NEWCASTLE: Tomas Soucek dan Aaron Wan-Bissaka menjaringkan gol untuk membantu West Ham menang 2-0 hebat ke atas Newcastle pada 26 November.
Kemenangan itu meringankan tekanan yang dihadapi pengurus mereka, Julen Lopetegui.
Bekas pengurus Sepanyol, Real Madrid dan Wolverhampton Wanderers itu dilantik pada musim panas dalam usaha kelab tersebut beralih daripada gaya permainan pragmatik yang dahulu diamalkan David Moyes kepada gaya permainan yang memberi lebih tumpuan kepada serangan.
Namun, sejak Lopetegui menggantikan Moyes, beliau hanya berjaya mendapatkan tiga kemenangan dalam 11 perlawanan pertamanya.
Kekurangan gol merupakan masalah utama mereka, dengan West Ham di antara penjaring gol terendah dalam Liga Perdana England (EPL), tetapi prestasi mereka bagi perlawanan ini memberikan harapan bahawa nasib mereka akan berubah.
Newcastle berhadapan dengan West Ham dengan penuh yakin kerana mereka telah menang tiga perlawanan terakhir mereka.
Selain kemenangan perlawanan Piala Liga ke atas Chelsea dan EPL ke atas Arsenal, mereka juga menewaskan Nottingham Forest 3-1 sebelum rehat antarabangsa bermula.
Newcastle banyak mengawal permainan dalam perlawanan tersebut tetapi ketinggalan apabila Soucek menanduk bola masuk ke gawang pada separuh masa pertama.
West Ham berjaya membendung serangan Newcastle dan melancarkan serangan balas lapan minit selepas separuh masa kedua bermula, dengan Wan-Bissaka berjaya menjaringkan gol pertamanya bagi West Ham.
West Ham berjaya mempertahankan kedudukan dan memperolehi kemenangan yang membantu mereka melompat ke tangga ke-14 EPL, iaitu enam mata melebihi pasukan di tangga corot liga.
Keputusan ini lebih memberangsangkan tetapi cabaran bagi West Ham sekarang adalah untuk terus meneruskan rentak kemenangan ini.
West Ham akan menghadapi cabaran yang sukar di stadium sendiri menentang Arsenal pada 1 Disember.
Jika Lopetegui dapat mengatasi cabaran besar itu, mungkin beliau dapat meyakinkan penyokong West Ham bahawa beliaulah individu yang bakal membangkitkan West Ham. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg