LONDON: Liga Perdana England (EPL) membuka tirai musim barunya hujung minggu ini dengan Manchester City dijangka mempertahan mahkota liganya berturut-turut.
Musim liga kali ini menyaksikan Ipswich naik daripada Liga Championship dan menghadapi Liverpool dalam perlawanan pembukaan mereka di padang sendiri.
Namun, perlawanan pembukaan yang menjadi tumpuan adalah antara City dan Chelsea di Stamford Bridge pada 18 September.
Arsenal sudah tentukan berharap ia dapat mencantas rentak kejuaraan City, yang membuat The Gunners terpaksa berpuas hati menduduki tangga kedua musim 2023/24 dengan perbezaan dua mata, manakala Manchester United terus berusaha untuk pulih daripada musim terburuknya sejak 1990.
Di sebalik pasukan yang menjadi tumpuan EPL, terdapat beberapa perubahan yang diterapkan musim ini – antaranya berkaitan penolong pengadil video (VAR), waktu kecederaan dan apabila bola terkena tangan, atau ‘handball’ – di samping pengurus dan pemain baru yang membuat penampilan sulung liga.
Musim ini, VAR akan campur tangan hanya jika ia dapat “melihat secara terang bahawa pengadil membuat kesilapan jelas”, kata ketua pengadil bagi bola sepak profesional England, Howard Webb.
Keputusan awal yang dibuat oleh pengadil akan kekal dan tidak akan diubah. Ini bermakna pemberhentian perlawanan bagi keputusan kecil dilihat semula berulang kali akan berkurangan
Webb memberi penekanan penting bahawa analisis pengadil tidak harus begitu dipertikai semasa perlawanan.
Akaun Pusat Perlawanan Liga Perdana di media sosial X akan menyiarkan penjelasan “hampir dalam masa nyata” mengenai keputusan VAR.
Ia merancang untuk menunjukkan lebih banyak ulang tayang dan menerangkan keputusan VAR pada skrin besar di stadium.
Tempoh waktu kecederaan pula dijangka berkurang dengan banyak kerana perubahan dalam mengira masa yang diambil untuk meraikan jaringan gol.
Selama ini, masa ditambah bagi setiap saat antara masa gol dijaringkan dengan bola disepak bagi memulakan semula perlawanan selepas jaringan. Sekarang, kiraan bagi masa tambahan bermula hanya selepas 30 saat jaringan dibuat.
Selain dua perubahan itu, pemain yang menyekat lawan yang sedang menyerang atau menghalang lawan semasa sepakan percuma sekarang akan dikenakan denda lebih tegas.
Komen pemain pertahanan Arsenal, Ben White, mengenai peraturan baru itu tular di media sosial baru-baru ini. Beliau membayangkan bahawa sekarang tindakannya semasa tendangan sudut akan membuat pihak lawan mendapat lebih banyak sepakan percuma.
Undang-undang ‘handball’ apabila bola terkena tangan pula akan dilonggarkan. Pemain telah diberitahu oleh EPL bahawa mereka tidak perlu bergerak dengan meletakkan tangan mereka di sisi atau di belakang badan.
Kedudukan lengan atau tangan mereka akan diadili mengikut pergerakan badan mereka.
Webb menjelaskan: “Kami mendapati bahawa kami memberikan terlalu banyak ‘handball’ untuk tindakan atau pergerakan yang agak biasa. Panduan kepada pengadil musim ini ialah tidak perlu begitu tegas.”
‘Handball’ yang tidak disengajakan dan diberi tendangan penalti kini tidak lagi menjadi kesalahan kad kuning secara automatik.
Sementara itu, hampir satu perempat daripada pengurus musim ini akan mengendalikan sebuah perlawanan EPL buat kali pertama pada hujung minggu pembukaan.
Mereka ialah Arne Slot (Liverpool), Enzo Maresca (Chelsea), Russell Martin (Southampton), Kieran McKenna (Ipswich) dan Fabian Hurzeler (Brighton).
Terdapat ramai pemain baru juga.
Manchester United, misalnya, membeli daripada Lille pada harga 52 juta pound ($88.4 juta) pemain pertahanan Leny Yoro, yang akan terlepas beberapa perlawanan awal kerana kecederaan kaki; penyerang Joshua Zirkzee, bernilai 33.7 juta pound daripada Bologna; serta Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui daripada Bayern Munich para harga gabungan hampir 60 juta pound.
Juara bertahan City membawa masuk pemain sayap Brazil, Savinho, daripada kelab Troyes pada harga 30.8 juta pound, manakala Arsenal mendapatkan tandatangan pemain pertahanan Bologna, Riccardo Calafiori, sebanyak hampir 42 juta pound.
Chelsea menandatangani beberapa pemain, termasuk penyerang Barcelona, Marc Guiu, dan penjaga gol, Filip Jorgensen, daripada Villarreal.
West Ham membayar 27 juta pound untuk mendapatkan khidmat penyerang Jerman, Niclas Fullkrug, daripada Borussia Dortmund, dan 25.5 juta pound untuk pemain sayap Brazil, Luis Guilherme, daripada Palmeiras. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg