Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

England belasah Ireland, duduki tangga teratas kumpulan

Nov 18, 2024 | 4:43 PM
Harry Kane selepas menjaringkan gol 1-0 dari sepakan penalti semasa perlawanan Liga Negara-Negara Uefa di London.
Harry Kane selepas menjaringkan gol 1-0 dari sepakan penalti semasa perlawanan Liga Negara-Negara Uefa di London. - Foto EPA-EFE

LONDON: Pengurus sementara England, Lee Carsley akan memberikan Thomas Tuchel nota penyerahan terperinci selepas menamatkan tempoh singkatnya dengan cemerlang apabila skuad bimbingannya membelasah Ireland 5-0 pada 17 November.

Kemenangan itu memastikan England kembali ke peringkat teratas peringkat kumpulan dalam Liga Negara-Negara dengan Carsley menangi lima daripada enam perlawanannya.

Ini sejak beliau diminta membimbing skuad senior England selepas melepaskan jawatannya selaku jurulatih skuad Bawah 21 tahun.

Sebelum ini Gareth Southgate telah mengundurkan diri sebagai pengurus pasukan England selepas Euro 2024.

Meskipun pernah tewas kepada Greece di padang sendiri, Carsley membuat pihak pengurusan England kagum, apatah lagi dalam enam perlawanan di bawah bimbingannya, beliau memberi lapan pemain pendedahan di peringkat skuad senior.

Dengan sejumlah pemain tetap seperti Bukayo Saka, Declan Rice, Trent Alexander-Arnold, dan Phil Foden tidak hadir untuk dua perlawanan terakhir sebagai jurulatih, Carsley memberi peluang kepada beberapa pemain yang beliau percaya boleh menjadi sebahagian daripada rancangan Tuchel hadapi kempen kelayakan Piala Dunia.

Carsley akan kembali kepada peranannya sebagai jurulatih skuad bawah usia 21 tahun (U-21).

“Saya akan kumpulkan dokumen, dan kemudian saya harap akan berjumpa (Tuchel) dan bentangkan apa yang kami fikirkan dan apa yang kami temui. Tugas kami adalah untuk menyokong pengurus kanan semampu kami, mengetahui apa yang beliau perlukan dan bagaimana kami boleh bantu.

“Saya tidak sabar bertemu dengannya dalam beberapa minggu akan datang.”

Carsley memberi penampilan sulung kepada Curtis Jones, Lewis Hall dan Morgan Rogers dalam kemenangan 3-0 di Greece pada 14 November dan pada 17 November Tino Livramento dan Taylor Harwood-Bellis membuat penampilan pertama dalam skuad England.

Harwood-Bellis juga menjaringkan gol selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua semasa menentang Ireland.

Permainan berubah selepas separuh kedua apabila Liam Scales menjatuhkan Jude Bellingham menyusuli hantaran bola daripada Harry Kane.

England mendapat penalti dan Scales dibuang padang kerana menerima dua kad kuning.

Kane berjaya menewaskan penjaga gol Ireland, Caoimhin Kelleher.

England mengganda jaringan pada minit ke-56, apabila hantaran lintang Livramento melencong menemui rakan sepasukannya dari Newcastle United, Anthony Gordon, yang menjaringkan gol antarabangsa pertamanya.

Pasukan bimbingan Carsley menjaringkan gol ketiga dalam masa lima minit apabila Conor Gallagher menjaringkan gol sulungnya untuk England.

Jarrod Bowen juga boleh berbangga dengan jaringan sulungnya buat England, dengan menjaringkan gol keempat skuad negara itu hanya beberapa saat selepas masuk sebagai pemain gantian.

Tiga minit kemudian Harwood-Bellis menambah gol untuk England.

“Cabaran sekarang untuk pemain yang terlibat dalam tiga kem latihan terakhir adalah untuk beraksi pada Mac. Ramai daripada mereka telah melakukan banyak kemajuan dalam hal meningkatkan reputasi.”

Carsley yang merupakan bekas pemain midfield Everton telah menerima laporan positif daripada ketua eksekutif Persatuan Bola Sepak, Mark Bullingham.

“Lee mencapai objektif utama daripada enam perlawanan musim kali ini – mendapatkan promosi kembali ke peringkat teratas Liga Negara-negara.

“Beliau memilih beberapa pemain baru yang menarik dan akan memberi Thomas Tuchel serta Anthony Barry butiran terperinci apabila kededua mereka mulakan persiapan bagi kempen kelayakan kami untuk Piala Dunia 2026,” katanya.

Sementara itu, bos Ireland, Heimir Hallgrimsson berang dengan kekalahan pasukannya.

“Ia adalah enam minit yang menghampakan. Saya hanya merasakan kita hilang tumpuan pada masa itu. Selepas itu, tiada jalan kembali,” kata Hallgrimsson, yang pasukannya berdepan play-off penyingkiran Liga Negara.

“Kami seperti sudah putus asa. Mudah untuk berdiri di luar dan mengkritik pemain tetapi ia adalah saat gila yang membunuh segala-galanya. Saya seperti hilang kata-kata.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg