Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmery ‘raja’ bola sepak Eropah
Emery ‘raja’ bola sepak Eropah
Kejayaan pimpin Villa julang mahkota Liga Europa adalah pencapaian kelima buat Emery muncul juara kejohanan berprestij kelab-kelab Eropah itu
Emery ‘raja’ bola sepak Eropah
LONDON: Bayangkan pengurus Aston Villa, Unai Emery, membuka aplikasi permainan catur di telefon bimbitnya untuk bermain menggunakan namanya sendiri.
Itulah salah satu kaedah yang digunakannya untuk mengasah disiplin mental yang diperlukan di peringkat tertinggi bola sepak.
Emery membuktikan beliau memang ‘raja’ Liga Europa dengan sekali lagi meraih trofi itu bersama Villa selepas menundukkan Freiburg 3-0 dalam final yang berlangsung di Besiktas Park, Istanbul, pada 20 Mei.
Ini merupakan kejayaan pertama kelab itu dalam tempoh 30 tahun, dan kemenangan kelima Emery dalam pertandingan tersebut.
Emery, 54 tahun, sebelum ini membawa Sevilla meraih kejayaan Liga Europa tiga tahun berturut-turut, iaitu pada 2014, 2015 dan 2016, sebelum memastikan kejayaan keempatnya bersama Villarreal pada 2021.
Selepas lima tahun, Emery akhirnya merangkul trofi itu semula.
Dengan kemenangan itu, beliau kini menyamai nama-nama hebat jurulatih bola sepak terkemuka – Carlo Ancelotti, Jose Mourinho dan Giovanni Trapattoni – yang memenangi lima trofi utama Eropah sepanjang kerjaya masing-masing.
Ayuh lihat lebih dekat pengurus yang telah membawa Villa meraih trofi Eropah pertama mereka sejak 1982.
Kuliah 2 pagi; perlawanan Racing Santander
Walaupun sibuk, Emery masih meluangkan masa pada siang hari untuk bermain catur dalam talian, permainan tiga minit menentang sesiapa sahaja yang sudi bertanding.
Idea seorang pengurus Liga Perdana berbuat demikian di bawah namanya sendiri mungkin kedengaran pelik, tetapi itulah hakikatnya.
Beliau percaya seseorang itu mesti sedia untuk apa-apa sahaja dan tidak boleh membiarkan diri tersasar.
Tetapi bukan catur sahaja yang menarik perhatian Emery.
Beliau juga gemar menonton kuliah walaupun pada 2 pagi.
Minat khususnya adalah mereka yang menerangkan dunia dengan cara baru – saintis, pemikir, sesiapa sahaja – yang boleh meluaskan kerangka rujukannya.
Kegiatan 2 pagi yang lain pula ialah menonton bola sepak di mana-mana peringkat melalui iPad.
Contohnya, Racing Santander, sebuah pasukan yang baru sahaja naik ke liga tertinggi Sepanyol.
Mereka bukan pasukan gergasi Eropah, bukan juga pesaing Villa.
Namun begitu, Emery tetap mengkaji permainan mereka dengan teliti.
Itulah cara beliau berehat.
Bola sepak Liga Juara-Juara terlepas daripada genggaman Villa pada hari terakhir musim lalu, tetapi tindakan pertama Emery dalam kempen ini adalah memberitahu pemainnya mereka boleh sampai ke kejohanan tersebut pada musim ini – sekali pun menghadapi pasukan lain yang mempunyai sumber kewangan lebih besar.
Sasarannya adalah untuk mara jauh dalam Liga Europa dan memastikan tempat dalam Liga Juara-Juara.
Kedua-dua matlamat itu kini telah dicapai.
Namun, lima perlawanan tanpa kemenangan pada awal musim bukan dalam rancangan, tetapi Emery berjaya meyakinkan Villa bahawa musim ini akan menjadi lebih baik.
Tiada sesiapa kerja lebih keras daripada Emery
Emery berkata tiada sesiapa yang bekerja lebih keras daripadanya.
Beliau bukan bermegah, beliau hanya menerangkan metodologinya.
Beliau menumpukan perhatian kepada postur badan dalam latihan, taktik, perincian fizikal, dan memaksa pemain memberi sepenuh perhatian mereka kepada bola sepak.
Beliau pernah berbicara mengenai ibu bapanya dan rasa tanggungjawab yang mereka tanamkan dalam dirinya.
Apa sahaja yang beliau lakukan, Emery lakukan sepenuhnya.
Mencapai sasaran adalah, sudah tentu, hasil profesional tetapi juga merupakan penyelesaian kepada tanggungjawab yang beliau ambil secara peribadi.
Bagi memastikan prestasinya kekal di tahap tertinggi, Emery belajar untuk menumpukan fikiran sepenuhnya dan tidak menghiraukan sebarang gangguan atau tekanan dari luar.
Apabila Villa dikritik kerana merehatkan pemain utama dalam kekalahan kepada Tottenham Hotspur – sebelum turun beraksi bagi perlawanan kedua separuh akhir Liga Europa menentang Nottingham Forest – Emery langsung tidak tergugat.
Beliau telah mengira bahawa mata yang mereka perlukan dalam liga untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan tiba daripada ‘saluran’ lain jika diperlukan.
Dan jangkaan beliau tepat – kejuaraan Liga Europa memberikan mereka ‘tiket’ ke Liga Juara-Juara musim depan.
Stadium Villa Park turut membantu. Emery sentiasa mendapat tenaga daripada penyokong yang memberi kepercayaan.
Selepas kempen liga itu berakhir beliau akan pergi ke kampung halamannya di Hondarribia atau destinasi percutian kegemaran, Mallorca, untuk berjalan di tepi laut dan bertemu rakan-rakannya.
Kemudian persediaan untuk musim depan yang akan bermula.
Dari tangga ke-16 ke juara Liga Europa
Skala revolusi Emery di Villa tidak boleh dipandang remeh.
Apabila beliau mengambil alih pada 1 November 2022, Villa berada di tangga ke-16 dalam Liga Perdana England (EPL), iaitu dua tangga dan satu mata di atas zon penyingkiran.
Mereka kemudian memenangi 15 daripada 25 perlawanan liga untuk menamatkan musim itu di kedudukan ketujuh dan layak beraksi dalam pertandingan Eropah buat kali pertama sejak 2010-11.
Dalam musim penuh pertamanya, Emery membawa Villa kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1982-83.
Pasukan beliau turut mencatat rekod kelab dengan memenangi 15 perlawanan liga di padang sendiri berturut-turut – rekod terbaik dalam sejarah 151 tahun kelab itu.
Dan kini, dengan bola sepak Liga Juara-Juara sekali lagi terjamin, Villa adalah juara benua buat kali pertama dalam satu generasi. – Agensi berita.
