Permulaan era baru Formula 1 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permulaan era baru Formula 1 

Musim Formula Satu (F1) 2026 kini bermula dan peminat sedang sesuaikan diri dengan pelbagai perubahan yang diperkenalkan menjelang perlumbaan pembuka tirai di Australia. Daripada peraturan baru hingga kehadiran pasukan ke-11 di grid, Berita Minggu menghuraikan perkara yang boleh dijangkakan sepanjang musim ini.
Mar 8, 2026 | 5:30 AM

Permulaan era baru Formula 1 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
formula 1
Ujian pramusim Formula Satu (F1) 2026 di Litar Antarabangsa Bahrain, Sakhir, Bahrain, pada 20 Februari. - Foto REUTERS

Peraturan Baru yang ‘Amat Rumit’

Bagi musim perlumbaan 2026, F1 memperkenalkan beberapa perubahan peraturan terbesar dalam sejarah sukan lumba kereta itu, melibatkan unit kuasa, casis, tayar dan bahan api.

Kereta kini lebih kecil dan mesra alam, dengan enjin yang menggunakan nisbah hampir 50-50 antara kuasa elektrik dengan enjin pembakaran dalaman, serta bahan api sepenuhnya mampan.

Namun begitu, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat F1 mengenai tahap pengurusan tenaga yang diperlukan, dan kesannya kepada gaya pemanduan semasa sesi kelayakan dan perlumbaan.

Sistem pengurangan seretan (DRS) telah digantikan dengan mod memintas yang memberi pemandu lonjakan kuasa elektrik tambahan apabila mereka berada dalam jarak satu saat dari kereta di depan mereka – lazimnya di titik pengesanan yang terletak di selekoh terakhir.

DRS tidak lagi digunakan kerana kewujudan sistem penyesuaian automatik kenderaan aerodinamik aktif (active aero).

Sistem itu membolehkan sayap depan dan belakang kereta berubah posisi secara automatik di laluan lurus untuk mengurangkan seretan, serta meningkatkan daya tekan ketika melalui selekoh, lapor BBC Sport.

Pada minggu kedua ujian pramusim, Ferrari menarik perhatian ramai dengan sayap belakang ’terbalik’ yang berputar apabila kereta diaktifkan dalam mod lurus.

Sepanjang enam hari ujian di Bahrain, pelumba F1 mempunyai pandangan berbeza mengenai kereta dan peraturan yang baru diperkenalkan ini.

Juara dunia empat kali, Max Verstappen, mengulas: “Kereta baru ini “seperti Formula E (perlumbaan kereta elektrik) yang dipertingkat” kerana enjin kini memerlukan pengurusan tenaga lebih tinggi”. 

Sementara itu, juara tujuh kali, Lewis Hamilton, berkata: “Peraturan baru ini menjadikan F1 amat rumit, walaupun begitu kereta baru lebih menyeronokkan untuk dipandu”.

Barcelona menentang Madrid

F1 kini mempunyai versi ‘El Clasico’ tersendiri musim ini apabila Barcelona bakal disertai Madrid sebagai tuan rumah perlumbaan di Sepanyol.

El Clasico ialah istilah bola sepak yang merujuk kepada persaingan sengit antara dua kelab paling berjaya di Sepanyol – FC Barcelona dan Real Madrid.

Grand Prix (GP) Sepanyol akan diadakan di Madrid dari 11 hingga 13 September, di litar baru Madring, yang dilengkapi 22 selekoh dan menggabungkan jalan raya awam serta tanah persendirian.

Manakala, perlumbaan di Barcelona pada 2026 dinamakan semula sebagai GP Barcelona-Catalunya dan berlangsung dari 12 hingga 14 Jun.

Namun, selepas musim ini, Barcelona akan bergilir menjadi tuan rumah bersama litar bersejarah Belgium, Spa-Francorchamps, sehingga 2032.

Hadjar terima cabaran jadi pelumba kedua Red Bull

Selepas Yuki Tsunoda meninggalkan pasukan Red Bull, Isack Hadjar dinaikkan pangkat dan akan berpasangan dengan juara dunia empat kali, Max Verstappen.

Pelumba Red Bull, Isack Hadjar, semasa ujian pramusim Formula Satu di Litar Antarabangsa Bahrain, pada 18 Februari.
Pelumba Red Bull, Isack Hadjar, semasa ujian pramusim Formula Satu di Litar Antarabangsa Bahrain, pada 18 Februari. - Foto REUTERS

Pelumba Perancis berusia 21 tahun itu menamatkan musim ‘rookie’ beliau di pasukan pembangunan di bawah Red Bull, Racing Bulls, dan meraih podium pertamanya – tempat ketiga di GP Belanda.

Matlamat pertama Hadjar adalah untuk mendekati Verstappen supaya beliau dapat turut menyumbang mata kepada pasukan.

Kali terakhir Verstappen tewas kepada rakan sepasukan ialah di GP Azerbaijan pada April 2023, apabila Sergio Perez meraih kemenangan dan Verstappen mendapat tempat kedua.

Namun sejak itu, pelumba kedua pasukan berkenaan menghadapi kesukaran, dan Perez akhirnya meninggalkan Red Bulls pada akhir 2024.

Pada 2025, Liam Lawson mendapat peluang untuk menunjukkan kehebatannya namun pelumba asal New Zealand itu dikembalikan ke Racing Bulls selepas hanya dua perlumbaan dan digantikan dengan Tsunoda.

Malangnya, pelumba Jepun itu tidak menunjukkan prestasi lebih baik daripada pelumba sebelum ini dan menamatkan musim dengan 33 mata, manakala Verstappen mengumpul 421 mata.

Cadillac tambah jumlah pasukan dalam grid kepada 11

Sejak pasukan Haas dari Amerika Syarikat membuat penampilan sulung pada 2016, F1 akhirnya bakal menyambut semula kehadiran jenama besar dari negara itu melalui pasukan Cadillac pada 2026.

Pasukan Cadillac diwakili pelumba berpengalaman, termasuk pemenang beberapa perlumbaan GP, bekas pelumba Red Bulls, Perez, dan bekas pelumba Mercedes, Valtteri Bottas.

Kereta pasukan itu menggunakan unit kuasa Ferrari.

Mereka menghadapi ujian pramusim yang tidak begitu lancar, dengan beberapa isu yang menyebabkan kedua-dua pemandu terpaksa berada di garaj pada waktu tertentu.

Namun, ketua pasukan, Graeme Lowdon, berkata peminat tidak perlu terlalu risau dengan keputusan ujian, kerana beliau “amat gembira dengan pasukan (dan) amat, amat berpuas hati dengan platform yang sedang kami bina”.

Selain itu, musim ini menyaksikan kemunculan pasukan baru, Audi, yang membuat penampilan sulung selepas mengambil alih pasukan Switzerland, Sauber.

Pasukan Jerman itu memilih mengambil tindakan berani dalam kempen pertama mereka dengan mereka bentuk serta membina unit kuasa sendiri.

Pada ujian terakhir di Bahrain, pemandu Gabriel Bortoleto dan Nico Hulkenberg mencatat 357 pusingan, dan Audi dijangka mampu menjadi pencabar di kelompok tengah grid pada musim ini.

Mampukah Aston Martin, Honda atasi masalah mereka?

Aston Martin kini berada di peringkat awal kerjasama baru dengan Honda, dan beberapa masalah lazimnya timbul pada peringkat ini.

Namun, prestasi pasukan itu di Bahrain jelas mengecewakan dari awal hingga akhir.

Unit kuasa oleh pengeluar Jepun itu menghadapi isu keandalan, dan pada hari terakhir ujian, pasukan terpaksa menghentikan program mereka selepas Lance Stroll hanya sempat melakukan enam pusingan.

Pelumba Aston Martin, Lance Stroll, semasa ujian pramusim Formula Satu di Litar Antarabangsa Bahrain, pada 18 Februari.
Pelumba Aston Martin, Lance Stroll, semasa ujian pramusim Formula Satu di Litar Antarabangsa Bahrain, pada 18 Februari. - Foto REUTERS

Masalah itu berpunca daripada kekurangan komponen enjin, yang membataskan pengumpulan data selepas Fernando Alonso mengalami masalah bateri pada hari sebelumnya.

Sementara itu, Red Bull, yang menghasilkan unit kuasa mereka sendiri buat kali pertama melalui kerjasama dengan gergasi automotif Amerika, Ford, menunjukkan prestasi baik di Sakhir.

Pasukan itu dijangka menjadi salah satu daripada empat pasukan teratas musim ini bersama Mercedes, Ferrari, dan juara dua kali berturut-turut, McLaren. – Agensi berita.

Silverstone jadi tuan rumah ‘F1 Sprint’ pertama sejak 2021

GP Britain dipilih sebagai salah satu daripada enam litar yang akan menganjurkan acara perlumbaan pecut jarak dekat atau F1 Sprint musim ini, dengan Silverstone kembali menganjurkan perlumbaan lebih pendek buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada 2021.

Sementara itu, GP China dan Miami kembali menganjurkan perlumbaan tersebut buat tahun ketiga berturut-turut, manakala GP Canada, Zandvoort (Belanda), dan Singapura akan menganjurkannya buat kali pertama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg