Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurus Feyenoord bangga selepas tempoh sukar berakhir di San Siro

Feb 19, 2025 | 2:03 PM
Penyerang Feyenoord, Julian Carranza (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang AC Milan dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Siro.
Penyerang Feyenoord, Julian Carranza (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang AC Milan dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Siro. - Foto AFP

MILAN: Pengurus sementara Feyenoord, Pascal Bosschaart, memuji semangat juang pasukannya selepas mereka bangkit untuk mencatat keputusan seri menentang AC Milan pada Selasa dan mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Persiapan kelab Belanda itu sebelum perlawanan itu jauh daripada memuaskan apabila mereka memecat Brian Priske dua hari sebelum perlawanan play-off

Namun, di bawah bimbingan Bosschaart, Feyenoord meraih kemenangan 1-0 bermain sebagai pasukan tuan rumah, sebelum melengkapkan kejayaan mereka di stadium San Siro, lapor Reuters.

“Ini menunjukkan bahawa pasukan ini mempunyai semangat waja. Itu yang paling saya banggakan,” kata Bosschaart kepada Ziggo Sport, saluran televisyen sukan Nederland di Belanda.

“Anda perlu ingat bahawa mereka datang dari fasa yang sangat sukar, menerima banyak kritikan, berlaku perubahan jurulatih, dan kemudian seorang yang tidak dikenali mengambil alih pasukan dengan hanya beberapa kata-kata motivasi kosong.

“Itu adalah fasa yang sangat mencabar buat mereka, tetapi saya fikir kami sangat jelas, telus dan jujur, dan pasukan ini memberi respon yang sangat baik terhadapnya. Jadi, saya amat bangga dengan mereka.”

Pasukan bimbingan Bosschaart berdepan permulaan perlawanan buruk di Milan apabila bekas pemain mereka, Santiago Gimenez, meletakkan pasukan Milan di hadapan pada hanya minit pertama perlawanan. 

Namun, Feyenoord bangkit pada separuh masa kedua selepas Milan kehilangan Theo Hernandez yang dibuang padang.

“Jika anda bolos dalam beberapa minit pertama, rancangan yang ingin anda laksanakan akan berubah sepenuhnya,” kata Bosschaart.

“Semua orang akan berkata kami mula menguasai permainan selepas kad merah dilayang, tetapi saya fikir kami sudah bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama. Cuma selepas kad merah, segalanya menjadi lebih mudah buat kami.”

Feyenoord kini berkemungkinan kembali ke San Siro pada pusingan seterusnya, di mana mereka akan berdepan sama ada Inter Milan atau Arsenal. 

Namun buat masa ini Bosschaart mahu menikmati kejayaan pasukannya terlebih dahulu.

“Ia sesuatu yang indah. Kami berjaya mara ke pusingan seterusnya, jadi ini sangat istimewa,” katanya.

“Ia luar biasa, tetapi saya harus akui, saya masih belum benar-benar menghadam pencapaian ini sepenuhnya.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg