Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eriksen jangka tinggalkan Man U pada hujung musim

Mar 19, 2025 | 12:19 PM
Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, kerap keluar masuk dalam pasukan utama sejak Ruben Amorim mengambil alih Manchester United pada 2024.
Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, kerap keluar masuk dalam pasukan utama sejak Ruben Amorim mengambil alih Manchester United pada 2024. - Foto REUTERS

COPENHAGEN: Christian Eriksen menyatakan pada 18 Mac beliau menjangka meninggalkan Manchester United pada penghujung musim ini dan bersedia untuk cabaran baru.

Pemain tengah Denmark itu sering keluar masuk pasukan tersebut sejak Ruben Amorim mengambil alih pada 2024.

Kontraknya di Old Trafford akan tamat Jun.

“Saya bersedia untuk mencari sesuatu yang baru. Itu amat sesuai dengan saya,” kata Eriksen kepada wartawan sebelum perlawanan suku akhir Liga Negara-Negara menentang Portugal, sambil mendedahkan bahawa United belum menghubunginya mengenai kemungkinan kontraknya dilanjutkan.

“Itulah sebabnya saya menganggap kerjasama ini akan berakhir. Itulah tafsiran saya.

“Saya akan menunggu dan melihat tawaran yang datang. Saya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa, tetapi jika peluang yang sesuai muncul, saya akan menerimanya.”

Eriksen, yang mengalami serangan jantung semasa perlawanan Euro 2020 antara Denmark dan Finland, kembali dalam pasukan Manchester United bagi dua perlawanan terakhir Liga Perdana England. 

Sebelum itu, beliau tidak pernah diturunkan sejak Disember.

“Niat saya bukan untuk kekal di England,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

Eriksen menyertai United pada 2022 selepas tempoh singkat bersama Brentford.

Sebelumnya, beliau terpaksa meninggalkan kelab Inter Milan, berikutan peraturan kesihatan di Italy selepas dipasang peranti pemula jantung (ICD) pada tubuhnya.

Sehingga kini, Eriksen telah membuat 99 penampilan dalam semua pertandingan untuk Manchester United dan menjaringkan tujuh gol. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg