Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

England beri penyokong ‘antara malam paling menakjubkan dalam 50 tahun’

Masuk final kedua berturut-turut dengan kemenangan 2-1 ke atas Belanda
Jul 11, 2024 | 3:25 PM
Harry Kane, Ollie Watkins
Kapten England, Harry Kane, didukung penyerang, Ollie Watkins, apabila mereka meraikan kemenangan 2-1 ke atas Belanda. Kedua-dua penyerang itu menjaringkan gol pada perlawanan separuh akhir. - Foto AFP

DORTMUND: Pengurus England, Gareth Southgate, berkata mereka “memberi penyokong antara malam yang paling menakjubkan dalam lebih 50 tahun” selepas menempah tempat di Kejohanan Eropah buat kali kedua berturut-turut.

Gol kemenangan oleh pemain gantian, Ollie Watkins, pada minit ke-90 memberikan kemenangan 2-1 ke atas Belanda, selepas England bangkit daripada ketinggalan untuk bertemu Sepanyol pada perlawanan akhir Euro 2024.

Southgate membawa England ke final pertama mereka dalam 55 tahun apabila mereka tewas kepada Italy dalam Euro 2020.

Mereka berharap mencapai lebih baik kali ini.

“Saya mengambil tugas untuk cuba memperbaiki bola sepak England dan kami sekarang berada di final kedua. Sebelum ini ia adalah yang pertama dalam lebih 50 tahun. Kini, ia adalah yang pertama di luar negara,” kata Southgate.

“Kami memberi penyokong antara malam yang paling menakjubkan dalam lebih 50 tahun. Saya amat berbangga dengannya.

“Saya gembira jika semua orang di rumah berasa seperti apa yang kami rasakan dan seperti mereka yang berada di stadium. Tetapi kami belum selesai.

“Kami harus bersiap sedia untuk ujian besar. Kami datang di sini untuk cuba menjuarai kejohanan dan itu masih menjadi matlamat kami,” katanya.

Ia bukan satu perjalanan mudah untuk England, yang merupakan pasukan pertama dalam sejarah Euro yang berjaya mara ke final walaupun ketinggalan dalam kedua-dua perlawanan suku akhir dan separuh akhir.

Sepakan akrobatik oleh Jude Bellingham pada minit ke-95 menyaksikan mereka menewaskan Slovakia dalam pusingan 16 terakhir, dan mereka memerlukan sepakan penalti penentuan untuk menewaskan Switzerland pada suku akhir.

Kritikan mula dilontarkan peminat yang mula menunjukkan kekecewaan mereka. Malah, ada penyokong membaling cawan plastik ke arah Southgate selepas England seri 0-0 dengan Slovenia pada peringkat kumpulan.

“Peluang meraikan kejayaan kedua mara ke peringkat final adalah sangat istimewa. Jika saya tidak berada di padang, saya akan menonton dan meraikannya seperti mereka (peminat).

“Saya adalah individu yang perlu memilih pemain, maka apabila saya dapat memberi mereka malam seperti malam ini, ia adalah sangat istimewa.

“Kami datang di sini untuk menang dan akan menentang pasukan yang menjadi yang terbaik dalam kejohanan ini (dalam perlawanan akhir). Kami masih di sini dan akan berjuang,” kata Southgate.

Setelah kalah kepada Italy di Wembley tiga tahun lalu, England berazam tidak pulang dengan tangan kosong kali ini.

Bellingham, pemain tengah Real Madrid, memberitahu BBC Radio 5 Live pasukan itu “akan berjuang untuk sehari lagi” kerana mereka ingin menjadi pasukan England pertama sejak 1966 memenangi sebuah trofi utama.

“Saya sangat berbangga dengan pemain. Reaksi, sikap dan mentaliti. Mutu adalah satu perkara, tetapi ciri-ciri itu anda tidak boleh belajar dalam latihan – anda mendapatnya daripada pengalaman dan pemain lain,” tambah beliau.

“Sekarang kami perlu menghadapi satu lagi perlawanan. Kami letih, ia adalah musim yang panjang, tetapi ini adalah persaingan terakhir untuk negara dan sejarah.”

Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo, 19 tahun, mempamerkan aksi cemerlang pada peringkat kalah mati dan menjadi pemain termuda England yang bermain di separuh akhir sebuah kejohanan utama.

“Ia adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, kami sangat gembira. Ia merupakan satu perjalanan (panjang) dan kami telah memperbaiki persembahan sebelum ini,” kata Mainoo.

Ia adalah malam roller coaster di Dortmund apabila Belanda mendahului menerusi rembatan kencang, Xavi Simons.

England menyamakan kedudukan apabila Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti yang dipertikaikan keputusannya.

Mereka juga menguasai sebahagian besar perlawanan sebelum Watkins memberikan kemenangan pada babak akhir perlawanan.

“Saya berasa letih seolah-olah saya bermain di luar sana. Ia adalah malam yang hebat,” kata bekas penyerang England, Alan Shearer.

“Ada kalanya anda perlu bekerja keras dalam bola sepak antarabangsa. Apabila ia menjadi sukar, mereka terpaksa mengemukakan jawapan berbeza dan mereka perlu mencari jalan semula.

“Pasukan ini telah melakukannya tanpa bermain bola sepak hebat dalam empat atau lima perlawanan. Sekarang mereka mempunyai peluang luar biasa untuk memenanginya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg