EPL akan lancar khidmat penstriman langsung kepada pengguna di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EPL akan lancar khidmat penstriman langsung kepada pengguna di S’pura

Feb 27, 2026 | 12:43 PM

EPL akan lancar khidmat penstriman langsung kepada pengguna di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
EPL, khidmat penstriman langsung,  S’pura
Pemain Tottenham Hotspur, Micky van de Ven (kiri), beraksi menentang penyerang Arsenal, Bukayo Saka, dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur, London, pada 22 Februari. - Foto EPA

Liga Perdana England (EPL) akan melancarkan perkhidmatan penstriman langsung kepada pengguna di Singapura, menurut pengumuman Ketua Eksekutif EPL, Encik Richard Masters, pada Persidangan Perniagaan Bola Sepak anjuran Financial Times pada 26 Februari.

Beliau memberitahu orang ramai yang menghadiri persidangan di Hotel Peninsula, di London, bahawa EPL akan menyediakan khidmat penstriman langsung kepada pengguna buat kali pertama.

Ini selepas ia membuat keputusan untuk melancarkan perkhidmatan itu di Singapura dengan kerjasama syarikat telekomunikasi StarHub, pemegang hak sedia ada liga tersebut.

“Buat kali pertama, kami menyediakan perkhidmatan langsung kepada pengguna di Singapura. Ia adalah proses yang memakan masa dan dibangunkan dengan teliti.

“Kami mempunyai perjanjian enam tahun dengan StarHub, salah satu daripada dua penyedia di sini. Oleh itu, bermula musim depan, Premier League Plus – bukan Premflix – akhirnya akan menjadi kenyataan,” kata Encik Masters, menurut laporan tabloid Britain, The Sun.

Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST), StarHub dalam satu kenyataan pada 27 Februari berkata ia “sedang bekerjasama rapat dengan Liga Perdana dalam percubaan usaha sama ini, yang dijangka dilancarkan mulai musim depan pada Ogos 2026”.

Dalam kenyataan itu, StarHub menambah bahawa pengenalan Premier League Plus akan melengkapkan liputan sedia adanya.

StarHub memegang hak siaran EPL di Singapura dari 2022 hingga 2028, dan peminat bola sepak akan dapat menonton perlawanan EPL secara langsung di salurannya, tanpa sebarang perubahan kepada pakej EPL sedia ada menyusuli pengumuman ini.

Melaporkan perkembangan ini, ruang sukan The Athletic akhbar The New York Times menekankan, langkah ini bermakna EPL akhirnya memutuskan untuk menyingkirkan ‘orang tengah’ dengan melancarkan saluran penstriman langsung mereka sendiri bagi pelanggan di Singapura.

Langkah ini mungkin menandakan pengakhiran model penyiaran yang telah wujud selama beberapa dekad.

Dalam laporan The Athletic, Encik Masters dipetik berkata:

“Ia akan menjadi aplikasi baru yang boleh dimuat turun pada televisyen pintar atau komputer riba anda.

“Anda boleh menonton kesemua 380 perlawanan setiap musim, lengkap dengan banyak kandungan sampingan serta saluran khas 24 jam.

“Bolehkah model ini diterapkan di tempat lain? Kita akan lihat nanti.” 

Pada 2020, Encik Masters kali pertama mendedahkan bahawa liga itu sedang meneliti rancangan menjual kandungan melalui platform penstriman langsung – satu langkah yang berpotensi menurunkan kos langganan bagi peminat bola sepak.

Langkah ini akan menyingkirkan ‘orang tengah’ dan membolehkan EPL menyediakan kandungan terus kepada penonton, tanpa melalui proses penjualan hak kepada penyiar televisyen.

Model Premier League Plus mungkin serupa dengan khidmat langganan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA), yang menawarkan pelan tahunan dan bulanan bagi peminat untuk menonton perlawanan melalui aplikasi rasmi mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg