Topik diikuti
Pergi ke BHkuEjekan bergema di stadium ketika rehat 'minum air' pertama dalam Piala Dunia
Ejekan bergema di stadium ketika rehat 'minum air' pertama dalam Piala Dunia
Ejekan bergema di stadium ketika rehat 'minum air' pertama dalam Piala Dunia
DALLAS: Sorakan ejekan bergema di Stadium Dallas ketika rehat hidrasi pertama diberikan dalam perlawanan Piala Dunia antara England dan Croatia, pada 18 Jun, dengan penyokong menunjukkan rasa kurang senang terhadap peraturan baharu itu.
Rehat wajib selama tiga minit yang diperkenalkan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu mencetuskan kontroversi sejak dilaksanakan buat pertama kali dalam Piala Dunia, bagi membantu pemain menghadapi cuaca panas dan kelembapan tinggi di Amerika Utara.
Sesetengah pengkritik berpendapat rehat itu mengganggu rentak permainan dan ada yang menganggap ia sebagai usaha untuk membahagikan perlawanan kepada empat suku masa dan memberi lebih banyak peluang kepada penyiar menayangkan iklan.
Beberapa penyokong England sebelum perlawanan menyatakan di media sosial bahawa mereka akan menunjukkan bantahan dan ejekan mula kedengaran daripada kedua-dua kelompok penyokong sebaik sahaja pengadil Perancis, Clement Turpin meniup wisel menandakan bermulanya rehat pada minit ke-22.
Rehat hidrasi itu turut menerima sambutan dingin di Toronto dalam satu lagi perlawanan Kumpulan L apabila penyokong mengejek ketika pemain Panama dan Ghana berjalan menuju ke bangku simpanan dalam keadaan hujan.
Ejekan yang sama juga kedengaran ketika rehat pertama bermula dalam perlawanan Norway menentang Iraq di Stadium Boston, walaupun suhu ketika itu hanya sekitar 23 darjah Celsius.
Iraq ketika itu berjaya mengikat Norway 0-0 dan sedang bermain dengan baik sebelum rehat, namun mereka melepaskan gol hanya empat minit selepas permainan disambung semula dan akhirnya tewas 4-1.
