Dua gergasi bola sepak negara akan bertembung pada saingan suku akhir Euro 2024 pada pagi 6 Julai ini. Sepanyol akan menentang Jerman dalam perlawanan yang dijanjikan penuh ghairah dan aksi.
Tuan rumah Jerman merupakan antara pasukan yang menonjol di kejohanan kali ini, namun kebangkitan ‘La Roja’ (nama panggilan pasukan bola sepak Sepanyol) tampak bakal memberi saingan sengit pada misi Jerman.
Perlawanan ini mungkin berlangsung terlalu awal dengan kedua-dua pasukan diramalkan sebagai pilihan utama untuk beraksi di pentas final Euro 2024.
Kapten Jerman, Ilkay Gundogan, berkata mereka seharusnya tidak gentar menentang Sepanyol dan harus lakukan yang terbaik.
“Kita tidak sepatutnya bersembunyi ketika menentang Sepanyol. Sebagai sebuah pasukan, kita mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan mereka. Kita juga mempunyai kualiti luar biasa,” kata pemain Barcelona itu.
Dalam saingan kejohanan antarabangsa, Jerman belum pernah mengalahkan Sepanyol sejak 1988. Pertemuan ini boleh menjadi titik sejarah buat Jerman, di samping bermain di hadapan penyokong mereka sendiri.
Pada perlawanan sebelum ini, Jerman tewas di tangan Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia 2010 dan final Euro 2008. Mereka juga dibelasah 0-6 di kejohanan Nations League 2020.
Meraih kemenangan tidak mudah untuk pasukan bimbingan Julian Nagelsmann itu.
Bagi saya, ia akan ditetapkan dengan dua perkara iaitu bagaimana pertahanan Jerman mampu menahan jentera serangan Sepanyol dan mendominasi bahagian tengah.
Dua pemain sayap muda yang sedang mencuri perhatian dunia, Lamine Yamal, 16 tahun, dan Nico Williams, 21 tahun, bakal kucar-kacirkan pertahanan Jerman.
Mereka dilihat sebagai tonggak utama pasukan Sepanyol selain Rodri, Alvaro Morata dan Pedri.
Yamal, yang sering bermain di bahagian sayap kanan, telah membuat dua ‘assist’ di kejohanan kali ini dan kebolehannya menggelecek dan kemahiran membuat hantaran harus diberi perhatian.
Walau baru berusia 16 tahun, beliau mampu ‘mendudukkan’ pemain yang lebih berusia darinya.
Bahagian sayap kiri pula dikuasai Nico Williams yang mampu menembusi pertahanan lawan dengan larian berbentuk ‘direct’ dan pantas. Kemampuan beliau tidak disangkal ketika menentang Georgia.
Beliau menjadi satu-satunya pemain yang memulakan perlawanan di Euro sejak 1980 yang menjaringkan gol, membuat ‘assist’ dan menghabiskan perlawanan dengan rekod 100 peratus dalam hantarannya.
Untuk membendung serangan Sepanyol, Nagelsmann harus membuat keputusan di bek kiri – sama ada ingin memulakan David Raum atau Maximilian Mittelstaedt yang lebih cenderung melakukan serangan, atau menurunkan Benjamin Henrichs yang lebih gemar bertahan.
Buat legenda Jerman dan Real Madrid, Toni Kroos, mereka harus senyapkan dua pemain sayap Sepanyol itu jika mahu melangkah ke final Euro 2024.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemain kelihatan lebih baik pada usia lebih muda, ia benar-benar luar biasa.
“Beliau (Yamal) adalah pemain Barcelona yang paling berbahaya musim lalu. Kami tahu apa yang dia mampu lakukan dan akan cuba bendung dia dan Nico Williams sebaik mungkin. Untuk menjadi sehebat itu pada usia 16 tahun memang tidak boleh dipercayai,” kata Toni Kroos.
Pemain berusia 34 tahun itu ingin mengakhiri perjalanannya sebagai pemain bola sepak dengan senyuman kejayaan.
Menjelang perlawanan menentang Sepanyol, beliau mengatakan bahawa objektif pertama adalah untuk mendominasi bahagian tengah.
“Sejak dahulu lagi saya berpendapat bahawa permainan seperti ini ditentukan di tengah.”
“Siapa yang mampu mengawal permainan di situ akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang. Kedua-dua pasukan gemar menguasai bola, suka memegang bola,” tambah Kroos.
Jika Sepanyol mempunyai Yamal dan Williams, Jerman juga mempunyai pemain muda yang boleh diharapkan seperti Jamal Musiala dan Florian Wirtz, kedua-duanya berusia 21 tahun.
Musiala mendahului carta jaringan dengan tiga gol dan Wirtz mempunyai satu jaringan.
Jerman perlu pemain-pemain ini untuk berada di prestasi terbaik mereka untuk membendung asakan Sepanyol.
Tugas mereka bakal menjadi sukar dengan kehadiran pemain tengah berkebolehan Sepanyol, Rodri. Rodri bakal menjadi titik perantara antara pertahanan dan penyerang Sepanyol dan pada hari cemerlang beliau, beliau sukar ditandingi.
Bergandingan dengan pemain muda berbakat seperti Pedri dan kebangkitan Fabian Ruiz yang telah menjaringkan dua gol dan melakukan dua ‘assist’, Sepanyol mampu mencabar bahagian tengah.
Dengan suasana yang positif yang dilihat di kem Sepanyol dan bimbingan pengurus Luis de la Fuente, saya rasa Sepanyol mampu mengatasi kelebihan Jerman yang bermain di laman sendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg