Emilio Estevez Tsai dari Tanjong Pagar United: Pindah kerana cinta, mahu menetap kerana bola
Emilio Estevez Tsai dari Tanjong Pagar United: Pindah kerana cinta, mahu menetap kerana bola
Emilio Estevez Tsai, yang dilahirkan di Canada dan merupakan warga Taiwan, telah mengembara ke Amerika Utara, Eropah, dan Asia dalam kerjaya bola sepaknya.
Beliau tiba di Singapura pada Julai 2025 untuk bermain bersama Tanjong Pagar United dalam Liga Perdana Singapura (SPL), mencari permulaan baru.
Namun, kemasukannya ke dalam bola sepak tempatan terjejas apabila beliau mengalami kecederaan ligamen medial (MCL) di lutut kanan semasa perlawanan persahabatan pramusim, mengakibatkan beliau terpaksa berehat lebih dari sebulan.
Estevez kembali beraksi pada Oktober, tetapi hanya bermain sepenuhnya pada Januari dan menjaringkan gol pertama pada 31 Januari dalam kekalahan 1-2 kepada BG Tampines Rovers.
Beliau berkata: “Ia sangat sukar kerana saya tidak pernah mengalami kecederaan seberat ini. Saya terpaksa menjalani proses pemulihan untuk kembali cergas, jadi ia agak rumit kerana saya tidak bermain langsung.”
Cinta menjadi sebab utama Estevez datang ke Singapura apabila beliau bertemu teman wanitanya yang berasal dari Singapura semasa percutian di Sepanyol – mereka sudah menjalinkan hubungan jarak jauh selama empat tahun.
Estevez berkata: “Sebelum ini, saya bermain di Hong Kong, dan saya sentiasa berminat untuk melihat jika ada peluang bermain dalam liga Singapura, dan akhirnya saya mendapat peluang untuk menyertai Tanjong Pagar (melalui ejen).”
Beliau sangat menyukai Singapura dan jika diberi pilihan, beliau tidak keberatan bermain lebih lama, namun yang lebih penting baginya adalah terus menunjukkan prestasi terbaik.
Estevez yang dibesarkan di Canada oleh bapanya, warga Sepanyol, dan ibunya warga Taiwan, mula diperkenalkan dengan futsal oleh bapanya.
Walaupun memiliki nama yang sama dengan pelakon Hollywood yang terkenal melalui filem The Mighty Ducks, Estevez sebenarnya dinamakan sempena legenda Real Madrid dan Sepanyol, Emilio Butragueno.
Pada usia 20 tahun, beliau menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan North Mississauga SC di Ontario, sebelum berpindah ke Eredivisie, Belanda, bersama ADO Den Haag di mana Aleksandar Rankovic, jurulatih Lion City Sailors, turut berada di sana.
Estevez dipanggil ke pasukan kebangsaan Chinese Taipei pada 2019 dan membuat penampilan pertama menentang Australia dalam kelayakan Piala Dunia. Kerjayanya kemudian membawanya ke Hong Kong dan Taiwan sebelum menyertai Tanjong Pagar United.
Estevez berkata: “Pada usia 27, saya baru sedar betapa banyak yang saya pelajari dari setiap tempat saya bermain.
“Dulu, pada usia 20 atau 21, saya rasa saya tahu segalanya. Namun di Belanda, saya belajar asas seperti cara menghantar bola dengan betul. Pada masa itu saya sedar, untuk berjaya dalam bola sepak jangka panjang, kita perlu sentiasa di puncak prestasi.”
Jurulatih Tanjong Pagar, Noh Alam Shah, berkata: “Dengan pengalamannya bermain di liga luar negara, saya pasti beliau mempunyai pemahaman yang baik mengenai apa yang kelab mahukan secara taktikal dan mampu menyesuaikan diri dengan cara Tanjong Pagar bermain.”
Estevez turut membandingkan SPL dengan liga-liga yang pernah disertainya sebelum ini, mengatakan bahawa liga Singapura agak mirip dengan liga Hong Kong tetapi kini lebih kompetitif kerana membenarkan tujuh pemain import beraksi serentak.
Kini, dengan menjaringkan gol pertama untuk Tanjong Pagar, Estevez bertekad untuk membantu kelabnya meraih lebih banyak mata. Tanjong Pagar kini berada di tangga ketujuh daripada lapan pasukan SPL dengan empat mata, hasil satu kemenangan dan satu seri.
Mereka akan menentang Geylang International yang berada di tempat keempat pada 6 Februari ini.

