COLOGNE (Germany): Segelintir penyokong England menzahirkan perasaan kecewa mereka dengan membaling cawan kosong ke arah pengurus Gareth Southgate selepas England seri 0-0 dengan Slovenia di saingan Euro 2024 pada 25 Jun.
Southgate, yang membawa England menduduki tempat teratas Kumpulan C dengan lima mata dan jaringan dua gol selepas tiga perlawanan, berkata beliau akan menerima kritikan itu tetapi merayu agar penyokong terus menyokong pemainnya.
“Saya faham. Saya tidak akan mengelak daripadanya. Perkara paling penting ialah penyokong kekal bersama pasukan,” kata Southgate kepada pemberita.
“Saya memahami naratif terhadap saya dan itu lebih baik untuk pasukan berbanding ia ditujukan kepada mereka (pasukan). Namun, ia mewujudkan persekitaran yang kurang baik untuk kami beroperasi.
“Saya tidak pernah melihat mana-mana pasukan lain yang melayakkan diri dan menerima reaksi yang serupa.”
Walaupun England tiba ke Euro sebagai pasukan pilihan, mereka mengecewakan penyokong dengan tiga persembahan membosankan.
Mereka gagal mencapai matlamat untuk memenangi perlawanan semasa menentang Slovenia yang mampu memberikan mereka momentum kelak semasa di pusingan kalah mati.
“Mereka (pemain England) kekal tenang dalam permainan di persekitaran yang sangat mencabar,” kata Southgate.
“Sudah tentu, kami sukakan jaringan gol yang akan membuatkan semua orang pulang dengan gembira. Namun, sudah pasti terdapat peningkatan daripada apa yang kami lakukan dalam perlawanan terakhir.”
England, yang bermain dengan kurang baik dalam keputusan seri 1-1 dengan Denmark sebelum ini, menikmati penguasaan bola sebanyak 72 peratus dan menyempurnakan 694 hantaran berbanding 208 dari Slovenia, namun penguasaan yang dimiliki England itu tidak membimbangkan lawan.
Menurut Southgate dan kapten, Harry Kane, perlawanan terakhir itu adalah persembahan yang terbaik di antara tiga perlawanan mereka, dengan pemain gantian seperti Kobbie Mainoo, Cole Palmer dan Anthony Gordon berjaya menyuntik tenaga yang diperlukan.
“Saya rasa perubahan yang kami lakukan memberi kesan positif kepada permainan malam ini,” kata Southgate.
“Kami tidak dapat mencari hantaran yang tepat, dan menyudahkannya. Tetapi kami bertambah baik.
“Saya tidak rasa kami akan tiba-tiba dapat peluang dan memasukkan empat atau lima gol. Bola sepak tidak berfungsi seperti itu. Saya dapat melihat kemajuan dan gol akan tiba.”
Jika melihat pada sudut sejarah baru-baru ini, anak buah Southgate mungkin boleh menghembus nafas lega. Mereka bermain dengan teruk apabila seri 0-0 dengan Scotland pada peringkat kumpulan tiga tahun lalu sebelum menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Italy pada Euro 2020.
England juga belum pernah kalah dalam 14 perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan Eropah sejak 2004 yang mana mereka kalah 2-1 kepada Perancis.
Menurut Southgate, tugas utama sekarang adalah untuk mengekalkan mood positif dalam kem pasukan di tengah-tengah kritikan yang diterima menjelang perlawanan pusingan 16 terakhir Ahad ini.
“Kami telah menjadikan pasukan England lebih menyeronokkan sejak tiga atau empat tahun lalu,” katanya.
“Saya rasa pemain berasa gembira dan kami perlu berhati-hati agar ia kekal sedemikian.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg