Topik diikuti
Pergi ke BHku6 mata dalam genggaman, namun Singa perlu tingkat prestasi
6 mata dalam genggaman, namun Singa perlu tingkat prestasi
Skuad kendalian Gavin Lee berdepan ujian menentang juara bertahan Vietnam, Ilhan Fandi kekal ‘senjata’ utama
6 mata dalam genggaman, namun Singa perlu tingkat prestasi
Dua perlawanan, dua kemenangan, enam mata.
Itulah fakta paling penting buat Singapura selepas menewaskan Kemboja dan Timor-Leste dalam dua aksi pembukaan Kumpulan A Piala Asean Hyundai.
Namun, di sebalik permulaan sempurna itu, masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki sebelum skuad kendalian Gavin Lee berdepan ujian sebenar menentang juara bertahan Vietnam.
Perkara paling ketara ialah bagaimana Singapura masih mengambil masa untuk benar-benar menemui rentak mereka dalam perlawanan.
Corak sama dapat dilihat dalam kededua kemenangan setakat ini.
Menentang Kemboja, Singapura gagal menguasai permainan selepas mendahului, dan akhirnya membenarkan lawan menyamakan kedudukan sebelum terpaksa bangkit semula untuk menang.
Menentang Timor-Leste pula, Singa menguasai permainan tetapi hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-41.
Permulaan perlahan seperti itu mungkin tidak dihukum oleh Kemboja atau Timor-Leste, tetapi Vietnam merupakan pesaing yang berbeza.
Juara bertahan itu menghantar amaran jelas apabila membelasah Timor-Leste 7-0, dengan jaringan pertama hadir seawal minit ketujuh sebelum mereka terus menguasai perlawanan.
Indonesia pula turut menunjukkan ketajaman dengan membelasah Kemboja 5-1 dalam aksi pembukaan mereka.
Dengan perbezaan jaringan mungkin menjadi penentu dalam perebutan dua tempat teratas untuk ke separuh akhir, setiap jaringan yang terlepas mampu membawa kepada penyingkiran.
Pemain yang terus mencuri perhatian ialah Ilhan Fandi.
Dua perlawanan, dua gol.
Namun, sumbangan penyerang berusia 23 tahun itu jauh melangkaui statistik tersebut.
Ketika menentang Timor-Leste, Ilhan bukan sahaja menjadi penyerang sasaran, malah beberapa kali bertindak sebagai pemain penghubung.
Beliau bijak turun menerima bola, mengawal bola sebelum bergabung baik dengan rakan sepasukan, sekali gus membuka ruang kepada pemain di sekelilingnya.
Ia merupakan satu dimensi tambahan yang menjadikan Ilhan lebih daripada sekadar penjaring gol.
Persoalannya kini, adakah Singapura terlalu bergantung kepada beliau?
Song Ui-young turut menemui sasaran ketika menentang Timor-Leste, sesuatu yang pasti melegakan Gavin Lee.
Namun secara keseluruhan, Ilhan masih kelihatan sebagai ancaman utama setiap kali Singapura menyerang.
Menentang pasukan seperti Vietnam, mempunyai hanya satu ‘senjata’ utama akan menjadikan corak serangan Singapura lebih mudah dibaca dan dipatahkan.
Pemain lain perlu lebih berani tampil menyumbang jaringan, sama ada dari bahagian tengah, sayap, mahupun menerusi situasi bola mati.
“Song banyak menyumbang ketika kempen kelayakan Piala Asia, manakala Kyoga pula menjaringkan dua gol dalam kejohanan Asean sebelum ini.
“Perkara paling penting adalah untuk meletakkan pemain di posisi yang membolehkan mereka berjaya,” kata Lee.
Namun, keteguhan benteng pertahanan mungkin boleh menjadi kunci senjata Singa.
Walaupun tanpa tonggak pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, Irfan Fandi cemerlang menggalas tanggungjawab di benteng pertahanan.
Lionel Tan turut menunjukkan prestasi konsisten, manakala Nur Adam Abdullah menyerlah bukan sahaja ketika bertahan, malah rajin membantu jentera serangan.
Jurulatih Lee sendiri memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar selepas kemenangan ke atas Timor-Leste.
Beliau mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki, tetapi mengingatkan bahawa yang paling penting ialah Singapura terus mengutip mata.
“Dua kemenangan, itu sangat bagus. Prestasi kami semakin meningkat sedikit demi sedikit... Dalam kejohanan seperti ini, kami hanya mahu terus berkembang,” katanya.
Sebahagian penyokong mungkin membandingkan kemenangan 2-1 dan 2-0 Singapura dengan pesta gol yang dilakar Vietnam serta Indonesia.
Memang benar, perbezaan jaringan mungkin menjadi topik hangat. Namun hakikatnya, enam mata penuh sudah berada di tangan Singa.
Kini, segala-galanya terpulang kepada perjuangan mereka di atas padang – sama ada mereka mampu menumbangkan Vietnam, menundukkan Indonesia, atau mengejutkan kedua-dua gergasi serantau tersebut.
“
“Dua kemenangan, itu sangat bagus. Prestasi kami semakin meningkat sedikit demi sedikit... Dalam kejohanan seperti ini, kami hanya mahu terus berkembang.”