu turut bertemu pegawai keselamatan tempatan, kata sumber tersebut.

Iran dijadual bertanding di Los Angeles pada 15 Jun menentang New Zealand, dan pada 21 Jun menentang Belgium, sebelum ke Seattle untuk berdepan Mesir pada 26 Jun.

Dalam perkembangan lain, Amerika, Mexico dan Canada pada 28 Mei mengumumkan langkah perjalanan kesihatan awam yang diselaraskan bagi individu yang datang dari wilayah Afrika yang paling berisiko tinggi dijangkiti virus Ebola, ujar satu kenyataan bersama.

Langkah itu bertujuan melindungi rakyat dan pengunjung semasa kejohanan Piala Dunia tersebut berlangsung.

“Kesihatan dan keselamatan setiap individu di rantau ini kekal menjadi keutamaan tertinggi kami, dalam kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung (dari serata) dunia ke Amerika Utara,” tambah kenyataan itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Mei mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Dunia (PHEIC) dan menyatakan terdapat risiko tinggi ia boleh merebak ke negara jiran.

Keputusan itu telah mendorong pemerintah di beberapa negara supaya mempertingkatkan langkah pencegahan melibatkan pengembaraan. – AFP, Reuters.