Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sedang menyiasat dakwaan penderaan perkauman melibatkan peminat bola sepak membuat ejekan suara monyet terhadap penyerang Salif Cisse, semasa perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) antara Geylang International dengan Tanjong Pagar United pada 19 Julai.
Pemain Tanjong Pagar warga Perancis itu, yang keluarganya berasal dari Mali, Afrika Barat, telah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan.
Ejekan suara monyet adalah ejekan dan kata-kata yang mempersenda ahli sukan, biasanya pemain bola sepak, berkulit hitam.
Cisse, 32 tahun, memberitahu The Sunday Times:
“Mendengar laungan suara monyet... dan kata-kata tentang warna kulit saya dan keluarga saya membuat saya rasa cukup tertekan.
“Saya sangat terkejut kerana saya tidak pernah terfikir akan melalui pengalaman ini di Singapura.
“Selepas datang ke Singapura lima bulan lalu, saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini di semua stadium, dan saya tahu Singapura bukan seperti ini.
“Saya berasa sedih kerana bola sepak adalah untuk semua, tidak kira warna kulit, atau sama ada anda warga asing atau bukan.
“Saya harap peminat yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan berat kerana perilaku (melibatkan) perkauman tidak boleh diterima dalam bola sepak.
“Respons terbaik saya ialah menjaringkan gol dan bermain dengan baik di padang. Ia lebih baik daripada bergaduh atau berteriak dengan mereka.”
Beberapa pemerhati berkata Cisse, yang menjaringkan gol pembuka tirai, diejek dengan kata-kata berbaur perkauman dan laungan suara monyet pada separuh masa pertama.
Perlawanan itu berakhir dengan Tanjong Pagar kalah 3-5 kepada Geylang di Stadium Jalan Besar.
Seorang pembaca akhbar, yang berada di perlawanan itu tetapi enggan dinamakan, berkata: “Ejekan suara monyet yang dibuat apabila Cisse mendapat bola sangat jelas dan mengejutkan.
“Saya harap pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan menghukum mereka yang terlibat. Saya berada dalam seksyen peminat Geylang.”
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada 20 Julai, Tanjong Pagar, yang bergelar, The Jaguar, mengucapkan tahniah kepada pasukan Eagles atas kemenangannya, namun mengambil kira “kejadian malang” itu.
Ia menambah bahawa kelab itu “akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Singapura dan memfailkan satu laporan polis”.
Seorang jurucakap FAS mengesahkan ia menyedari mengenai dakwaan itu dan memandang serius kejadian tersebut.
“Perilaku (melibatkan) perkauman atau keganasan dalam apa jua bentuk tidak mempunyai tempat dalam bola sepak dan tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah melakukannya,” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook yang ditujukan kepada peminatnya pada 20 Julai, Geylang menyatakan ia “kini bekerja rapat dalam satu siasatan dalaman” dan akan terus bekerjasama dengan kelab peminat rasminya, Ultra Eagles, untuk “mewujudkan persekitaran lebih selamat dan lebih terangkum untuk semua”.
Jurucakap Ultra Eagles, Rishi Raja, berkata ia telah mengenal pasti kumpulan terbabit dan menyatakan mereka bukan anggota kelab itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg