NEW YORK: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak mempunyai rancangan mahu menggantikan Iran dengan Italy dalam Piala Dunia pada musim panas ini, menurut sumber, selepas cadangan pertukaran itu dikemukakan oleh utusan khas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Terdapat ketidaktentuan yang berterusan mengenai penyertaan Iran dalam kejohanan itu berikutan perang dengan Amerika dan Israel.

Utusan khas Amerika, Paolo Zampolli, berkata: “Saya mengesahkan bahawa saya telah mencadangkan kepada Trump dan Infantino agar Italy menggantikan Iran di Piala Dunia.

“Saya berketurunan Italy dan merupakan impian saya untuk melihat Azzurri (gelaran bagi pasukan Italy) dalam kejohanan yang dihoskan Amerika. Dengan empat kali juara, mereka mempunyai kelayakan untuk membenarkan kemasukan mereka.”

Fifa tidak mengulas secara rasmi cadangan Zampolli itu tetapi menyerlahkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Fifa, Gianni Infantino, minggu lalu di mana beliau berkata: “Pasukan Iran akan hadir, sudah pasti.”

Kedutaan Iran berkata cadangan Zampolli itu menunjukkan “kebankrapan moral” Amerika.

“Italy telah meraih kebesarannya dalam bola sepak di padang, bukan kerana keistimewaan politik,” kata kedutaan Iran di platform X.

“Percubaan untuk menyingkirkan Iran daripada Piala Dunia hanya mendedahkan ‘kebankrapan moral’ Amerika yang gentar hanya dengan kehadiran sebelas anak muda Iran di padang bola.”

Rancangan Zampolli itu dicadangkan untuk melicinkan hubungan antara Amerika dengan Italy selepas Perdana Menteri Italy, Giorgia Meloni, mengkritik Trump atas komen beliau terhadap Paus Leo XIV.

Italy, juara empat kali, telah gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas dalam perlawanan kelayakan menentang Bosnia Herzegovina pada Mac.

Iran dijadualkan menentang New Zealand pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun, dengan kedua-dua perlawanan di Los Angeles, serta menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Kejohanan yang akan bermula pada 11 Jun itu dihoskan oleh Amerika, Canada dan Mexico.

Di bawah peraturan Fifa, badan pemerintah bola sepak dunia itu mempunyai “kuasa penuh” ke atas apa yang berlaku sekiranya sebuah pasukan menarik diri atau dikecualikan daripada pertandingan.

Perkara enam dalam peraturan Piala Dunia menyatakan: “Fifa boleh memutuskan untuk menggantikan Persatuan Ahli yang berkenaan dengan persatuan lain.”

Menteri Ekonomi Italy, Giancarlo Giorgetti, berkata idea yang dikemukakan oleh Zampolli adalah “memalukan”, manakala menteri sukan negara itu, Andrea Abodi, berkata: “Pertama sekali, ia tidak mungkin, kedua, ia tidak sesuai... Anda layak di padang.”

Presiden Jawatankuasa Olimpik Italy, Luciano Buonfiglio, turut tidak bersetuju dengan idea itu, dengan berkata beliau akan berasa “tersinggung”.

“Untuk pergi ke Piala Dunia, anda perlu layak,” tambah Buonfiglio.

Semasa bercakap minggu lalu di Washington, Infantino berkata: “Kami berharap pada masa itu, keadaan akan menjadi aman. Itu akan membantu, tetapi pasukan Iran mesti hadir jika mereka ingin mewakili rakyat mereka. 

“Mereka telah layak, dan mereka sebenarnya pasukan yang cukup bagus. Mereka benar-benar ingin bermain, dan mereka patut bermain. Sukan seharusnya tidak bercampur dengan politik.”

Pada Mac lalu, selepas melawat pasukan Iran di Turkey, Infantino mengesahkan perlawanan mereka akan diadakan di Amerika seperti yang dijadualkan, selepas persatuan bola sepak Iran berkata ia sedang “berunding” dengan Fifa untuk memindahkan perlawanan negara itu ke Mexico. – Agensi berita.