PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, memuji prestasi luar biasa pasukannya selepas mereka membelasah Brest 7-0 pada 19 Februari untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
PSG tidak menghadapi masalah mengalahkan Brest, pasukan baru di Liga Juara-Juara, dengan kemenangan agregat 10-0 – kemenangan paling meyakinkan di Eropah.
Juara Perancis itu turut mencipta sejarah sebagai pasukan pertama yang mempunyai tujuh penjaring berbeza dalam satu perlawanan di kejohanan kelab elit Eropah.
Gol PSG dijaringkan Bradley Barcola, Khvicha Kvaratskhelia, Vitinha, Desire Doue, Nuno Mendes, Goncalo Ramos, dan Senny Mayulu.
“Mempunyai tujuh penjaring berbeza mencerminkan kekuatan pasukan kami dan mentaliti pemain kami,” kata Luis Enrique kepada wartawan.
“Hari ini, hampir kesemua pemain menjaringkan gol kerana apabila mereka berada di kawasan serangan dan melihat rakan sepasukan di posisi lebih baik, mereka memilih untuk menghantar bola,” tambahnya.
“Jika mereka bersikap mementingkan diri, kami pasti menjaringkan kurang gol. Saya suka sikap ini – ia adalah cara terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain atas mentaliti mereka.”
Enrique memuji Brest sebagai salah satu pasukan terbaik di Perancis, sambil menekankan sikap profesional PSG yang tidak terbawa-bawa dengan kelebihan agregat 3-0 sebelum perlawanan timbal balik di tempat sendiri.
“Menentang mereka sentiasa sukar. Mereka telah melalui kempen Liga Juara-Juara yang hebat,” katanya.
“Kami bermain dengan sangat baik sejak awal. Perlawanan yang kelihatan mudah dari permulaan boleh menjadi perangkap, tetapi kami tidak leka. Kami beraksi dengan penuh hormat terhadap salah satu pasukan terbaik di Perancis.”
Kini, PSG bakal berdepan cabaran lebih besar di pusingan seterusnya, apabila mereka bertemu sama ada Liverpool atau Barcelona.
Enrique yakin pasukannya kini bersedia menghadapi apa sahaja cabaran selepas terpaksa melalui pusingan kalah mati untuk mara ke kelompok 16 terbaik.
“Ini sebenarnya tidak adil bagi kami. Kami sepatutnya berada dalam kelompok teratas,” tambah jurulatih dari Sepanyol itu.
“Tetapi kami mengambil laluan lebih sukar, dan itu menjadikan kami lebih kuat serta mempersiapkan kami untuk apa yang bakal datang. Saya tidak fikir ada lawan yang lebih sukar daripada yang telah kami hadapi.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg