Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua EPL: Penundaan kes Man City cetus keadaan tidak pasti jelang musim baru

Aug 14, 2024 | 3:23 PM
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan), dan pemain midfield, Rodri, selepas perlawanan menentang Manchester United di London pada 25 Mei.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan), dan pemain midfield, Rodri, selepas perlawanan menentang Manchester United di London pada 25 Mei. - Foto REUTERS

LONDON: Ketua eksekutif Liga Perdana England (EPL), Richard Masters, berkata kes undang-undang yang membelenggu Manchester City dan kelab-kelab lain telah mewujudkan keadaan tidak menentu menjelang musim baru yang bermula pada 16 Ogos.

Suruhanjaya bebas yang ditubuhkan untuk kes melibatkan City akan membuat keputusan berhubung 115 pertuduhan yang dihadapi kelab juara bertahan EPL itu yang didakwa atas kes salah laku dalam urusan kewangan.

Leicester City dan Everton turut diheret ke mahkamah berhubung urusan kewangan masing-masing.

Ketika ditanya jika kes kewangan tersebut akan mengalihkan perhatian daripada musim 2024-2025, Masters memberitahu Sky Sports:

“Ia memang penting dan saya faham ia menimbulkan ketidakpastian dan sedikit kekecewaan, tetapi tidak ada alternatif yang menggembirakan untuk menguatkuasakan peraturan yang telah dipersetujui oleh semua pihak pada awal setiap musim.

“Mereka sudah berjabat tangan dan memandang mata satu sama lain, dan mencapai persetujuan. Jadi Liga Perdana perlu menguatkuasakan peraturan.

“Apapun dugaan atau kekecewaan yang wujud adalah sebahagian daripada menguat kuasa dan menjaga pertandingan Liga Perdana, nilai-nilai teras dan pertandingan yang sengit. Ia adalah tugasan saya, dan usaha yang ingin saya terus lakukan.”

City, yang memburu kejuaraan EPL kelima berturut-turut yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, telah memenangi mahkota liga dua kali sejak dikenakan pertuduhan pada Februari 2023.

City telah menafikan semua tuduhan dan berkata bahawa ia tidak bersalah. Jika didapati bersalah, ada kemungkinan City akan dijatuhi hukuman potongan mata atau disingkir daripada liga.

Beberapa laporan menyebut perbicaraan kes City boleh bermula seawal September, dengan keputusan diketahui pada awal 2025, tetapi Masters enggan memberi pengesahan.

“Ia telah berlangsung selama beberapa tahun dan saya fikir adalah jelas bahawa kes itu perlu didengar dan dijawab.”

“Tetapi ia bukan di tangan kami. Ia berada di tangan suruhanjaya bebas. Mereka bertanggungjawab ke atas masa dan perjalanan proses, dan kami mesti membiarkan mereka meneruskannya.”

City dituduh melanggar syarat dan peraturan EPL berkaitan proses melaporkan maklumat kewangan yang tepat dan penyerahan butiran maklumat gaji pengurus dan pemain dalam kontrak yang berkaitan.

Tindakan City dari segi kewangan sebahagiannya dianggap kurang mematuhi peraturan kewangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan peraturan keuntungan dan kemampanan (PSR) EPL.

City dikatakan melanggar peraturan yang mewajibkan mereka untuk bekerjasama dan membantu proses penyiasatan terhadap pelanggaran tersebut, yang dikatakan oleh pihak Liga bermula pada Disember 2018.

Sebelum ini, Everton dan Nottingham Forest dikenakan denda kerana melanggar PSR musim lalu, dan peraturan itu kekal berkuat kuasa untuk kempen akan datang.

Secara am, PSR menuntut setiap kelab mengehadkan kerugian kepada maksimum £105 juta ($177 juta) sepanjang tiga musim. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg