Topik diikuti
Pergi ke BHkuGavin: Usah pandang mudah Timor-Leste
Gavin: Usah pandang mudah Timor-Leste
Tekankan kemenangan lebih penting daripada jumlah jaringan
Gavin: Usah pandang mudah Timor-Leste
Selepas mengakui persembahan Singapura ketika menentang Kemboja masih jauh daripada memuaskan, ketua jurulatih Gavin Lee, kini hanya mempunyai satu sasaran menjelang perlawanan Piala Asean Hyundai menentang Timor-Leste pada 27 Julai, iaitu memastikan skuad Singa membawa pulang tiga mata sekali lagi.
Sebelum ini dalam Kumpulan A, Vietnam, membelasah Timor-Leste 7-0 dalam perlawanan pembukaan mereka.
Namun, Lee mengingatkan bahawa keputusan itu tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukan Timor Leste.
Sebaliknya, beliau percaya prestasi Timor-Leste telah meningkat dengan ketara dan boleh menyukarkan mana-mana pasukan yang memandang rendah kemampuan mereka.
“Apa yang paling penting ialah kami menang. Tidak kisah bagaimana kami menang, asalkan kami menang,” kata Lee pada sidang media praperlawanan di Stadium Jalan Besar pada 26 Julai.
“Kalau anda menonton semula perlawanan Vietnam menentang Timor-Leste, saya rasa keputusan itu agak mengelirukan.
“Timor-Leste sebenarnya banyak menguasai bola dan menyebabkan Vietnam menghadapi pelbagai masalah. Mereka sebuah pasukan yang sangat tersusun.
“Jangan biarkan keputusan perlawanan menentukan bagaimana kita menilai pihak lawan. Itu terlalu mudah,” jelas beliau.
Singapura memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada 24 Julai hasil jaringan Shawal Anuar, dan jaringan kemenangan hebat Ilhan Fandi, namun Lee mengakui pasukannya masih belum mempamerkan prestasi terbaik.
“Kami tidak gembira dengan apa yang kami tunjukkan di Kemboja,” akui jurulatih berusia 35 tahun itu.
“Tetapi perkara yang baik ialah kami hanya mempunyai 72 jam sebelum perlawanan seterusnya. Ia memberi peluang kepada kami untuk bangkit dan mempamerkan persembahan yang lebih baik.
“Selepas banyak membuat penilaian, kami berbincang secara dalaman dan pemain-pemain benar-benar tidak sabar untuk kembali ke padang,” tambah beliau.
Antara aspek yang diberi perhatian ialah kegagalan Singapura memanfaatkan ruang ketika melakukan serangan balas.
Menurut Lee, skuadnya sebenarnya berjaya mencipta keadaan yang diinginkan, tetapi kurang bermutu pada hantaran-hantaran terakhir.
“Kami mengambil risiko untuk menyerang apabila ruang terbuka, tetapi kami tidak memanfaatkannya,” kata beliau.
“Perkara positifnya ialah kami mengenal pasti masalah itu. Sekarang persoalannya ialah sama ada kami mampu melaksanakannya dengan lebih baik.
“Saya pernah melihat pemain-pemain kami melakukannya sebelum ini, jadi saya yakin mereka mampu menunjukkan peningkatan,” tambah beliau.
Beliau turut menepis tanggapan bahawa hanya penyerang perlu memikul tanggungjawab menjaringkan gol.
“Tidak penting siapa yang menjaringkan gol.
“Yang penting kami menang. Kami mempunyai pemain yang sanggup berkorban untuk pasukan,” kata Lee.
Sementara itu, Ilhan berharap dapat meneruskan rentak jaringan selepas muncul wira kemenangan ke atas Kemboja.
Penyerang Lion City Sailors itu mengakui beliau menikmati tekanan yang datang bersama harapan penyokong.
“Tekanan membuatkan saya mahu bermain dengan lebih baik untuk pasukan dan negara.
“Sudah tentu gol tempoh hari memberi keyakinan kepada saya, tetapi kami tahu (kebolehan) Timor-Leste semakin baik,” kata Ilhan.
Ilhan berkata tumpuan Singapura kini bukan sahaja untuk menghasilkan permainan yang lebih baik, malah memastikan mereka membawa pulang tiga mata yang boleh mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.
“Perkara paling penting ialah mendapatkan tiga mata dan memberikan satu lagi persembahan yang baik,” katanya.
Dengan Vietnam dijangka menjadi pencabar utama kumpulan, kemenangan ke atas Timor-Leste akan meletakkan Singapura dalam kedudukan yang lebih kukuh sebelum berdepan dua ujian terbesar menentang Vietnam dan Indonesia.