LONDON: Penyerang Vangelis Pavlidis berkata pemain Greece “memberi segalanya” untuk bekas rakan sepasukan mereka, George Baldock, yang meninggal dunia sehari sebelum kemenangan bersejarah mereka ke atas England di Wembley.
Pavlidis menjaringkan gol pada masa kecederaan apabila Greece menewaskan England 2-1 dalam perlawanan Liga Negara-Negara pada 11 Oktober, sehari selepas mereka mengetahui tentang pemergian Baldock.
Pemain itu meninggal dunia pada usia 31 tahun selepas ditemui lemas di kolam renang rumahnya di Glyfada, selatan Athens.
Pemain Greece mendapat tahu tentang pemergiannya semasa pulang dari latihan di Wembley pada petang 10 Oktober, menyebabkan mereka “hampir tidak tidur”.
Namun, Greece menjadi pasukan ranking paling rendah dalam sejarah yang mengalahkan England dalam perlawanan di tempatnya sendiri.
Pengurus Greece, Ivan Jovanovic, berkata kemenangan tidak dijangka itu didorong keinginan anak buahnya memberi penghormatan kepada Baldock.
“Seluruh pasukan dan semua orang di sini melalui 24 jam yang sangat sukar. Ia (pemergian Baldock) sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” kata Jovanovic.
Tafakur seminit sebagai penghormatan bagi Baldock diadakan sebelum perlawanan itu.
Pavlidis memegang pengikat lengannya setinggi-tingginya selepas membuka tirai jaringan pada minit ke-49, sebelum pemain Greece beramai-ramai menjulang jersi nombor dua Baldock.
“Ia adalah perlawanan sangat istimewa untuk kami disebabkan George (Baldock), dan sudah tentu kami memberikan segala-galanya untuknya dan keluarganya.
“Kami hanya berkata kami perlu bermain untuknya. Kami tidak kisah tentang jaringan hari ini, kami mahu bermain untuknya dan kami memberikan segala-galanya untuknya,” kata Pavlidis kepada saluran media ITV.
Baldock, yang dilahirkan di England, kali terakhir disertai dalam pasukan Greece untuk perlawanan play-off Euro 2024 menentang Georgia.
Beliau bermain bagi Grece sebanyak 12 kali, dan menyertai kelab liga Greece, Panathinaikos, pada musim panas 2024 selepas tujuh tahun beraksi untuk kelab England, Sheffield United.
Baldock memulakan kerjaya bola sepaknya di MK Dons pada 2009 dan kemudian dipinjamkan kepada beberapa kelab, termasuk Northampton dan Oxford United, sebelum menyertai Sheffield United pada 2017.
Beliau membuat 219 penampilan dalam semua pertandingan untuk Sheffield United, membantu mereka dinaikkan ke Liga Perdana England (EPL) pada 2019, dan sekali lagi pada 2023.
Keluarga Baldock berkata mereka “sedih” dengan pemergiannya secara mengejut.
Satu kenyataan berkata: “George, anda adalah bapa, tunang, anak lelaki, abang, bapa saudara, kawan, rakan sepasukan dan orang yang paling istimewa.
“Keghairahan dan keperibadian anda membawa begitu banyak kasih sayang kepada mereka yang cukup bernasib baik mengenali anda dan mereka yang menyokong anda sebagai penonton…
“Anda sepatutnya pulang ke rumah hari ini untuk kami meraikan ulang tahun pertama anak lelaki anda bersama-sama, tetapi sebaliknya kami meratapi kehilangan anda.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg