LONDON: “Peluang di Liga Perdana kini terbuka luas, seperti tidak pernah dilihat sebelum ini,” kata pemain West Ham, Jarrod Bowen, selepas membantu pasukannya menewaskan Newcastle 2-0 pada 26 November.
Kemenangan itu memberi sinar baru buat West Ham, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan risiko penyingkiran daripada EPL.
Kini, The Hammers berada hanya lapan mata di belakang pasukan di tempat kedua dan sedang mengintai peluang untuk layak ke pertandingan Eropah.
Selain Liverpool yang mendahului liga, perlumbaan menempah tempat ke Eropah kelihatan sengit.
Kedudukan kedua hingga kelima hanya dipisahkan satu mata – jurang terdekat yang pernah terjadi selepas 12 perlawanan.
Rekod terdahulu ialah dua mata, yang pernah berlaku hanya tiga kali sebelum ini.
Dalam pada itu, jurang antara kedudukan kedua dengan ke-10 hanya lima mata, jurang terdekat bersama selepas 12 perlawanan – sesuatu yang hanya terjadi dua kali sebelum ini.
Bahkan, jurang antara pasukan di kedudukan kedua dengan West Ham, di tangga ke-14, hanyalah lapan mata, yang pernah berlaku hanya sekali sebelum ini.
Bekas pemain sayap Arsenal, Theo Walcott, memberitahu agensi berita Sky Sports: “Semua pasukan kini mengalahkan satu sama lain. Sukar untuk anda meramalkan keputusan berbanding sebelum ini.”
Untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan, empat tempat diberikan kepada kelab EPL.
Namun, peluang mendapatkan tempat tambahan tidak mustahil jika prestasi EPL di pertandingan Eropah musim ini cemerlang.
Kelebihan itu diberikan kepada dua liga berbeza yang mempamerkan prestasi terbaik dalam pertandingan Eropah musim ini.
Dua pasukan daripada EPL akan bertanding di Liga Europa – satu tempat untuk pasukan di tangga kelima atau keenam, bergantung kepada kelayakan Liga Juara-Juara, dan satu lagi untuk pemenang Piala FA.
Jika pemenang Piala FA layak ke Eropah, tempat tersebut akan diberikan berdasarkan kedudukan liga.
Pemenang Piala Carabao pula layak ke Liga Persidangan Europa, tetapi jika pasukan itu sudah melayakkan diri ke Eropah, tempat itu akan diserahkan kepada pasukan terbaik seterusnya dalam liga.
Salah satu sebab liga musim ini begitu sengit adalah prestasi yang tidak konsisten oleh kebanyakan pasukan.
Antara pasukan kedudukan kedua hingga ke-12, hanya Manchester City, Arsenal, Brighton, Fulham, dan Newcastle yang pernah memenangi perlawanan lebih daripada satu kali berturut-turut.
Sebaliknya, sembilan pasukan lain pernah melalui tiga perlawanan tanpa menang.
Banyak pasukan hebat seperti Manchester City, Arsenal, Tottenham, Aston Villa, Newcastle, dan Manchester United memiliki mata yang lebih sedikit pada peringkat ini berbanding musim lalu.
Aston Villa, yang bersaing di Liga Juara-Juara musim ini, hanya menangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka di EPL tetapi masih empat mata di belakang pasukan di kedudukan kedua.
Chelsea di tangga ketiga hanya memiliki dua kemenangan dalam enam perlawanan terakhir, manakala Arsenal di tempat keempat hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir EPL mereka.
Manchester City pula tewas tiga perlawanan berturut-turut tetapi kekal di kedudukan kedua.
Di sebalik prestasi pasukan yang goyah, Brighton, Nottingham Forest dan Fulham pula telah mencapai pencapaian yang sangat baik, dengan pungutan mata mereka ketika ini jauh lebih baik berbanding peringkat yang sama musim lalu.
Hanya lima pasukan telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut iaitu Liverpool, Manchester City, Chelsea, Aston Villa dan Nottingham Forest.
Ketika liga memasuki tempoh paling sibuk musim ini, banyak pasukan dijangka meningkatkan usaha mereka untuk mencabar kedudukan ke Eropah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg