Era baru F1 perlumbaan sebenar atau lebih mirip permainan komputer?
Era baru F1 perlumbaan sebenar atau lebih mirip permainan komputer?
MELBOURNE: Perlumbaan pembukaan era baru Formula Satu (F1) di Australia menimbulkan perasaan bercampur baur dalam kalangan pemandu, termasuk pemenang perlumbaan, George Russell, tentang apa yang telah berlaku kepada sukan itu.
Para pemain F1 tiba di Melbourne dengan rasa risau tentang apa yang bakal berlaku dalam perlumbaan pertama musim ini.
Terdapat kebimbangan mengenai gaya pemanduan baru yang diperlukan menyusuli pertukaran enjin baru, yang membahagikan kuasa secara seimbang antara pembakaran dalaman dengan kuasa elektrik.
Selain itu, terdapat kegusaran tentang risiko bahaya pada permulaan perlumbaan, apabila kereta bergerak pada kelajuan yang amat berbeza.
Turut timbul kebimbangan mengenai risiko perbezaan kelajuan yang ketara sepanjang perlumbaan, apabila sesebuah kereta menggunakan keseluruhan tenaga elektriknya sementara kereta lain berada dalam mod pemulihan.
Meskipun timbul pelbagai persoalan, pada akhirnya, perlumbaan itu secara keseluruhan tetap kelihatan seperti perlumbaan sebenar.
George Russell dan Charles Leclerc menampilkan aksi menghiburkan apabila mereka bergilir-gilir mendahului perlumbaan sepanjang 10 pusingan pertama, masing-masing menggunakan mod ‘boost’ dan ‘overtake’ untuk memintas pesaing.
Ini adalah versi F1 yang mencatat 125 percubaan memintas dalam satu perlumbaan, berbanding hanya 45 pada 2025, menurut statistik rasmi F1.
Namun, lebih banyak percubaan memintas tidak semestinya sesuatu yang baik – ia bergantung kepada cara percubaan itu dilakukan.
Adakah ini perlumbaan sebenar seperti yang difahami umum, di mana seorang pemandu menekan brek lebih awal memasuki selekoh atau menggunakan kemahirannya untuk memintas pesaing, atau ia sesuatu yang lebih menyerupai permainan komputer, dengan ‘nitro boost’ atau mekanisme seumpamanya?
Russell berkata edisi baru F1 membuatkan persaingan awalnya dengan Leclerc agak “mencabar”.
Leclerc, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Russell dan rakan sepasukan Russell daripada Mercedes, Kimi Antonelli, berkata keperluan baru untuk sentiasa mengecas dan menggunakan kuasa elektrik 350 kilowatt “pasti mengubah cara kami berlumba dan memintas”.
Lewis Hamilton, yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di belakang rakan sepasukannya daripada Ferrari, Leclerc, berkata beliau “menikmatinya, perlumbaan ini benar-benar menyeronokkan”.
Juara dunia Lando Norris, yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima, meramalkan F1 kini “hanya menunggu sesuatu yang buruk berlaku” merujuk kepada perbezaan kelajuan antara kereta.
Juara empat kali, Max Verstappen, pula berkata beliau gemar berlumba tetapi “mengharap ia lebih baik daripada ini”.
Ketua pasukan Ferrari, Frederic Vasseur, mengulas mengenai persaingan untuk mendahului perlumbaan sepanjang 10 pusingan pertama:
“Saya tidak pasti saya pernah melihat sesuatu seperti ini dalam 10 tahun ini.”
Namun, kebimbangan masih wujud, dan ketua pasukan kekal berfikiran terbuka mengenai kemungkinan peraturan perlu disesuaikan selepas tiga perlumbaan tahun ini – satu tempoh di mana semua telah bersetuju untuk membuat penilaian semula.
Persaingan antara Russell dengan Leclerc adalah hasil daripada teknologi baru ini.
Mereka menggunakan mod ‘overtake’ atau ‘boost’ untuk memintas pesaing.
Tetapi mod tersebut bukan sahaja menjadikan mereka mudah dipintas semula apabila kereta bergilir-gilir ke depan mengikut tahap kuasa elektrik, malah menyukarkan mereka untuk meninggalkan satu sama lain serta peserta lain dalam perlumbaan.
Sebenarnya, persaingan ini menjejaskan prestasi mereka sendiri, serta memberi ruang kepada Hamilton dan Antonelli mengejar mereka dan buat seketika perlumbaan itu kelihatan sebagai perebutan empat hala.
Kereta keselamatan maya kemudian memisahkan strategi pasukan, dan pelumba Mercedes, Russell menamatkan perlumbaan dengan selesa di tempat pertama, diikuti Antonelli di tempat kedua.
Terdapat bukti mencukupi bahawa kebimbangan yang disuarakan pemandu mengenai perbezaan kelajuan kereta dalam perlumbaan adalah benar.
Terdapat satu kemalangan yang nyaris berlaku antara Liam Lawson daripada Racing Bulls dengan Franco Colapinto daripada Alpine, dengan Norris secara lantang melahirkan kebimbangan mengenai perkara ini.
“Ini huru-hara,” katanya.
“Kita boleh menghadapi kemalangan besar, dan itu sesuatu yang merugikan. Rasanya seolah-olah kita memandu sambil menunggu sesuatu berlaku dan berakhir dengan sesuatu yang amat buruk, dan itu bukan keadaan yang baik untuk kita.” – Agensi berita.

