Dalam perlawanan penuh drama dengan tiga anugerah penalti, Manchester United berjaya mendapatkan kemenangan 4-1 (5-2 secara agregat) untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Eropah.
Setelah melalui tiga perlawanan tanpa kemenangan, hat-trick Bruno Fernandes dan jaringan Diogo Dalot membantu United mendapatkan kemenangan yang amat diperlukan dalam pertandingan yang melambangkan peluang terakhir mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Hanya 10 minit dalam perlawanan, semakan VAR mendapati penyerang Sociedad, Mikel Oyarzabal, telah dikasari oleh Matthijs de Ligt dalam kotak penalti dan Sociedad diberi peluang awal untuk mendahului perlawanan.
Oyarzabal menjaringkan penalti tersebut.
Manchester United hampir membalas segera pada minit ke-11 apabila Alejandro Garnacho membuat rembatan tetapi ia terus ke dakapan penjaga gol.
Hanya seminit selepas itu, United pula diberikan penalti setelah Rasmus Højlund dikasari oleh Igor Zubeldia.
Fernandes tampil menjaringkan penalti dengan tenang, menyamakan kedudukan 1-1.
Gol tersebut nampaknya memberi semangat kepada United untuk terus menyerang.
Serangan United bergerak lancar dan pada minit ke-29, Dorgu menghantar bola kepada Zirkzee, yang menggelecek dua pemain pertahanan Sociedad dengan hebat sebelum menghantarkan bola kepada Højlund.
Namun, keyakinan rendah Hojlund, yang belum menjaringkan gol dalam 20 perlawanan, jelas terlihat apabila percubaannya tidak menepati sasaran.
Sejauh ini Takefusa Kubo kelihatan seperti pemain paling berbahaya dari Sociedad.
Beliau berjaya menggelek boleh menembusi beberapa pertahanan United tetapi disekat oleh Mazraoui yang berjaya menghalang percubaannya.
Separuh masa pertama berakhir 1-1 dengan kededua pasukan kurang tajam untuk mendahului perlawanan.
Hanya lima minit dalam separuh masa kedua, Højlund menhantarkan bola ke Zirkzee, tetapi sepakan beliau diselamatkan. Bola jatuh kepada Patrick Dorgu dengan Aritz Elustondo terpaksa mengasari beliau, menyebabkan satu lagi penalti diberikan.
Fernandes sekali lagi memanfaatkan penalti tersebut, memberi United kelebihan 2-1.
Real Sociedad berjuang untuk mengawal semula permainan tetapi tidak berdaya.
Keadaan bertambah buruk bagi Sociedad pada minit ke-63 apabila mereka kehilangan seorang pemain.
Dorgu dikasari oleh Jon Aramburu, yang baru sahaja masuk padang pada mini ke-56 apabila pengadil perlawanan, Benoit Bastien, melayangkan kad merah. Aramburu didapati melakukan kekasaran yang menghalang peluang jelas jaringan.
Ini meletakkan Sociedad dalam keadaan sukar, dan United memanfaatkan peluang itu sepenuhnya.
Perlawanan itu hampir menyaksikan penalti keempat, tetapi semakan VAR mendapati Hamari Traore memenangi bola daripada Dorgu secara adil.
Perlawanan terus memihak kepada United apabila Garnacho melancarkan serangan balas pantas dengan memberi hantaran kepada Fernandes yang menjaringkan gol untuk melengkapkan hatriknya.
Pada masa tambahan, Højlund mempamerkan kelicikan hebat melepasi pertahanan Sociedad dan memberi bola kepada Dalot, yang dengan tenang menjaringkan gol untuk menjadikannya 4-1, menyempurnakan kemenangan United.
Dengan kemenangan dan persembahan yang memberangsangkan, ramai peminat berharap ini merupakan detik perubahan nasib kelab mereka.
United baru sahaja disingkirkan oleh Fulham daripada Piala FA pada 3 Mac dan masih menduduki tangga ke-14 di Liga Perdana England (EPL).
Kemenangan ini kurang bermakna jika United tidak berjaya memenangi keseluruhan pertandingan bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
United akan berdepan dengan Olympique Lyonnais dalam peringkat suku akhir pada 10 dan 17 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg