PARIS: England berjaya mendapatkan kemenangan 3-1 ke atas Finland dalam Liga Negara-Negara pada 13 Oktober.
Jack Grealish meletakkan England di hadapan pada separuh masa pertama.
Kemudian Trent Alexander, yang bermain di bek kiri berbanding dengan posisi biasanya di bek kanan, menjaringkan tendangan percuma dengan hebat pada separuh masa kedua.
Declan Rice pula menyempurnakan kemenangan England dengan jaringan pada minit ke-84.
Arttu Hoskonen hanya berjaya mendapat gol sagu hati buat Finland pada minit ke-87.
England menunjukkan prestasi lebih baik berbanding ketika mereka dikalahkan oleh Greece 2-1 di Wembley pada 10 Oktober.
“Pasukan saya bertindak balas dengan sangat baik, dalam cara yang terbaik,” kata Carsley kepada media.
“Mereka menjaringkan tiga gol. Kami bermain dengan lebih baik malam ini. Kami bermain dengan lebih kawalan. Kami mengawal bola, menghasilkan banyak hantaran dan peluang. Tetapi kami boleh bermain dengan lebih baik lagi,” tambah beliau.
Finland menghasilkan beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi tidak berjaya mencabar penjaga gawang England, Dean Henderson, dan kekal di tangga terendah Kumpulan B2 Liga Negara-Negara setelah kalah kesemua perlawanan sejauh ini.
Greece kekal di tangga teratas di kumpulan tersebut, dengan kelebihan tiga mata daripada England di tempat kedua, setelah mereka menewaskan Republik Ireland 2-0 di Athens pada 14 Oktober.
Percubaan Tasos Bakasetas melepasi penjaga gawang Republik Ireland, Caoimhin Kelleher, untuk meletakkan Greece di hadapan pada awal separuh masa kedua.
Petros Mantalos menjaringkan gol kedua Greece pada masa tambahan untuk mengekalkan rekod 100 peratus Greece dengan kemenangan keempat berturut-turut mereka.
Ini merupakan perlawanan pertama Greece di stadium sendiri sejak bekas pemain Greece, George Baldock, meninggal dunia akibat lemas di kolam renangnya di Athens pada 9 Oktober.
Austria mengatasi Norway 5-1 di Linz, dengan Marko Arnautovic berjaya menjaringkan dua gol.
Penyerang Inter Milan itu menjaring gol awal perlawanan, tetapi Alexander Sorloth berjaya menyamakan kedudukan dengan jaringannya.
Namun pada separuh masa kedua, Arnautovic menjaringkan satu lagi gol, sementara Philipp Lienhart, Stefan Posch dan Michael Gregoritsch kesemuanya mendapatkan gol masing-masing untuk mendapatkan kemenangan dominan bagi Austria.
Kemenangan ini meletakkan Austria di tempat kedua Kumpulan B3.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland, mempamerkan persembahan yang hambar kerana ancamannya berjaya dimatikan oleh barisan pertahanan Austria.
Satu-satunya peluang yang dihasilkan adalah percubaannya yang terkena palang gol pada minit kelima.
Slovenia menduduki tempat ketiga Kumpulan B3 selepas mereka berjaya mengatasi Kazakhstan 1-0 hasil jaringan Jan Mlakar.
Belgium akan menentang juara Liga Negara-Negara 2021, Perancis, manakala Germany akan menentang Belanda di Munich pada 15 Oktober. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg